Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persidangan halal bermula hari ini, disertai 100 pempamer pelbagai bidang

SHAH ALAM, 4 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) membuka tirai hari ini di Pusat Konvensyen Shah Alam mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) berlangsung dalam keadaan terkawal dengan peserta serta pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan.

Pempamer pula dilihat sibuk mengurus gerai masing-masing selain mempromosi produk halal yang dibawa ke acara itu kepada pengunjung.

Selhac yang berlangsung tiga hari hingga 6 Mac dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam dengan menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Sebelum ini, EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan kehadiran orang ramai ke Selhac di sini dilaksanakan mengikut zon bagi mengelakkan kesesakan di lokasi itu.

Menurutnya, hari pertama dikhaskan untuk pengunjung dari zon tengah iaitu Klang, Petaling dan Gombak manakala hari kedua bagi zon selatan iaitu Sepang, Hulu Langat serta Kuala Langat.

Pengunjung dari zon utara iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor pula pada hari terakhir penganjuran.