Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan laksana semak, imbang mencukupi elak kes 1MDB berlaku lagi – Kadir

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Kerajaan sedang melaksanakan semak dan imbang yang mencukupi serta pembaharuan bagi memastikan kes seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan berlaku lagi, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau berkata pembaharuan akan melindungi negara di bawah mana-mana kerajaan dan memastikan mereka tidak akan dapat menubuhkan satu lagi 1MDB.

“Walaupun sekiranya kerajaan ini tidak lagi mentadbir negara dalam pilihan raya yang akan datang, saya berharap dan saya fikir anda perlu membuat pembaharuan yang tidak boleh diubah.

“Jadi, itulah apa yang kerajaan telah lakukan,” katanya semasa sesi perbincangan panel pada majlis Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) – Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019, di sini, hari ini.

Selain itu, Kadir berkata langkah-langkah pembetulan juga telah diambil bagi memulihkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak diuruskan dengan baik.

“Terdapat GLC yang sangat baik dan terdapat juga beberapa GLC yang tidak diuruskan dengan baik. Kita melihat satu dua kes — iaitu agensi dan bukannya syarikat – di mana tindakan undang-undang diambil ke atas pengerusi, ahli lembaga dan pengurusan kanan.

“Saya fikir ini akan membawa mesej mendalam kepada sektor korporat, terutamanya GLC, bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang perkara yang tidak betul dalam pengurusan syarikat-syarikat ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kadir Jasin : Najib mahu ‘beli’ portal berita

SHAH ALAM, 22 JAN: Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dalam percubaan membeli dan mengawal media atas talian.

Beliau berkata, tindakan itu sebahagian daripada inisiatif baru kumpulan Najib untuk memenangi hati dan fikiran rakyat ekoran media arus perdana kurang mendapat sambutan.

Katanya, maklumat itu diterima daripada pemilik sebuah portal berita bebas yang tidak didedahkan namanya.

a. kadir jasin(m)“Saya kenal orang itu kerana dulu kami kerap makan di Petaling Jaya dan saya hormati dia (pada waktu itu) sebab dia adalah profesional muda Melayu berjaya dan bersopan santun.

“Tetapi, kini dia dikatakan amat akrab dengan Najib dan sangat berkuasa sehingga pengarang media massa arus perdana melutut kepadanya.

“Saya dimaklumkan dia kini bergabung dengan penulis “mercenary” yang lari ke luar negara dalam percubaan membeli (atau mengawal) portal berita bebas seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today,” katanya di blog hari ini.

Kadir berkata, perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) turut mendapati penjualan akhbar Utusan Malaysia merosot daripada 191,302 naskhah antara Januari dan Jun 2013 kepada 163,000 antara Januari dan Jun 2015.

Katanya, walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji laskar siber Umno dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) Disember lalu, namun mereka mahu kesampaian lebih luas.

“Cakap-cakap dalam kalangan penggiat media bebas atas talian mengatakan salah sebuah portal dimiliki tauke Cina sudah “kow-tow” kepada Ahmad Zahid, manakala sebuah lagi ditawarkan “bantuan kewangan” lumayan tetapi ditolak pemiliknya.

“Sementara itu, seorang Ketua Bahagian Umno di Wilayah Persekutuan mendakwa kepada saya beliau kini menjadi sasaran laskar siber pemakan dedak kerana dituduh tidak lagi komited kepada Najib,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Ganung ‘Three Stooges’ buktikan kajian MCB 2014 tepat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 MEI: Aksi keluar masuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno dalam tempoh masa 24 jam semalam seakan mengiyakan hasil kaji selidik terbaru Malaysian Corruption Barometer (MCB) 2014 yang menunjukkan ahli politik dipercayai paling banyak terbabit rasuah.

Tiga ADUN itu temasuk Menteri Besar Terengganu yang juga ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said; Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata tiada sesiapa akan mempercayai bahawa krisis kepimpinan di Terengganu itu berlaku hanya disebabkan ketidakpuasan hati berhubung majlis perkahwinan anak perempuan bekas menteri besar berkenaan.

guan eng parlimen 03Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pegangan kucar kacir ahli Umno itu yang mendorong masyarakat beranggapan ahli politik yang boleh dipercayai dan disandarkan kini tidak wujud lagi.

“Bekas Ketua Pengarang News Straits Times, Datuk A Kadir Jasin sempat membangkitkan persoalan taktik licik dan politik kotor dalam isu ini.

“Beliau siap membayangkan tiga ahli Umno yang menjadi ADUN bebas itu boleh berubah fikiran semula jika ‘kena pada harganya’. Teori ‘kena pada harganya’ oleh Kadir Jasin itu akhirnya terbukti benar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil kaji selidik terbaru MCB menunjukkan 45 peratus daripada 2,000 responden percaya salah laku rasuah paling banyak diamalkan ahli politik diikuti pasukan polis (42 peratus), pegawai dan penjawat awam (31 peratus) dan parlimen dan badan perundangan (23 peratus).

Ini adalah kali pertama ahli politik dilihat sebagai paling korup berbanding hasil kajian sebelum ini yang sering diungguli pasukan polis.

3-stooges-l9-May-650x350Kajian turut menunjukkan hanya 28 peratus responden percaya Kerajaan Pusat bertindak dengan efektif dalam menangani rasuah iaitu persepsi paling rendah pernah dicapai dalam tempoh lima tahun.

Sebelum ini, Wall Street Journal dan Transparency International menamakan Malaysia sebagai juara korupsi dengan mengambil kira RM1.2 trilion wang haram dialirkan ke luar negara, selain tiada tindakan dikenakan terhadap kegiatan salah laku dan pembaziran RM6.5 bilion yang dilaporkan Laporan Audit Negara 2012.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pejabat PM ‘arah’ Astro Awani tarik balik berita Rosmah wajar jadi menteri?

SHAH ALAM 11 DIS : Ekoran panggilan telefon dari Pejabat Perdana Menteri, Astro Awani versi online menarik balik berita berkaitan cadangan Datuk A Kadir Jasin supaya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilantik sebagai menteri.

Berita yang disiarkan sehari sebelum, tiada lagi dalam laman web itu sejak tengah hari semalam tetapi tulisan asal bekas Ketua Pengarang New Straits Times Press (NSTP) itu masih tersiar.

Mengikut The  Malaysian Insider,  seorang kakitangan Astro Awani  ketika dihubungi memaklumkan, ia dibuang atas arahan Pejabat Perdana Menteri.

1464703_559211000828460_974587604_nNamun, pengarang laman web itu ketika dihubungi enggan memberi pengesahan dan meminta pihak atasannya menjawab..

Kadir pula ketika dihubungi tidak tahu-menahu arahan penarikan balik penyiaran berita itu.

Beliau enggan memberi komen berkenaan hal itu dan berkata artikel bertajuk “PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa” yang disiarkannya Ahad lalu adalah pandangan sebagai rakyat jelata dan wartawan.

“Saya tidak tahu-menahu berkenaan adanya arahan menarik balik berita Astro Awani atau mana-mana portal media, maka pertanyaan itu saya tidak boleh jawab.

“Bagaimanapun artikel adalah berdasarkan atas hak saya sebagai wartawan dan rakyat yang bebas menyuarakan apa sahaja asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, catatan dalam blognya boleh digunakan mana-mana media untuk diubah menjadi berita asalkan memetik sumber artikel.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 memuji isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor , atas jasanya kepada negara.

Selain membantu mangsa banjir, Najib mendedahkan Rosmah juga dikatakan berjasa kerana membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Mesir akibat disyaki sebagai pengintip dengan hanya menelefon isteri Presiden Mesir, Suzanne Mubarak.

Rosmah juga dikatakan mengguna pengaruhnya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk membebaskan pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir ketika kebangkitan Arab Spring untuk memasuki negara itu tanpa visa.

Susulan itu, Kadir dalam blognya, mencadangkan Rosmah perlu diberi jawatan menteri, bahkan mungkin jawatan perdana menteri.

Beliau berkata, pendedahan Najib menyebabkan kedudukan menteri luar dan menteri lain harus dikaji kerana tidak setanding dengan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

– NFL FZL