Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka sepanjang tahun

BELURAN, 13 JUN: Permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka sepanjang tahun bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk terus membangunkan industri makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini.

Beliau berkata permohonan geran itu juga tidak tertakluk kepada tempoh masa tertentu seperti sebelum ini yang dibuka hanya pada Januari, Mei dan September sahaja.

“Namun, bagi urusan kelulusan, ianya masih tertakluk kepada peraturan dan penjadualan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Agropreneur Muda Sabah di sini.

Kiandee berkata sejak 2016, seramai 6,005 usahawan tani muda telah mendapat bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai sehingga RM20,000 berjumlah RM104.35 juta.

Untuk tahun ini, beliau berkata RM20 juta diperuntukkan untuk membangunkan 1,200 usahawan tani muda.

“Bagi fasa pertama tahun ini, seramai 238 pemohon telah diluluskan Geran Agropreneur Muda dengan nilai geran sebanyak RM4.01 juta,” katanya.

Kiandee turut memberitahu kementeriannya telah mengambil inisiatif untuk menyampaikan Kit Bantuan Makanan Agropreneur Muda kepada golongan kurang bernasib baik di Sabah.

Menurutnya, inisatif itu bagi membantu usahawan tani muda di negeri ini dalam bidang pemprosesan makanan yang telah mengalami kesukaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

“Selain membantu golongan kurang berkemampuan, inisiatif ini juga sebagai satu ruang untuk mempromosikan produk ushawan tani muda Sabah,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOA sasar 1,200 usahawan agroprenuer muda tahun hadapan

KOTA BELUD, 18 NOV: Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) menyasarkan 1,200 usahawan di bawah program agroprenuer muda berjaya dilatih pada tahun hadapan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, RM20 juta diperuntukkan di bawah Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk barangan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan agroprenuer.

“Bagi mencapai hasrat itu, MOA menjalankan jelajah ke seluruh negara bagi melihat usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan dan potensi masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena program “Jelajah Agropreneur Muda di Sabah” di Kampung Tambotouan di sini, semalam.

Mohd Sallehuddin berkata, program agroprenuer muda itu meliputi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah seramai 449 usahawan menyertai progam itu sejak Januari 2016 hingga 30 Okt lepas dengan jumlah peruntukan berjumlah RM6.1 juta.

Dalam pada itu, Mohd Sallehuddin berkata, Kampung Tombotoun dilihat berpotensi untuk diletakkan di bawah program “Mykampung Myfuture”, bagaimanapun beberapa kemudahan asas perlu ditambahbaik untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kampung itu yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

Kampung berkenaan mempunyai kawasan pelancongan yang cantik malah terletak di tepi Sungai Tombotouan selain mampu menghasilkan padi berasaskan bahan organik.

“Di sini kita dapat melihat bagaimana penduduk kampung mengusahakan eko-pelancongan yang boleh dikembangkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini meliputi lawatan MOA ke beberapa kawasan perusahaan agroprenuer muda meliputi daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Belud, Ranau, Tambunan dan Kota Kinabalu.

– BERNAMA