Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat di Dengkil jejas 10 rumah

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kira-kira 10 rumah terjejas teruk akibat banjir kilat di kawasan Desa Timah Langat dan Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil semalam, kata ahli dewan negerinya.

Adhif Syan Abdullah berkata punca utama kejadian itu disebabkan struktur longkang dan saliran dalam keadaan kurang memuaskan dan perlu diselenggara.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah meninjau kawasan rumah dilanda banjir kilat dan menghulurkan bantuan ehsan kepada mangsa

“Ini bukan kejadian kali pertama. Saya akan bincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkaitan untuk mengkaji segera sama ada kerja baik pulih itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Hasil tinjauan semalam, Adhif berkata kerja pembaikan struktur jalan raya yang berlubang di kawasan sama turut dilaksanakan.

“Saya harap penduduk bersabar, kita akan usahakan langkah baik pulih ini segera supaya kejadian tidak lagi berulang.

“Mereka yang mempunyai sebarang masalah atau aduan boleh berhubung terus ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dengkil di talian 03-8768 7892,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kerja baik pulih sekolah rosak akibat ribut dilaksana segera

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerja baik pulih jangka pendek di Sekolah Menengah Agama Sungai Merab Luar dan Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar yang rosak akibat ribut Ahad lalu dilaksanakan segera, kata Ahli Dewan Negeri Dengkil.

Adhif Syan Abdullah berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),  Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya serta beberapa pihak terlibat menyelesaikan masalah tersebut.

“Memandangkan sekolah bakal dibuka tidak lama lagi kita bercadang untuk pulihkan beberapa kerosakan kecil dulu seperti kerja pembersihan di kawasan terjejas.

“Bagi kerja baik pulih jangka panjang iaitu menaik taraf bumbung sekolah yang diterbangkan angin akan diganti tetapi perlukan sedikit masa,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Adhif berkata Pejabat Tanah dan Daerah juga sedang melakukan bancian bagi mengenal pasti kerosakan kira-kira 30 rumah di Kampung Sungai Merab Luar yang turut terjejas.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan beliau akan melawat kawasan tersebut dalam masa terdekat ini,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

PKP Pentadbiran: Penduduk digesa patuh SOP, jangan rentas negeri

SHAH ALAM, 12 JUN: Penduduk dua taman di Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran sehingga 16 Jun ini wajib mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) walaupun dibenarkan bergerak bebas.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dilarang merentas negeri selagi penguatkuasaan belum selesai.

“Amalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta kerap cuci tangan dalam norma baharu kehidupan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim memaklumkan penduduk negatif Covid-19 dibenarkan keluar masuk kawasan selepas mendapat Annex 17 iaitu pelepasan dari menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Pada 3 Jun lalu, dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
ADN SELANGOR

Jalan Banting-Dengkil ditambah baik, elak kemalangan berulang

BANTING, 30 JAN: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat mengenal pasti beberapa penambahbaikan di KM 11 Jalan Banting-Dengkil susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang murid perempuan.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata tindakan jangka pendek itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Kami bercadang untuk memasang lampu biru berkelip, ‘rumble strips’, lampu jalan dan mengecat semula lintasan pejalan kaki, menambah road stud serta menebang pokok yang menghalang laluan,” kata Mohd Jusni Hashim.

ADN Dengkil, Adhif Syan Abdullah (tujuh dari kiri) bersama Pengawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim (empat dari kiri) melawat lokasi kemalangan maut di KM 11 Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit pada 30 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi tindakan jangka panjang pula, beliau meminta Jabatan Kerja Raya menaik taraf jalan daripada dua kepada empat lorong bagi menampung kapasiti trafik dan lintasan pejalan kaki diganti dengan jejantas.

“Namun, pelan tindakan ini masih dalam kajian. Bila akan dilaksana kita belum pasti tetapi perkara ini sudah dipohon dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan sedang tunggu kelulusan,” katanya selepas lawatan khas bersama Ahli Dewan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah ke lokasi kemalangan hari ini.

Pada 21 Januari lalu, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut dalam insiden langgar lari ketika berjalan kaki ke sekolah manakala rakannya Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan.

 

Categories
SELANGOR

MB: Tunggu siasatan kes Adhif Syan selesai

KUALA LANGAT, 14 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil Adhif Syan Abdullah masih boleh meneruskan tugas sehingga proses siasatan selesai, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya senada dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.

Amirudin berkata pihaknya berpegang kepada prinsip seseorang dianggap tidak bersalah selagi belum diputuskan undang-undang dan beliau berharap siasatan berlangsung dengan teliti.

“Setakat ini, beliau tidak mengaku (bersalah) dan saya beri ruang itu kepada beliau membuktikannya melalui proses undang-undang.

“Kedudukan sebagai ADN setakat ini masih pada tahap itu (boleh meneruskan tugas) dan saya menunggu pandangan daripada rakan kita sebab seperti saya sebut Bersatu sepatutnya menentukan masa depan beliau dan saya serahkan kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata tindakan akan diambil terhadap ahli parti itu jika mereka terbukti bersalah dalam kes jenayah.

“Sesiapa yang langgar undang-undang, tak kira siapa, walaupun jika saya yang langgar undang-undang, saya perlu masuk penjara,” katanya.

Namun, Mahathir berkata parti itu perlu menunggu maklumat penuh sebelum mereka memutuskan bentuk tindakan.

Categories
ADN SELANGOR

Kejohanan E-Sukan Gen-S di Sepang meriah

OLEH ALIFF HAIKAL

CYBERJAYA, 13 OKT: Kejohanan E-Sukan Gen-S anjuran  Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama pejabat belia daerah dijangka menerima 1,000 penyertaan sepanjang Oktober ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan kejohanan sempena Sambutan Bulan Sukan Negara yang berlangsung di Dpulze Shopping Centre, di sini menerima sambut amat memberangsangkan.

“Kejohanan kali pertama yang dianjurkan di pusat membeli belah ini menerima penyertaan amat memberansangkan.

“Hari ini sahaja, seramai 5,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan E-Sports Gen-S dan Sambutan Bulan Sukan Negara @ Sepang di Dpulze Shopping Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Hafiz Shaari, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Faizal Tarmizi dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Bahar.

Selain pertandingan Mobile Legend, kejohanan ini turut menyajikan acara lain seperti pertandingan Beyblade, Street Workout dan Gusti Lengan.

Sementara itu, Hafiz Shaari berharap kejohanan ini bukan sahaja dapat memupuk gaya hidup sihat, malah  dapat menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Categories
SELANGOR

Penerima Jom Shopping DUN Dengkil meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 27 MEI: Penerima baucer Jom Shopping bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Dengkil bertambah kepada 100 orang sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, peningkatan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penduduknya melalui Insentif Peduli Rakyat (IPR).

“Saya berharap supaya pemberian membabitkan 750 penerima ini meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan baucer Jom Shopping di KIP Mall, di sini.

Program terbabit turut mendapat kerjasama KIP Mall Kota Warisan, Econsave dan ahli majlis kawasan.

Pada majlis yang sama, Persatuan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) turut menyerahkan sumbangan kepada 30 ibu tunggal terpilih.

Program Jom Shopping Kerajaan Negeri adalah salah satu daripada dasar IPR.

Ia mula diperkenalkan pada 2008 serta bertujuan membantu rakyat negeri ini terutamanya golongan kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Categories
SELANGOR

15 rumah terjejas akibat ribut di Sepang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 9 APR: Kira-kira 15 rumah terjejas akibat kejadian hujan lebat dan ribut kuat yang melanda kawasan ini, pada 7 April lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sepang, Adhif Syan Abdullah berkata, antara kawasan terjejas ialah Sungai Merab, Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kampung Teras Jernang dan Kampung Cemperai.

Katanya, rumah yang terjejas mengalami kerosakan bumbung berikutan diterbangkan angin kencang dan ada yang dihempap pokok tumbang.

“Kumpulan kebajikan daripada pejabat saya telah melakukan tinjauan bagi membolehkan mangsa menghubungi agensi terbabit.

“Saya juga turut menyerahkan bantuan barangan dapur kepada penduduk yang terjejas, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang dan Kuala Langat juga sudah turun padang memberikan bantuan,” katanya.

Pada masa sama, Adhif menasihatkan penduduk sekitar Sepang supaya berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Katanya, ia ekoran kejadian ribut serta angin kencang yang melanda beberapa lokasi di Selangor termasuk Gombak, Tanjong Karang dan Bangi.

“Saya berharap supaya penduduk sentiasa bersiap-sedia serta menyimpan nombor pihak bertanggungjawab untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

“Jangan lupa untuk mengetahui keadan cuaca terkini daripada Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia),” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selagor, Zulfikar Jaffar berkata, kejadian hujan lebat dan ribut kuat itu dimaklumkan menerusi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

Antara lokasi terjejas termasuk Cheras, Kajang, Bangi dan Semenyih.

Categories
SELANGOR

Sekolah kawasan Sepang makin padat – ADN Dengkil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 14 JAN : Pertambahan murid saban tahun menyebabkan sekolah-sekolah di sekitar Daerah Sepang semakin padat dan dibimbangi mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelajar mahupun guru.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, masalah itu turut berlaku atas faktor kepadatan penduduk serta pembangunan bandar baru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil khususnya Sepang.

“Ketika turun padang ke sekolah-sekolah, saya dapati ada pelajar bagi sesebuah sekolah menengah mencecah sehingga 2,000 orang, dan sesi persekolahan terpaksa dibuat dua sesi.

“Walaupun begitu, bilangan murid dalam setiap kelas masih ramai dan jelas ia akan menyebabkan rasa kurang fokus dan tidak selesa buat pelajar mahupun guru,” katanya kepada SelangorKini.

Adhif berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius bagi membolehkan pelajar kembali selesa.

Katanya, antara rancangan jangka masa pendek yang boleh diambil ialah membina blok baru dalam kawasan sekolah sedia ada, namun bagi penyelesaian jangka panjang,
pembinaan sekolah baru perlu diwujudkan.

“Antara kawasan cadangan bagi sekolah baru adalah di Kota Warisan untuk sekolah kebangsaan, sementara di Bandar Bukit Puchong adalah sekolah menengah.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan segera kerana setiap tahun kita bakal menerima murid baharu yang mendaftar ke sekolah.

“Saya berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tekad bantu golongan B40 sepanjang 2019 – ADN Dengkil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dibantu bagi memastikan kumpulan berkenaan keluar dari kepompong terbabit, sekali gus menjadi penyumbang kepada kemakmuran negeri.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, itu antara tekad dan misinya sepanjang tahun 2019 dengan memastikan kumpulan terbabit yang sentiasa dibantu bakal menjadi penyumbang kepada negeri dan negara, satu hari nanti.

“Justeru, pada tahun ini, saya akan berusaha memperkasa penduduk Dengkil menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan mempersiapkan anak muda dengan kemahiran serta fasiliti yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya.

“Saya juga akan terus komited menyokong segala program dan inisiatif rakyat serta pihak swasta yang membawa kebaikan kepada rakyat dari segenap segi kerana pemberdayaan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya rakyat terus yakin dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang sedang berusaha membaik pulih negara.

“Kita sudah diambang kejayaan tetapi kita juga perlukan sedikit masa. Semoga dengan berkat kesabaran, keyakinan dan usaha kita bersama, Malaysia pasti bangkit semula sebagai Harimau Asia yang digeruni.

“Marilah kita bersama-sama sebagai sebuah komuniti yang besar, bina kawasan kita menjadi suatu yang membanggakan selaras semangat ‘Maju Bersama’,” katanya.

Categories
SELANGOR

Graduan jangan hampakan ibu bapa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Graduan dinasihatkan supaya tidak menghampakan harapan ibu bapa setelah berjaya menamatkan pengajian dan merangkul ijazah.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, ia penting kerana jasa, pengorbanan dan restu ibu bapa membantu mereka untuk memperoleh kejayaan itu.

“Saya mungkin tidak berpeluang merasainya kerana kesempitan hidup pada masa lalu, jadi peluang yang ada jangan dipersiakan.

“Saya juga percaya pembelajaran itu proses berterusan dan rezeki juga sudah tertulis, namun usaha kita jua yang menjadi titik tolak sesuatu perkara,” tulisnya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan, khususnya di kawasan Dengkil.

“Sesungguhnya tiada apa yang lebih menggembirakan saya daripada melihat anak Dengkil berjaya di luar sana. Walau dalam apa sektor dan pekerjaan sekalipun, ketahuilah bahawa saya amat berbangga dengan pencapaian kalian.

“Saya doakan semuanya berjaya pada masa hadapan dan dapat meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Jangan dilupakan asal usul dan jika berpeluang utk menabur bakti kembali ke kampung halaman, berbuatlah demikian,” tulisnya.

Categories
SELANGOR

241 wanita DUN Dengkil terima KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

DENGKIL, 3 SEPT: Seramai 241 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), di sini, pada 30 Ogos lalu.

Penyerahan kad KISS itu disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil.

Adhif berkata, ikatan kebajikan itu amat bagus terhadap golongan sasar yang amat memerlukan bantuan sedemikian.

“Ia bertujuan meringankan beban tanggungan keluarga terutama kepada ibu yang tidak bekerja dan mempunyai anak ramai.

“Manakala, kepada mereka yang sudah memohon, urusan anda akan saya percepatkan dan berusaha untuk menyelesaikan dengan kadar segera,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau.

Pada masa sama, Adhif turut mengucapkan terima kasih kepada wakil Selgate yang sudi hadir memberi penerangan berkenaan penggunaan kad KISS itu kepada orang ramai.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.