Categories
AGENDA NASIONAL

MOA harap lebih ramai belia ceburi bidang pertanian

KOTA BHARU, 30 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berharap lebih ramai pembabitan belia dalam bidang pertanian bagi mengurangkan kebergantungan barangan import selain mampu menjana pendapatan lumayan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tahun lepas Malaysia terpaksa mengimport produk pertanian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM52 bilion.

“Banyak lagi tanaman yang masih lagi tidak dapat menampung permintaan, misalnya durian, nanas MD2, ubi, serai, kunyit, keledek dan sebagainya. Jadi dengan penglibatan lebih ramai anak muda dalam semua sektor pertanian sekurang-kurangnya ia dapat membantu menampung permintaan.

“Saya juga berharap MOA bukan hanya dapat membekalkan kecukupan makanan, namun mampu untuk menjadikan makanan yang dikeluarkan untuk dieksport ke luar negara,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Amanat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Warga MOA Kelantan di Dewan Serai Wangi Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa, serta kira-kira 300 kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu di Kelantan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOA sasar 1,200 usahawan agroprenuer muda tahun hadapan

KOTA BELUD, 18 NOV: Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) menyasarkan 1,200 usahawan di bawah program agroprenuer muda berjaya dilatih pada tahun hadapan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, RM20 juta diperuntukkan di bawah Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk barangan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan agroprenuer.

“Bagi mencapai hasrat itu, MOA menjalankan jelajah ke seluruh negara bagi melihat usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan dan potensi masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena program “Jelajah Agropreneur Muda di Sabah” di Kampung Tambotouan di sini, semalam.

Mohd Sallehuddin berkata, program agroprenuer muda itu meliputi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah seramai 449 usahawan menyertai progam itu sejak Januari 2016 hingga 30 Okt lepas dengan jumlah peruntukan berjumlah RM6.1 juta.

Dalam pada itu, Mohd Sallehuddin berkata, Kampung Tombotoun dilihat berpotensi untuk diletakkan di bawah program “Mykampung Myfuture”, bagaimanapun beberapa kemudahan asas perlu ditambahbaik untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kampung itu yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

Kampung berkenaan mempunyai kawasan pelancongan yang cantik malah terletak di tepi Sungai Tombotouan selain mampu menghasilkan padi berasaskan bahan organik.

“Di sini kita dapat melihat bagaimana penduduk kampung mengusahakan eko-pelancongan yang boleh dikembangkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini meliputi lawatan MOA ke beberapa kawasan perusahaan agroprenuer muda meliputi daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Belud, Ranau, Tambunan dan Kota Kinabalu.

– BERNAMA