Oleh: MARNIZA OTHMAN
SHAH ALAM, 5 MAC: Rakyat Selangor tidak perlu berdiam diri jika mengetahui berlakunya kes keganasan dan penderaan di sekitar mereka.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, mangsa yang terlibat juga harus berani untuk tampil mendapatkan bantuan.
Katanya, mangsa keganasan dan penderaan terutama wanita dan kanak-kanak di negeri itu boleh mengemukakan aduan di “One Stop Crisis Centre” (OSCC) yang terdapat di Jabatan Kecemasan setiap hospital.
“One Stop Crisis Centre” (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti adalah pusat perkhidmatan lengkap dan menyeluruh kepada mangsa penderaan, perkosaan dan keganasan rumah tangga.
“OSCC berfungsi untuk memberi rawatan kecemasan, pemeriksaan dan dokumentasi, khidmat kaunseling, sokongan emosi dan penempatan sementara bagi membantu menstabilkan semula emosi mangsa serta membolehkan mereka memperoleh ketenangan fikiran seterusnya menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peranan dan fungsi OSCC mendapat maklum balas yang baik dan perlu disebar luas kepada umum demi menjamin keselamatan.
Berdasarkan laporan OSCC 2014, Hospital Klang menerima kes tertinggi dengan 792 kes, Hospital Ampang (344) dan Hospital Selayang (300).
Tiga lagi hospital yang mempunyai kemudahan OSCC adalah Kajang, Sungai Buloh dan Serdang.
-NFN-