Categories
AGENSI SELANGOR

ADN Selangor kunjungi UNISEL, kongsi idea

BESTARI JAYA, 26 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) menerima kunjungan hormat beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor di kampus Bestari Jaya, di sini kelmarin.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, ADN terbabit dalam lawatan itu adalah ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin; ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Katanya, lawatan berkenaan turut disertai ADN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri termasuk wakil ADN Bukit Melawati, Dr Hafiz.

“Kunjungan ini ialah salah satu lawatan kerja bagi membincangkan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka ruang pertukaran idea dan pandangan daripada aspek transformasi UNISEL secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook UNISEL, semalam.

Hasril berkata, sepanjang pertemuan itu, Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkesempatan menerangkan beberapa pelaksanaan terkini, selain berkongsi kejayaan dikecapi UNISEL sepanjang tiga tahun di bawah pentadbiran beliau.

Categories
ADN SELANGOR

ADN BERSATU Selangor sokong kepimpinan Tun M

SHAH ALAM, 31 JUL : Ahli Dewan Negeri (ADN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

ADN Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata, pihaknya tidak melihat sebarang keperluan untuk Perdana Menteri berundur sebelum misi membina semula negara yang diterajui beliau itu diselesaikan dengan sempurna.

“Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi ketika peralihan kuasa, adalah wajar Tun Dr Mahathir diberikan peluang menguruskan negara dengan sebaiknya dan kami merasakan tidak sepatutnya wujud sebarang desakan untuk beliau melepaskan jawatan.

“Justeru itu, kami Ahli Dewan Negeri Selangor menyambut baik dan menyokong penjawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia hingga akhir penggal ke-14,” katanya pada sidang media di Lobi Annex, Dewan Negeri Selangor disini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 29 Julai lalu terhadap pendirian sama yang dilontarkan UMNO dan PAS, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak transisi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Tun Dr Mahathir berjaya mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul selain menaikkan semula imej negara di persada politik antarabangsa.

“Justeru, Ahli Dewan Negeri BERSATU Selangor tidak nampak keperluan untuk Tun Dr Mahathir berundur sebelum misi membina semula negara yang diterajui oleh beliau ini diselesaikan dengan sempurna.

“Kami ADN BERSATU Selangor menyeru kepada semua Ahli Parlimen Bersatu dan Pakatan Harapan juga ADN Bersatu dan Pakatan Harapan negeri lain, agar berdiri teguh di belakang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed demi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.