Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 21 OKT : Polis digesa supaya tidak menangguh siasatan berkenaan kes pencabulan seorang wanita yang didakwa dilakukan seorang doktor di sebuah klinik kerajaan, baru-baru ini.
Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata laporan polis sudah dilakukan mangsa pada 8 Oktober lalu, namun tiada tindakan susulan.
Katanya, sehingga hari ini pihak polis masih belum mendapatkan keterangan daripada mangsa termasuk memanggil doktor yang merawatnya.
“Laporan polis dibuat semasa hari kejadian, namun mereka menunjukkan seperti tiada minat untuk menyiasat kes itu.
“Klinik juga seperti lepas tangan dan tidak mengendahkan perkara itu,” katanya dalam posting video di Facebook.
Ganabatirau yang juga Adun Kota Alam Shah berkata, kes itu perlu dipandang serius kerana melibatkan maruah wanita dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku kepada pesakit wanita lain.
Katanya, insiden itu juga menyebabkan kredibiliti klinik kerajaan akan hilang susulan tindakan tidak bermoral doktor bertugas.
“Wanita mempunyai hak untuk dilindungi, Isu itu tidak patut tidak dipandang remeh.
“Kebenaran perlu diketahui dan siasatan segera harus dilakukan,” katanya.
Semalam, seorang wanita dikenali sebagai ‘Miss T’ mendakwa menjadi mangsa doktor lelaki ketika mahu mendapatkan rawatan batuk dan sakit kepala di Klinik Kerajaan Bandar Botanic, Klang.
Beliau mendakwa doktor terbabit yang mahu memeriksa pernafasan bertindak meraba buah dadanya ketika berbaju selama beberapa minit.
-nR-