Categories
KENYATAAN MEDIA

Royalti minyak perjuangan TGNA untuk rakyat Kelantan

Oleh: DATUK MAHFUZ OMAR

1. Ketika Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan, antara perkara utama membabitkan hak rakyat yang diperjuangkan Almarhum ialah Royalti Minyak. Dalam keadaan ramai orang termasuk pemimpin Barisan Nasional mengakui akan ketokohan dan kehebatan Almarhum. Bahkan, terdapat ura-ura BN tidak perlu bertanding di kerusi DUN Chempaka sebagai tanda hormat kepada Almarhum.

2. Alangkah lebih baik sekiranya PM Dato’ Seri Najib menunaikan hak yang dituntut oleh rakyat Kelantan iaitu Royalti Minyak.  Masih teringat saya ketika Almarhum Tuan Guru sendiri hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2010 untuk memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.

3. Saya petik kembali kenyataan Almarhum pada hari itu untuk menggambarkan kesungguhan dan kegigihan dalam memperjuangkan hak rakyat.  Almarhum berkata “Sebagai ketua kerajaan negeri saya bertanggungjawab untuk menjaga kehormatan harta negeri Kelantan, kedatangan saya hari ini adalah untuk menuntut hak dan menjaga kehormatan harta kita. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Kelantan, jadi saya perlu lakukan apa jua cara sama ada melalui rundingan atau mahkamah. Tiap-tiap orang yang ada harta mesti jaga dengan baik. Kalau orang curi, kita bertindak, kalau rompak, kita tindak, kalau tipu juga kita bertindak. Sebab tidak mahu perkara ini terus berlaku, kita bawa ke mahkamah, atas dasar orang Islam, kalau kita tak tunaikan di muka dunia, kalau kita jahat tetap kena bayar di akhirat. Sebelum bayar di akhirat, baik mereka bayar di muka dunia.”

4. Justeru, saya berharap agar perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Almarhum Tuan Guru itu bukanlah sebuah kepura-puraan.
Hasrat Almarhum Tuan Guru perlulah diterjemahkan oleh  pihak kerajaan Malaysia melalui Petronas dengan berlaku jujur dan berani dalam melaksanakan janji yang telah termeterai seperti di dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 iaitu membayar tuntutan Royalti Minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

# Datuk Mahfuz Omar adalah Ketua Penerangan PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.