Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB ziarah, beri sumbangan balu staf MBSJ meninggal dunia bantu mangsa banjir

PETALING JAYA, 11 JAN: Dato’ Menteri Besar menziarahi waris kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd Ikram Bakri yang meninggal dunia ketika membantu membersihkan rumah terjejas banjir pada 5 Januari lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba di rumah pembantu kesihatan awam Jabatan Kesihatan MBSJ itu di Taman Indah Jaya di sini, hari ini pada jam 1 tengah hari.

Beliau menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada isteri Allahyarham Noradilah Abd Kadir, 36, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan, iaitu anak pertama hasil perkahwinan mereka sejak 2011.

Amirudin ketika ditemui mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berterima kasih di atas pengorbanannya membantu mangsa banjir.

“Saya turut menyampaikan sumbangan Pejabat Menteri Besar, saya percaya pihak majlis (MBSJ) mempunyai skim dan kemudahan tertentu yang akan disampaikan kepada keluarga di atas sumbangannya beberapa tahun bertugas,” katanya.

Mohd Ikram, 39 meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya pada 5 Januari lalu.