Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air di Selangor pulih 99 peratus

SHAH ALAM, 30 SEPT: Proses pemulihan bekalan air di empat wilayah di Selangor yang terjejas akibat pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih, mencapai tahap 99 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan di Hulu Langat telah dilakukan sepenuhnya manakala tiga yang lain iaitu Petaling pada tahap 99 peratus serta Kuala Langat dan Sepang (98 peratus).

Beliau berkata, pihaknya terus menjalankan operasi seterusnya dan menjangkakan proses berakhir pada jam 6 petang ini.

“Segala usaha diambil bagi memulihkan bekalan air kepada pelanggan yang terjejas mengikut sasaran.

“Bantuan lori tangkai air digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklum balas, pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat serta status terkini.

Sebarang bantuan boleh diperoleh dengan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuala Lumpur, Kuala Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUL: Wilayah Kuala Lumpur dan Kuala Langat yang mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor sudah pulih sepenuhnya setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, dengan pemulihan di dua wilayah terbabit menjadikan Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Kuala Langat pulih sepenuhnya.

Namun, katanya, peratusan pemulihan bagi Klang, Shah Alam dan Petaling masing-masing berada pada tahap 99 peratus.

“Segala usaha diambil bagi menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan dan mempercepatkan pemulihan. Pihak kami menyasarkan pemulihan keseluruhan kawasan adalah sebelum atau pada 26 Julai ini jam 9 pagi.

“Kami masih menyalurkan bantuan melalui lori tangki air ke kawasan yang belum pulih sepenuhnya dan mohon kerjasama pengguna di kawasan bekalan sudah pulih untuk menggunakan air berhemat bagi membantu pihak kami menstabilkan dan mempercepatkan pemulihan bekalan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 416,996 jumlah akaun terjejas di Klang dan Shah Alam dengan sasaran pemulihan terkini bagi keseluruhan kawasan pada 25 Julai jam 9 pagi.

Manakala, katanya, jumlah akaun terjejas di Petaling pula adalah 414,955 dengan sasaran pemulihan pada Jumaat jam 9 pagi.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor untuk maklumat serta status terkini atau hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk sebarang bantuan.

Categories
SELANGOR

Bekalan air di Shah Alam pulih sepenuhnya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerja pembaikan kerosakan pam utama air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) berlaku semalam, sudah pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, kawasan terjejas sudah mulai pulih secara berperingkat sejak awal pagi tadi.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terbabit khususnya pelanggan yang sudah memberikan kerjasama dalam usaha kami meningkatkan perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store untuk maklumat mengenai bekalan air.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

26 kawasan Shah Alam alami gangguan air petang ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Sekurang-kurangnya 26 kawasan sekitar Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air secara berperingkat bermula jam 2 petang ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan itu disebabkan kerosakan peralatan pada salah satu pam utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3).

Katanya, antara kawasan yang terjejas adalah Taman Putra Mas, Bukit Kuda dan Jalan Batu Tiga Lama serta Seksyen 2 hingga 25 kecuali Seksyen 21 dan 22.

“Oleh itu, pelanggan yang terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan pihak kami akan menggerakkan bantuan lori tangki air ke kawasan berkenaan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan dan mempercepatkan pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sedang giat mengatasi kerosakan itu.

Kerosakan itu menyebabkan pengurangan agihan air terawat sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) dan penurunan paras kolam.

Orang ramai boleh merujuk rujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini.

Categories
SELANGOR

Pemulihan bekalan air di Klang masih di tahap 99%

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MEI: Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan Klang masih berada pada tahap 99 peratus berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa lokasi dan premis di Bandar Putera 2 serta Taman Sentosa yang menerima bekalan melalui Kolam Lipat Kajang masih belum dapat pulih sepenuhnya.

Katanya, kelewatan pemulihan sepenuhnya di dua kawasan terbabit adalah disebabkan paras Kolam Lipat Kajang masih belum dapat mencapai paras optimum dan menyebabkan tekanan aliran di sistem agihan tidak stabil.

“Bagi mengurangkan impak gangguan, kami melaksanakan tindakan pemulihan bekalan melalui kaedah alternatif sementara kami melaksanakan kerja pemasangan dan pengalihan paip baharu 1400mm bagi penyelesaian kekal saluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan melalui kolam berkenaan.

“Kami menyasarkan kerja pemasangan jajaran paip utama 1400mm ini akan dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Sejurus sistem paip utama baharu ini diaktifkan, ianya akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pihaknya juga masih menggerakkan bantuan lori tangki air secara berterusan ke lokasi dan premis yang masih terjejas serta Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Taman Rakyat dan Taman Sri Andalas masih beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kami amat memahami kesulitan yang dialami dan mohon maaf kepada pelanggan-pelanggan yang berada di kawasan yang masih belum mendapat pemulihan sepenuhnya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan bantuan boleh hubungi di talian 15300 atau rujuk aplikasi Air Selangor untuk status terkini.

Categories
SELANGOR

Bekalan air di Klang pulih 99%

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MEI: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan gangguan air di beberapa kawasan di Klang sudah mencapai tahap 99 peratus sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya kini giat melaksanakan proses meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan aliran bekalan air.

“Pemantauan dan tindakan di lapangan perlu terus dijalankan dan pihak kami juga masih menyediakan bantuan lori tangki air untuk menyalurkan bantuan kepada
pelanggan yang memerlukan.

“Ekoran status pemulihan ini, hanya satu Pusat Khidmat Setempat yang masih diaktifkan di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas bagi memberi bantuan ke tiga premis yang belum mencapai pemulihan sepenuhnya antaranya Bandar Putra 2, Parkland dan Taman Sentosa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, kerjasama semua pelanggan untuk tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan amat dihargai bagi membantu kelancaran proses pemulihan ini.

“Terima Kasih atas kerjasama semua pihak dan sila hubungi kami di talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

“Pelanggan juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk mendapatkan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air hampir pulih sepenuhnya

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 12 MEI: Kira-kira 98 peratus kawasan yang terjejas di Wilayah Klang ekoran paip utama pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, sejak Sabtu lalu sudah pulih sepenuhnya setakat jam 6 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, terdapat beberapa premis masih mengalami gangguan bekalan dan tekanan rendah di lokasi tinggi serta penghujung sistem agihan.

Katanya, antara lokasi terbabit Bandar Putera, Parkland, Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Utara, Jalan Pelabuhan Utara dan Taman Sentosa.

“Pihak kami sentiasa memberikan tumpuan bagi menstabilkan dan memulihkan bekalan ke kawasan terbabit serta meminta kerjasama pelanggan terjejas untuk merujuk makluman rasmi.

“Sebarang makluman hebahan berhubung akan berlakunya lagi penutupan dan
gangguan adalah tidak benar, kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemulihan dan menstabilkan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas seperti disasarkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Abdul Raof menegaskan supaya pelanggan tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan susulan ia akan menjejaskan proses pemulihan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan status terkini dengan memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor

Pelanggan juga boleh menghubungi di talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

Terdahulu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.