Categories
ADN SELANGOR

ADN Dengkil bantu 50 keluarga, warga emas terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 26 DIS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil menghulurkan bantuan kepada 50 keluarga berpendapatan rendah yang terjejas susulan Covid-19 di Olak Lempit dan Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang, semalam.

Adhif Syan Abdullah berkata sumbangan merupakan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, susu, gula, sardin, biskut, bihun, mi segera dan tepung.

“Selain itu, saya turut beri bantuan kewangan dan enam kerusi roda kepada warga emas. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memudahkan pergerakan mereka.

“Sejajar konsep ‘Dengkil Care’, kami menggalakkan lebih ramai rakyat dan agensi bantu masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata inisiatif itu juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara wakil rakyat dan penduduk.

Program ziarah itu turut disertai beberapa majlis perwakilan penduduk dan Pasukan Sukarelawan Dengkil Care.

Categories
SELANGOR

Tekad bantu golongan B40 sepanjang 2019 – ADN Dengkil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dibantu bagi memastikan kumpulan berkenaan keluar dari kepompong terbabit, sekali gus menjadi penyumbang kepada kemakmuran negeri.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, itu antara tekad dan misinya sepanjang tahun 2019 dengan memastikan kumpulan terbabit yang sentiasa dibantu bakal menjadi penyumbang kepada negeri dan negara, satu hari nanti.

“Justeru, pada tahun ini, saya akan berusaha memperkasa penduduk Dengkil menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan mempersiapkan anak muda dengan kemahiran serta fasiliti yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya.

“Saya juga akan terus komited menyokong segala program dan inisiatif rakyat serta pihak swasta yang membawa kebaikan kepada rakyat dari segenap segi kerana pemberdayaan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya rakyat terus yakin dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang sedang berusaha membaik pulih negara.

“Kita sudah diambang kejayaan tetapi kita juga perlukan sedikit masa. Semoga dengan berkat kesabaran, keyakinan dan usaha kita bersama, Malaysia pasti bangkit semula sebagai Harimau Asia yang digeruni.

“Marilah kita bersama-sama sebagai sebuah komuniti yang besar, bina kawasan kita menjadi suatu yang membanggakan selaras semangat ‘Maju Bersama’,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bimbang rumah eksklusif monopoli Cyberjaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 OKT: Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah menyatakan kebimbangan apabila pembangunan di Cyberjaya lebih cenderung terhadap pembinaan rumah kos tinggi yang eksklusif.

Katanya, lebih mendukacitakan terdapat pemaju yang menyalahkan kuota bumiputera tinggi sebagai punca mengapa kebanyakan rumah dibina tidak terjual.

“Saya yakin, alasan ini digunakan bagi melindungi kelemahan dan keengganan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Saya menyokong kenyataan bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menyatakan Cyberjaya bukan pusat perniagaan hartanah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lebih membimbangkan selepas pengumuman pengecualian cukai SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan, tiada pemaju yang tampil menyokong langkah itu.

Adhif Syann berkata, pemaju juga tidak memberi indikasi penjimatan pengecualian itu akan dipindahkan kepada pembeli.

“Walaubagaimanapun, saya tidak mahu rakyat tempatan khususnya penduduk Sepang dan Dengkil tertinggal arus kemajuan yang bakal datang, justeru usahasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu digiatkan di samping keterbabitan pihak swasta.

“Jika dahulu usaha ini terbantut kerana perbezaan ideologi politik, Malaysia Baharu perlu membawa nafas baru bagi merejuvenasikan hala tuju dan peranan Cyberjaya sebagai pusat inovasi berteknologi tinggi yang mampu memacu negara ke arah kemajuan serta kegemilangan diimpikan,” katanya.