Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis mahu bantu usahawan wanita kuasai sektor makanan halal

SHAH ALAM, 6 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mahu membantu memperluas pembabitan wanita dalam perniagaan, khususnya dalam pengeluaran produk halal.

Menurut Ketua Biro Kelestarian dan Kesihatannya Hazlina Abd Razak Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) membuka pelbagai peluang perniagaan kepada usahawan wanita.

“Persidangan ini membolehkan ramai usahawan bertemu dan membuka lebih banyak peluang perniagaan menerusi padanan perniagaan iaitu salah satu komponen acara ini.

“Lagipun, perniagaan dan wanita memang tidak dapat dipisahkan,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan ke gerai pameran Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Hazlina yang juga Pengerusi Pekawanis Dewan Undangan Negeri (DUN) Sg Kandis berkata pihaknya juga akan membawa isu memperkasa wanita dalam sektor perniagaan pada mesyuarat Pekawanis akan datang.

“Hasil kunjungan ke gerai pameran kita dapati ramai usahawan terlibat adalah golongan wanita yang baru menceburi bidang perniagaan.

“Jadi, saya akan bawa isu ini untuk dibincangkan supaya bantuan dapat disalurkan sama ada menerusi geran atau dana kepada mereka yang memerlukan, selain pelbagai kemudahan lain yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada kunjungan itu juga, Hazlina yang diiringi ahli Pusat Wanita Berdaya (PWB) turut mengedarkan jambangan bunga kepada pempamer sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac ini.

Hazlina menambah lawatan itu adalah mewakili Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhammad dan bertujuan menceriakan kaum wanita yang terbabit dengan persidangan itu.