Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan kimia EXCO dikaitkan rogol amah diserah kepada pendakwaan hari ini

IPOH, 7 OGOS: Polis akan menyerahkan laporan kimia dan perubatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada Jabatan Kimia pada Isnin lepas.

“Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh dan siasatan telah dibawa kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Razarudin berkata, laporan perubatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan dan keputusan seterusnya.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, pihak polis masih giat mengesan empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kes samun barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini pada awal pagi Isnin lepas.

“Kes itu masih dalam siasatan dan kita yakin akan berjaya mengenal pasti semua suspek dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an sedang dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta untuk dihantar ke Kelantan sebelum dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan empat beg berisi barang kemas itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dollar AS

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ringgit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan dagangan hari ini.

Bagaimanapun, unit tempatan terus didagangkan dalam keadaan dipengaruhi prospek ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan penurunan ketara harga minyak mentah semalaman.

Pada pukul 9 pagi, ringgit berada pada 4.1870/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1920 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes berkata, pasaran telah mengalami kitaran penuh sekali lagi dengan harapan menyaksikan prestasi terbaik di samping bersedia menghadapi situasi lebih buruk.

“Berdasarkan situasi semasa, pergerakan kecil juga akan mendorong pelabur memberi reaksi lebih positif bergantung bagaimana sentimen peserta pasaran melabur memandangkan kemelut perang perdagangan yang masih kekal meruncing mempengaruhi setiap keputusan dagangan,” katanya dalam kenyataan.

Ringgit diniagakan pada paras terendah dalam tempoh dua bulan malah menjadi prestasi terburuknya bagi tempoh dagangan sejak 31 Mei, 2019 apabila ditutup pada 4.1890/1920 berbanding dolar AS.

Selain itu, harga niaga hadapan minyak mentan susut mendadak ketika ditutup pada Selasa, termasuk minyak Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa apabila turun kepada kira-kira paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Minyak mentah Brent jatuh 87 sen, atau 1.4 peratus, kepada US$58.94 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0316/0364 daripada 3.0318/0350 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.0993/1071 daripada 5.1123/1180.

Mata wang tempatan lemah berbanding yen kepada 3.9392/9450 daripada 3.9367/9406 dan susut berbanding euro kepada 4.6920/6992 daripada 4.6917/6963.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Bomba terus padam api di tapak lupus sampah

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerja-kerja memadam api di tapak pelupusan sampah haram bersebelahan Plaza Tol Sungai Long, Kajang masih diteruskan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, operasi pemadaman api itu kini memasuki hari ke sembilan.

Katanya, pemantauan di tapak pelupusan sampah mendapati masih terdapat ‘spot’ asap di kawasan itu.

“Pihak bomba dan penyelamat masih melakukan kerja-kerja pemadaman. Setakat ini sudah 90 peratus kerja-kerja memadam api berjaya dilakukan.

“Kita jangka pemadaman api berjaya diselesaikan hari ini atau esok tetapi ia turut bergantung pada cuaca,” katanya kepada SelangorKini di sini semalam.

Terdahulu, tanah berkeluasan 1.33 hektar itu terbakar dan pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadam api disebabkan kawasan itu bercerun dengan ketinggian 70 meter.

Selain, kesukaran memadamkan api, tugas-tugas memadam di kawasan tersebut juga berbahaya.

Ekoran kebakaran itu, kawasan Kajang dilanda jerebu.

Berikutan itu, pemilik tanah yang membiarkan kawasan dijadikan tapak pelupusan sampah berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dianugerah Ijazah Doktor Kehormat di Jepun

FUKUOKA (Jepun), 7 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.

Dr Mahathir menerima ‘Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, honoris causa’ daripada Presiden IUJ Hiroyuki Itami dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Fukuoka, bersempena lawatan kerja tiga hari beliau ke wilayah itu.

Pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, Itami menegaskan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan Dr Mahathir mempunyai impak besar kepada pendidikan tinggi di negara anggota ASEAN.

“Sememangnya diakui dan diiktiraf bahawa ramai anak muda Malaysia yang belajar di luar negara di Jepun telah menyumbang kepada pembangunan di Malaysia pada hari ini di bawah dasar ini (Dasar Pandang ke Timur),” menurut kenyataan IUJ yang dikeluarkan bersempena penganugerahan itu.

Dalam ucapan sanjungannya, Itami berkata, Dasar Pandang ke Timur telah menjadi asas kepada hubungan akrab antara Malaysia dan Jepun.

Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kerajaan Malaysia telah menghantar beratus-ratus pelajar dan pelatih korporat ke Jepun.

“Apabila kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dari universiti atau tamat program di syarikat di Jepun, pelajar Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dan utama dalam membangunkan Malaysia serta sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, IUJ telah mendidik lebih 20 pelajar Malaysia yang dihantar oleh kerajaan Malaysia sejak 1990-an.

Itami berkata, IUJ turut melancarkan Program Pembangunan Jepun-Global (JGDP) tahun lepas bagi menawarkan peluang pembelajaran kepada bakal pemimpin terkemuka dari Jepun, Asia termasuk Malaysia, Afrika dan Amerika Latin mengenai pengalaman orang Jepun dalam bidang ekonomi serta pembangunan masyarakat sejak era pemulihan Meiji dan kewajaran di sebalik perkembangan ini.

“IUJ mengalu-alukan penyertaan pelajar dari Malaysia dalam JGDP,” katanya.

Itami juga menyatakan harapan bahawa hubungan dua hala yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia akan berkembang di bawah Dasar Pandang ke Timur dalam era baharu ini.

“Kami percaya Universiti Antarabangsa Jepun akan memainkan peranan penting dalam Dasar Pandang ke Timur Tun Dr Mahathir dan dalam mengukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapan penerimaannya berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

“Mana-mana juga pemimpin, jika diberi peluang dan kuasa, akan melakukan apa yang telah saya lakukan. Malaysia merupakan sebuah negara pertanian yang miskin, tetapi kerana keperluan mewujudkan pekerjaan, kami perlu membina infrastruktur untuk melancarkan (keperluan sedemikian).

“Saya berterima kasih kerana diberi pengiktirafan dalam melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa (menjadikan negara pertanian kepada negara perindustrian), dan melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pegawai bank cuba ditipu buat laporan polis

KUANTAN, 7 OGOS: Seorang penolong pengurus bank di sini membuat laporan polis mendakwa telah menerima surat palsu kononnya daripada Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan maklumat perbankan pelanggan bank tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pengadu yang berusia 44 tahun mendakwa surat itu diterima pada 24 Julai lepas, dialamatkan ke bank cawangan beliau bekerja.

“Surat itu didakwa meminta pengesahan kesahihan penyata akaun semasa bagi empat syarikat yang menjalankan operasi pembersihan pejabat bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

“Surat itu dilampirkan bersama salinan penyata akaun yang diminta, bagaimanapun pengadu meragui kesahihan lampiran itu kerana semakan beliau mendapati cop dan tandatangan di dokumen itu palsu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pengadu juga mendakwa penyata akaun yang dikemukakan adalah berbeza daripada jumlah baki sebenar yang dimiliki syarikat berkenaan.

Susulan itu, pengadu mengesyaki surat tersebut tidak dihantar oleh kementerian sebaliknya oleh individu yang berkemungkinan mahu menggunakan maklumat perbankan itu bagi merebut peluang kontrak pembersihan.

Mohd Wazir berkata, pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang juruteknik berusia 26 tahun mendakwa kerugian RM35,600 selepas diperdayakan menerusi panggilan telefon kononnya daripada pihak mahkamah dan polis.

Mangsa mendakwa dihubungi suspek lelaki pada Ahad lalu memaklumkan dia perlu hadir ke Mahkamah Terengganu kerana mempunyai kes tunggakan kad kredit sebelum panggilan disambungkan ke ‘balai polis’ bagi siasatan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa mendakwa dirinya disoal siasat oleh pegawai polis wanita berpangkat Inspektor dan diminta untuk menyerahkan semua maklumat perbankan miliknya untuk tujuan siasatan.

“Dia bagaimanapun menyedari dirinya menjadi mangsa sindiket Macau scam apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bank berhubung tiga transaksi pemindahan wang secara dalam talian yang tidak dilakukannya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perjumpaan tertutup PM, Ahli Parlimen, Senator di Kedah

ALOR SETAR, 6 OGOS: Perjumpaan tertutup Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama semua Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, hanyalah sekadar rutin biasa.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, ini kerana sebelum sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen bermula, sudah menjadi kebiasaan bagi Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan seumpama itu.

“Saya tidak pergi sebab ada majlis santapan di Istana Anak Bukit dan tidak pasti apa yang dibincangkan dalam perjumpaan itu tetapi ini perjumpaan biasa yang kita buat, ia (perjumpaan) macam ‘pre-council’,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status dimuat naik Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama empat keping gambar di laman Twitternya semalam.

Status itu berbunyi: “Perjumpaan tertutup YAB Tun M bersama semua Ahli Parlimen-Senator-Menteri Besar dari BERSATU. Kami memberikan sokongan penuh kepada YAB Tun M dan akan fokus kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami. Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua”.

Mukhriz berkata, perjumpaan seumpama itu adalah untuk memastikan pendirian kepimpinan Bersatu seiring dan selari dalam konteks Pakatan Harapan (PH).

“Sebab maklumlah ada setengah daripada MP Bersatu ini yang baharu, datang dari UMNO sertai kita, jadi kita nak seiringkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Pekerja syarikat penerbangan disyaki terlibat import dadah diberkas

SYDNEY, 6 OGOS: Seorang pekerja syarikat penerbangan didakwa untuk peranannya dalam mengimport dadah jenis metamfetamin bernilai lebih US$100 juta ke Australia dengan menyembunyikan barang tersebut di dalam sebuah kontena penghantaran, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan pihak berkuasa Australia pada Selasa lalu.

Wakil perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan berusia 22 tahun itu telah diberkas selepas menaiki penerbangan antarabangsa ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada Ahad lalu.

Beliau telah diekstradisi semula ke Sydney dan didakwa memudahkan penghantaran 200 kilogram narkotik yang dikenali sebagai “ice” di Australia.

Para pegawai Pasukan Sempadan Australia mengesan dadah itu selepas mendapat maklumat daripada polis Negeri New South Wales (NSW) berkaitan sebuah kontena penghantaran yang tiba dari Amerika Syarikat.

Para pegawai telah melakukan ujian sinar X ke atas kontena itu dan menemui beberapa beg mengandungi dadah yang disembunyikan dalam mesin pembuatan komersial seberat 15 tan.

Siasatan lanjut membawa kepada penggeledahan di tiga hartanah di mana polis merampas sejumlah 80 gram heroin, 38 gram cendawan ajaib, 50 gram ekstasi serta pelbagai peranti elektronik dan dokumentasi.

Komander Jenayah Polis negeri NSW, Pemangku Penolong Pesuruhjaya Stuart Smith berkata, siasatan bersama telah mengganggu aktiviti sebuah rangkaian jenayah antarabangsa.

“Siasatan bersama kami telah membongkar satu sindiket antarabangsa dan kami kini memberkas fasilitator mereka dalam usaha memberi kesan kepada pihak tertinggi rangkaian itu,” kata Smith.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tak izin delegasi ke Switzerland siasat wang dibeku- Ahmad Husni

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengizinkan delegasi Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dihantar ke Switzerland bagi membuktikan wang dibekukan adalah wang pinjaman daripada KWAP.

Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-56 berkata, beliau dimaklumkan bahawa terdapat dana pelaburan SRC International Sdn Bhd yang disimpan di sebuah bank di Switzerland telah dibekukan oleh kerajaan Switzerland atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Saya kemudiannya pergi bertemu dengan Datuk Seri Najib dan meminta keizinan beliau untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan KWAP untuk membawa dokumen-dokumen bagi membuktikan bahawa wang tersebut adalah pinjaman daripada KWAP dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan AMLA.

“Namun, YAB PM tidak memberikan persetujuan kepada saya untuk bertindak sedemikian,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Katanya, beliau juga dirujuk kepada satu dokumen iaitu “Letter of Guarantee Issued By Government of Malaysia in Favour of Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)” bertarikh 26 Ogos 2011.

“Saya sahkan bahawa ini merupakan surat jaminan kerajaan yang saya tandatangan seperti mana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” katanya.

Ahmad Husni, 67, berkata, Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Nor Mohamed Yakcop telah diluluskan dan persetujuan diberikan untuk memberikan jaminan tersebut.

Katanya, pegawai di Kementerian Kewangan telah menyediakan surat jaminan kerajaan untuk beliau tandatangan atas kapasiti Menteri Kewangan II.

“Saya mendapat tahu daripada pegawai MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) bahawa sejumlah RM4 bilion iaitu keseluruhan pinjaman daripada KWAP antaranya digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, pelaburan sumber asli di Mongolia dan Simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong.

“Saya pada waktu itu, saya tidak dirujuk dan tidak diberikan sebarang dokumen mengenai SRC dan pelaburan tersebut, walaupun melalui pegawai saya yang telah meminta daripada SRC.

“Saya telah meminta Dr Isa, ketika itu Setiausaha Bahagian Pelaburan (Kementerian Kewangan) untuk membuat lawatan ke Jawa untuk memastikan kewujudan pelaburan tersebut, tetapi Dr Isa ( Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain) tidak pergi,” katanya.

Beliau berkata, pertama kali beliau mengetahui tentang permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 bilion dari KWAP dan pinjaman itu hendaklah dijamin daripada kerajaan Malaysia adalah sewaktu pembentangan kepada mesyuarat jemaah menteri oleh Nor Mohamed Yakcop yang menandatangani dan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berkenaan dengan permohonan tersebut.

Katanya, selepas dari itu, beliau telah menemui Najib untuk membangkitkan tentang tujuan memberi pinjaman yang begitu besar kepada SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Najib bahawa syarikat ini bertujuan supaya bidang tenaga elektrik ini diperkasakan dengan adanya pemilikan oleh syarikat milik kerajaan yang mempunyai penglibatan dalam perlombongan arang batu.

“Saya kemudiannya telah menyatakan kepada Datuk Seri Najib bahawa perlombongan arang batu ini biarlah melibatkan sektor swasta semata-mata dan bukannya oleh syarikat milik kerajaan.

“Datuk Seri Najib menyatakan bahawa hanya dengan penglibatan kerajaan dalam perlombongan arang batu akan dapat memperkasakan bidang tenaga elektrik,” katanya yang ditugaskan untuk mengurus dasar fiskal serta menjalankan kuasa di bawah lain-lain Akta termasuk Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957.

“ Dalam menjalankan kuasa ini, tiada perbezaan antara jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II,“ jelasnya.

Beliau berkata, antara tugas-tugas beliau sebagai Menteri Kewangan II adalah untuk menguruskan penyediaan, kelulusan, pelaksanaan, dan pemantauan belanjawan negara dan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dari masa ke semasa, yang mana pada waktu beliau menyandang jawatan itu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Najib.

Katanya, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan II oleh Najib pada 2009 dan pada 27 Jun 2016 beliau telah meletakkan jawatan.

Selepas selesai memberi keterangan dan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan sama ada beliau mengenali Najib, saksi itu berkata “sekiranya beliau ada di dalam mahkamah, saya boleh camkan.”

Beliau kemudiannya menoleh ke belakang ke arah Najib yang duduk dalam kandang tertuduh dan berkata: “Ha, itu dia di belakang, yang selalu senyum,” yang kemudiannya mengundang ketawa dari semua pihak dalam mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low gelar Najib sebagai `Òptimus Prime’

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menggelar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak “Optimus Prime” atau singkatannya, OP, iaitu watak utama dalam filem-filem ‘Transformers’.

Bekas pegawai perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata, Jho Low menggunakan singkatan itu apabila merujuk kepada Najib dalam perbualan Blackberry Messenger mereka, ketika kedua-dua mereka berbincang mengenai tiga transaksi wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Yu ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram mengenai perbualan mereka bahawa OP mungkin akan menutup akaunnya pada bulan Disember.

Sithambar : Dalam perbualan itu, Jho Low memberitahu kamu “Beritahu dia, OP kata mereka mungkin akan menutup akaun itu pada bulan Disember.

Yu : Ashok (bekas Pengarah Urusan AmBank, Ashok Ramamurthy) mahu mengemaskinikan laporan.

Sithambaran : Jho Low kata, “Gila, beritahu dia OP kata mereka mungkin akan menutup akaun itu pada bulan Disember.” Apa itu OP?

Yu : Saya teringat saya ada bertanya, (dan) saya diberitahu ia singkatan kepada nama ‘Optimus Prime’.

Sithambaran : Siapa OP di sini?

Yu : Apa yang saya faham, dia Datuk Seri Najib.

Sithambaran kemudian berkata, daripada apa yang beliau tahu, ‘Optimus Prime’ adalah ketua dalam filem-filem ‘Transformers’ dan kata-kata itu menggelikan hati beberapa petugas media sehingga membuatkan mereka tertawa.

Najib, 66, sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta .

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.
– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Dua geng bergaduh kerana kunci motosikal

IPOH, 6 OGOS: Seorang lelaki cedera dipercayai dipukul selepas menuntut kunci motosikal milik anaknya daripada seorang individu di hadapan sebuah kedai menjual cakoi di Pekan Padang Rengas, Kuala Kangsar di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Polis Razali Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Jai, 47, cedera di kepala setelah dipukul dengan objek keras oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Paksu, 48, sehingga mengakibatkan berlaku rusuhan antara dua kumpulan.

“Kejadian itu mendapat tindak balas orang ramai yang berada di tempat kejadian yang mana ada di antara mereka yang telah memukul anak Paksu yang digelar dengan panggilan Abang Yang, 23, dengan objek keras sehingga turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati Paksu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan manakala Jai mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Razali berkata, susulan itu, polis telah menahan dua individu dan akan memanggil lebih ramai lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam.

Categories
AGENDA JENAYAH

Bapa tiri dijel rogol anak tiri

LABUAN, 6 OGOS: Seorang lelaki berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 18 sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol anak perempuan tirinya berusia 15 tahun dan melakukan sumbang mahram sejak lima tahun lepas.

Hakim Ummu Kalthom Abd Samad menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Kahar Sengkang selepas dia mengaku bersalah.

Dia menjawab “ya, bersalah” selepas pertuduhan dibacakan, dan sentiasa menundukkan kepalanya sepanjang prosiding berjalan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Kahar didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu dan melakukan sumbang mahram sejak anak tirinya itu berusia 10 tahun.

Kesalahan itu diteruskan sehingga 13 Jun tahun ini di rumah mereka (ruang tamu dan bilik tidur) di Kampung Lubok Temiang semasa orang lain tiada di rumah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagi perbuatan sumbang mahram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (A) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 376B akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.

Dia dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun dan 18 sebatan rotan bagi kedua-dua kesalahan.

Mahkamah memerintahkan supaya hukuman penjara dijalankan berturut-turut mulai tarikh Mohd Kahar ditangkap pada 4 Julai tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Aliear mengendalikan pendakwaan.

Mangsa membuat laporan polis pada 13 Jun lepas apabila dia tidak tahan lagi dengan penderaan oleh bapa tirinya itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan disyor bina pasar borong lebih efisien

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kerajaan disyor mempertimbangkan pembinaan pasar borong baharu dengan menawarkan perkhidmatan bersepadu yang lebih efisien bagi mengatasi isu pembatasan bekalan di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Cadangan dibuat berpandukan dapatan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010 (AP 2010) oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat beberapa isu berkaitan PBKL membabitkan yuran operasi tambahan, kebanjiran pekerja dan penjual warga asing termasuk penyewaan gerai secara haram selain isu jenayah.

“Kita disyorkan untuk menubuhkan satu lagi pasar borong lengkap dengan kemudahan yang cekap dan canggih di lokasi strategik termasuk menggunakan segala pendekatan terbaharu perniagaan secara dalam talian (E-dagang).

“Ini bagi membolehkan peniaga membekalkan produk yang berkualiti tinggi dan harga akan jadi lebih kompetitif untuk pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan ‘Market Review on Food Sector Under The Competition Act 2010’, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abdul Aziz; Pengerusi MyCC, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Saifuddin berkata, PBKL diberi penekanan dalam kajian yang dimuktamadkan selepas sembilan bulan itu berikutan posisinya sebagai pasar borong terbesar di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, kata beliau, pasar berkenaan membekalkan lebih 50 peratus hasil segar seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada zon Tengah termasuk negeri berhampiran.

Sementara itu, Iskandar berkata, pihaknya komited dalam menjaga proses persaingan yang sihat bagi menggalakkan kecekapan, inovasi dan keusahawanan untuk menjadikan pasaran lebih baik.

“Komitmen ini berpotensi mendorong harga yang kompetitif, peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan serta pilihan lebih luas bagi pengguna.

“Jadi, langkah seterusnya adalah bagi semua pemegang taruh berkaitan untuk bekerjasama dalam merealisasikan syor berkenaan,” katanya.