Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 200 warga Unisel saring Covid-19, tiada jangkitan

SHAH ALAM, 8 JUN: Tiada kes disyaki positif Covid-19 dikesan menerusi saringan terhadap 212 warga Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata keputusan saringan itu membuktikan amalan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dapat mengekang perebakan wabak.

“Seramai 180 pelajar melakukan saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) manakala baki dalam kalangan kakitangan universiti.

“Unisel satu-satunya institusi pengajian tinggi mengambil inisiatif menjalankan saringan terhadap semua penuntut yang masih menetap di kampus,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Hasril berkata Unisel sentiasa memastikan kampus berada di bawah zon selamat untuk meningkatkab keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap institusi pendidikan tersebut.

Program saringan percuma dianjurkan Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti (HEP) dengan kerjasama Klinik Selcare serta Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ekspo Teknologi Malaysia: Unisel gondol dua emas, anugerah khas

SHAH ALAM, 26 MAC: Universiti Selangor (Unisel) melalui skuad Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menggondol dua emas melalui kategori Anugerah Inovasi Pemuda Asia sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021.

Pasukan diketuai Dr Hazeeq Hazwan Azman turut merangkul Anugerah Khas daripada Persatuan Inovasi dan Penciptaan Cina dalam ekspo julung kali berlangsung secara maya pada 22 Mac hingga hari ini.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata kit yang menerima emas tersebut adalah STEM Microworld Kit dan STEM Plant Bitechnology hasil inovasi skuad berkenaan sebagai bahan pengajaran dalam pendidikan STEM.

“Ia menjadi nilai tambah kepada modul STEM Query sedia ada malah boleh digunakan dalam program mentor mentee STEM 2020/2021 yang mendapat suntikan dana geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti),” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan.

Kemenangan STEM Unisel kali ini hampir sama diraih pada MTE tahun lalu namun dalam kategori berbeza. Pasukan tersebut yang menyertai pertandingan inovasi bermula 2018 juga pernah memenangi Anugerah Khas: Projek Paling Inovatif (MTE2018) dan pingat emas (MTE2019).

Kit STEM Microworld Kit yang dibangunkan skuad Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Selangor (Unisel). Foto Facebook Unisel

Dr Hazeeq Hazwan berkata pertandingan dalam talian kali ini memberi cabaran besar buat mereka terutama daripada aspek persiapan memandangkan pensyarah dan pelajar perlu berhubung melalui kaedah sama manakala bahan modul dihantar menggunakan pos akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ahli pasukan bagaimanapun menunjukkan komitmen sangat baik sehingga mampu mempertahankan rekod bersih sejak 2018 dan kemenangan dalam pertandingan inovasi antarabangsa ini melambangkan kecemerlangan Unisel dalam bidang penyelidikan khususnya pendidikan STEM negara,” katanya.

Delegasi Unisel terlibat adalah 12 pelajar dan 15 pensyarah Pusat Pengajian Asasi dan Umum, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran serta Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kafe muzium Unisel imbau sejarah lombong bijih timah

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kafe Muzium@Food Valet di Universiti Selangor (Unisel) menjadi daya tarikan terbaharu kepada mereka yang ingin mengimbau sejarah perlombongan bijih timah di Bestari Jaya.

Pengarah komunikasi korporat Unisel berkata muzium berkonsepkan kafe itu menempatkan satu ruang pameran identiti kesenian artifak dan seni visual berkaitan aktiviti perusahaan tersebut dijalankan warga tempatan di sana.

“Menariknya, kafe itu turut menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman sama ada masakan barat atau tempatan. Selain pelajar dan kakitangan Unisel, ia juga boleh dikunjungi orang luar bagi melihat sendiri keunikannya,” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan.

Beliau berkata ia mula dibuka pada 4 Disember tahun lalu adalah hasil cetusan idea Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman yang mahu pemuliharaan artifak dan peralatan perlombongan itu boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.

“Objektif penubuhan bukan sahaja untuk kekalkan nostalgia tapak perlombongan biji timah terakhir di Malaysia namun menjadi aspek penting dalam membina perpaduan komuniti membabitkan individu, kumpulan, rakan perniagaan dengan warga Unisel,” katanya.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel, 10 DUN kerjasama tawar Biasiswa Bestari

SHAH ALAM, 16 JUN: Universiti Selangor (Unisel) bekerjasama dengan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) menawarkan Biasiswa Bestari membantu pelajar melanjutkan pengajian untuk program diploma dan ijazah sarjana muda di Kampus Bestari Jaya.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata DUN terlibat adalah Sungai Tua, Rawang, Kota Anggerik, Taman Medan, Sungai Kandis, Permatang, Bukit Melawati, Meru, Ijok dan Kuang.

“Biasiswa berupa yuran pengajian percuma bagi semester pertama ini ditawarkan kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pengajian Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di DUN tersebut,” kata Hasril Abu Hassan.

Menariknya, beliau berkata pendaftaran pelajar baharu termasuk pengajian Asas bagi kemasukan Julai dan Ogos kini dibuka dengan yuran pendaftaran hanya RM100 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-5522 3400 atau WhatsApp ke 018-571 4084 / 018-571 4087 atau layari laman sesawang di www.unisel.edu.my

Categories
AGENSI SELANGOR

Kayak, perahu dayung tonjol keunikan pusat sukan Unisel

SHAH ALAM, 2 JUN: Pusat sukan di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya mampu menggamit kunjungan ramai serta menawarkan pengalaman berbeza dengan kemudahan sukan air dimiliki seperti kayak dan perahu dayung.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata aktiviti sukan seperti itu jarang ditemui di institusi pengajian tinggi (IPT) lain dan sering dijadikan program sukan keluarga dalam kalangan pelajar juga masyarakat setempat.

“Malah, kita menyediakan pelbagai fasiliti sukan yang canggih dan terkini kepada semua lapisan masyarakat antaranya trek balapan, gelanggang bola sepak, bola jaring, tenis, sepak takraw serta futsal.

“Jika tidak mahu berpanas, gelanggang dalaman juga tersedia seperti badminton, bola tampar, dodgeball (bola mengelak), ping pong dan bola keranjang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata semua kemudahan sukan ditawarkan tidak terhad kepada penuntut mahupun kakitangan sahaja malah boleh diakses orang luar yang berminat melakukan aktiviti berkaitan sekali gus mencapai matlamat menjadikan Unisel sebagai universiti mesra masyarakat.

“Kepada yang berminat menyewa kemudahan ini boleh berhubung terus dengan Unisel untuk menempah slot kekosongan jika ada.

“Anda boleh terus datang ke Unisel kampus Bestari Jaya bila-bila masa, beritahu pengawal keselamatan dan seterusnya mengabadikan kenangan terindah di sini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

ADN Selangor kunjungi UNISEL, kongsi idea

BESTARI JAYA, 26 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) menerima kunjungan hormat beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor di kampus Bestari Jaya, di sini kelmarin.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, ADN terbabit dalam lawatan itu adalah ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin; ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Katanya, lawatan berkenaan turut disertai ADN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri termasuk wakil ADN Bukit Melawati, Dr Hafiz.

“Kunjungan ini ialah salah satu lawatan kerja bagi membincangkan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka ruang pertukaran idea dan pandangan daripada aspek transformasi UNISEL secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook UNISEL, semalam.

Hasril berkata, sepanjang pertemuan itu, Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkesempatan menerangkan beberapa pelaksanaan terkini, selain berkongsi kejayaan dikecapi UNISEL sepanjang tiga tahun di bawah pentadbiran beliau.