Categories
SELANGOR

GST jejas mutu perkhidmatan pengurusan bangunan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap pihak pengurusan bangunan sesuatu hartanah dikatakan mampu menjejaskan mutu perkhidmatan pihak terbabit.

Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berkata, hal ini berikutan pihak pengurusan bangunan terpaksa menanggung kos tambahan dan sekaligus memberi kesan terhadap perkhidmatan dan barangan yang mereka perolehi daripada pembekal.

“Kos perniagaan sekarang memang semakin tinggi termasuk pengenaan GST. Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) perlu membayar GST tetapi bagi projek kediaman mereka tidak perlu mendaftar dengan Kastam.

ng-wei-aik1-060813_620_428_100“Dulu dengan harga yang sama mungkin mereka boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik dan nilai barangan lebih tinggi tetapi setiap perkhidmatan atau barangan yang mereka dapat berkurangan enam peratus. Mereka terpaksa membayar lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rang Undang-undang Akta Penilai, Pentaksir dan Agen Hartanah Pindaan 2017 pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, apabila pihak pengurusan bangunan dikecualikan mendaftar dengan Jabatan Kastam menyebabkan mereka tidak boleh menuntut bayaran daripada Jabatan Kastam.

Katanya, kerajaan harus mencari jalan penyelesaian yang memberi faedah kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan juga pihak pengurusan bangunan.

Ketika membahaskan isu sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen memberitahu, terdapat segelintir pengurusan bangunan tidak mematuhi kontrak dengan mengurangkan perkhidmatan di sesuatu hartanah bagi menjimatkan perbelanjaan mereka.