KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilapor ditangkap di kediamannya, di Jalan Langgak Duta, petang ini.
The Malaysian Insight melaporkan, Najib dipercayai dibawa keluar dari kediamannya dengan diiringi beberapa buah kenderaan.
Penahanan dibuat berhubung pendedahan siri rampasan harta peribadi dan wang berjumlah lebih RM110 juta di kediamannya.
Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman esok.
Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan telah membuat tangkapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada pukul 2.35 petang berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
Menurut satu kenyataan, tangkapan tersebut telah dibuat di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, hari ini.
Najib akan didakwa esok pada pukul 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Najib dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu SRC International.
Beliau tampil memberi keterangan pada 22 Mei lalu di Ibu Pejabat SPRM jam 3.15 petang selepas lebih empat jam memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Pada 24 Mei lalu, Najib memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM dan mengambil masa lebih tujuh jam berhubung siasatan kes sama.