Categories
ADN SELANGOR

50 sukarelawan gotong-royong baiki jalan rosak

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 50 sukarelawan terdiri daripada masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) bergotong-royong membaiki jalan rosak yang menghubungkan Bandar Puncak Alam dan Kampung Bukit Hijau, Jeram.

Wakil rakyat Jeram memaklumkan kerja baik pulih jalan ‘tikus’ dilakukan daripada 8 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Mohd Shaid Rosli berkata aktiviti itu dijalankan bagi memudahkan pergerakan pengguna di situ.

“Setiap hari, hampir ribuan kenderaan termasuk lori muatan besar seperti sampah dan projek perumahan akan melalui jalan tersebut sehingga menyebabkan ia cepat rosak serta berlubang.

“Sebelum ini ia jarang digunakan orang ramai tetapi kini sudah menjadi laluan utama sejak jalan pintas untuk ke Kuala Selangor atau datang ke Puncak Alam ini wujud dalam aplikasi navigasi Waze,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga memperuntuk sejumlah RM7,000 untuk membeli peralatan diperlukan bagi melaksanakan aktiviti tersebut seperti kereta sorong dan cangkul.

“Ini adalah perbelanjaan saya sendiri kerana kita tidak boleh guna dana Kerajaan Negeri memandangkan jalan ini sebenarnya tidak diwartakan.

“Saya berterima kasih kepada pihak terlibat yang sudi membantu dalam menjayakan kerja baik pulih jalan ini,” katanya.

Mohd Shaid menambah jalan terbabit akan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dijadikan sebagai laluan alternatif selepas pembinaan lebuh raya berhampiran siap.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Jeram umum keluar Bersatu, bergerak sebagai wakil rakyat bebas

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Jeram, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor Mohd Shaid Rosli, mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta hari ini, dan bergerak sebagai wakil rakyat bebas.

Turut mengumumkan keluar daripada parti berkenaan adalah 21 ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Kuala Selangor.

“Saya selaku ADN yang dipilih bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, bertanggungjawab dengan mandat dan amanah yang diberikan kepada saya.

“Maka saya ingin terus bersama dengan rakyat, yang memberi mandat kepada saya sehingga mereka membuat keputusan baharu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor, di sini hari ini.

Mohd Shaid berkata, susulan pengumumannya keluar daripada parti itu, 13 cawangan Bersatu Bahagian Kuala Selangor, yang melibatkan lebih 2,000 ahli, turut terbubar secara automatik.

Ditanya sama ada tindakan beliau keluar daripada Bersatu adalah bagi menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohd Shaid berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkannya jika parti itu benar-benar wujud.

“Ada kebarangkalian besar untuknya saya dan ahli-ahli Bersatu Bahagian Kuala Selangor, menyertai parti tersebut,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti, sama ada Pakatan Harapan (PAKATAN) atau Perikatan Nasional (PN).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan gabungan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (lapan), manakala Barisan Nasional (lima), PAS (satu), Bersatu (lima) dan Bebas (empat).

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Mangsa ribut terima bantuan baik pulih bumbung rumah

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebuah keluarga dari Kampung Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor yang tidur berbumbungkan langit selepas atap rumah diterbangkan ribut baru-baru ini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan baik pulih struktur kediaman mereka.

Ahli Dewan Negeri Jeram Mohd Shaid Rosli berkata peruntukan membaiki kerosakan bumbung rumah mangsa diluluskan selepas perbincangan diadakan bersama penolong pegawai daerah Kuala Selangor.

“Semasa menziarahi tapak kejadian, saya membayangkan bagaimana keadaan mereka bersahur dan berbuka puasa dengan bumbung terdedah apabila hujan turun.

“Selepas lawatan pasca bencana tersebut, saya membuat permohonan dengan pihak pejabat daerah bagi meluluskan pembaikan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Keadaan bumbung rumah milik sebuah keluarga yang rosak dalam kejadian angin kencang pada hujung April lalu. Foto Facebook Shaid Rosli

Beliau berkata sumbangan itu diharap meringankan beban keluarga mangsa menampung kos kerosakan.

“Semoga kerja pembaikan kerosakan bumbung dibuat memberi hadiah kegembiraan pemilik rumah serta keluarga,” katanya.

Pada hujung April lalu, Kampung Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor dilanda angin kencang sehingga merosakkan rumah terbabit.

 

Categories
SELANGOR

Jalan berlubang Kepong-Kuala Selangor dibaikpulih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JERAM, 14 NOV: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dan Kemasepakat Sdn Bhd dalam tindakan membaik pulih jalan raya di laluan FT054 Kepong-Kuala Selangor yang ditakungi air hujan sehingga menyebabkan kemalangan, di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Shaid Rosli berkata, JKR turut mengeluarkan arahan kepada pemaju berkenaan supaya dapat menyegerakan persiapan laluan kontra dan persimpangan terbabit.

Katanya, ia bagi memudahkan pengguna mengalami pemanduan yang lebih lancar, selesa dan selamat.

“Kita sudah memaklumkan kepada JKR Kuala Selangor berhubung perihal itu dan terkini mereka sudah mengeluarkan surat arahan kepada pihak pemaju supaya menangani isu takungan air tersebut dengan kadar yang paling segera.

“Malah, pihak pemaju juga diarahkan mengambil tindakan pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang di kemudian hari,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 Oktober lalu, sebuah kemalangan dilaporkan berlaku di laluan berkenaan berpunca daripada takungan air hujan dan masalah itu mendatangkan pelbagai kesulitan kepada penduduk.

Justeru, Shaid berkata, sepanjang kerja penaiktarafan dijalankan, jalan utama itu akan ditutup dan dibuka semula kepada pengguna setelah proses penyelenggaraan selesai.