Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu agih bakul makanan, ujian kendiri

SHAH ALAM, 13 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mengaktifkan semula agihan bakul makanan dan ujian kit kendiri kepada pesakit Covid-19 di kawasan tersebut.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata agihan bakul makanan bernilai RM100 itu susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

“Pesakit Covid-19 ini menjalani kuarantin di rumah dan tidak dapat keluar untuk membeli keperluan harian. Oleh demikian, kita menghubungi pesakit dan bertanya barangan diperlukan mereka.

“Agihan bakul makanan ini tidak aktif sejak November hingga Januari. Namun, apabila kes meningkat, kita mula agihkan bakul makanan dan ujian kit kendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berkata, selain pusat khidmat masyarakat, agihan turut dibuat menerusi ahli majlis dan ketua kampung yang membantu dalam mengesan pesakit Covid-19.

“Selain itu, kita turut mengedarkan 400 kupon beli-belah kepada keluarga berpendapatan rendah sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan, masyarakat boleh menghubungi pusat khidmat masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu di talian 03-60645505.