Categories
SELANGOR

ADN Sungai Ramal belanja RM20,000 bina laluan pintas

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 15 APR:  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Ramal membelanjakan hampir RM20,000 bagi pembinaan projek laluan pintas yang kini boleh digunakan oleh penduduk setempat, pada 11 April lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, lorong susur kecil laluan pintas menghubungkan Taman Impian Ehsan dan Taman Cheras Jaya, Balakong itu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Ramai ibu bapa dan pelajar menggunakan laluan ini untuk berulang-alik ke Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Cheras Jaya.

“Laluan sama juga memberi manfaat kepada pekerja kilang dan orang awam lain. Semoga kewujudannya memberi manfaat dan memudahkan kehidupan penduduk di sana,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, penduduk Taman Impian Ehsan dan Taman Cheras Jaya mengemukakan permohonan kepada ADN Sungai Ramal supaya menaik taraf jalan terbabit yang sering berlaku kemalangan motorsikal.

Categories
SELANGOR

Mazwan sumbang RM20,000 kepada SMK Taman Kajang Utama 

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 16 OKT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kajang Utama menerima sumbangan RM20,000 daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar untuk pemasangan kipas gergasi di dewan terbuka sekolah terbabit.

Mazwan berkata, SMK Taman Kajang Utama merupakan sekolah pertama dalam DUN Sungai Ramal disantuni beliau sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat.

“Diharapkan dengan adanya kemudahan kipas itu memberi keselesaan dan suasana yang lebih kondusif untuk guru dan pelajar sekolah tersebut menjalankan aktiviti,” katanya menerusi facebook.

Terdahulu, Mazwan menyerahkan dua keping cek RM10,000 setiap satu kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Taman Kajang Utama, Ibrahim Martibi.

Difahamkan, pemasangan kipas itu membabitkan kos lebih RM30,000.