Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB agih 500 botol air minuman buat penduduk Flat PKNS Seksyen 17

PETALING JAYA, 14 OKT: Lebih 500 botol air minuman lima liter diagihkan kepada penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Seksyen 17 di sini hari ini.

Bekalan sumbangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut merangkumi tangki air
berkapasiti 5,000 liter bagi kemudahan penghuni di situ.

Bantuan diagihkan sendiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman pagi tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar dan ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan bekalan air di kawasan terlibat dalam penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 diagih berperingkat petang ini.

Aset tersebut diselenggara semalam setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, 998 pengguna di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
SELANGOR

KRT Golden Villa bantu agih air kepada penduduk

KLANG, 7 SEPT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Golden Villa mengambil inisiatif membantu penduduk di pangsapuri itu mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.

Seorang daripada ahlinya, Mohd Rosle Manhuri, 46, berkata pihaknya memahami kekangan dihadapi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang perlu mengedar air ke banyak kawasan yang turut mengalami nasib sama.

Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan air minuman kepada penduduk Pangsapuri Golden Villa, Klang pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita faham situasi dihadapi Air Selangor yang ada kalanya menyebabkan bantuan lewat, jadi KRT di sini ambil inisiatif mencari sendiri sumber air dari luar untuk diagihkan kepada penduduk.

“Kami juga gunakan pengangkutan sendiri sama ada kereta atau lori untuk ambil air bawa ke tempat kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan air minuman dan makanan asas daripada isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, S Mogan Raj, 19, berkata mereka berterima kasih dengan keprihatinan Masdiana dan pihak yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk.

“Setiap kali berlaku gangguan bekalan air pasti ada bantuan diberikan dan ini sememangnya meringankan beban kami,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sejak 3 September lalu susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.