Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor, IWK terus majukan industri bekalan air pulih guna

KUALA LUMPUR, 10 April: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) komited untuk terus membangunkan industri bekalan air pulih guna bagi kegunaan pelbagai industri.

Dalam kenyataan bersama semalam, kedua-dua pihak menyatakan bahawa Central Water Reclamation Sdn Bhd akan mengenal pasti usaha sama lain berkaitan dengan loji rawatan IWK, termasuk loji di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.

“Ini merupakan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembangunan industri air negara yang lebih cekap dan mapan bagi mendukung sasaran negara dalam mengitar semula 33 peratus daripada efluen terawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030,” demikian menurut kenyataan bersama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kossan Rubber Industries Berhad, Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia (tengah) menandatangani perjanjian bekalan air pulih guna antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Kossan Rubber Industries Berhad dan Central Water Reclamation Sdn Bhd pada 9 April 2021. Foto: Air Selangor

Central Water merupakan syarikat tujuan khas dengan pegangan 60 peratus oleh Air Selangor manakala baki 40 peratus dipegang oleh IWK.

Ia ditubuhkan pada Mac 2021 berteraskan misi untuk menerajui industri bekalan air pulih guna dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber air sedia ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain memelihara alam sekitar.

Dalam perkembangan lain, pengeluar sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries Bhd menjadi pelanggan pertama air pulih guna untuk kegunaan industri bukan berasaskan makanan atau minuman yang dihasilkan oleh Central Water untuk kegunaan industri dan dibekalkan oleh Air Selangor.

Central Water menghasilkan bekalan air pulih guna di loji rawatan di Setia Alam yang seterusnya diagihkan oleh Air Selangor kepada Kossan melalui jajaran paip khas.

Satu perjanjian dimeterai antara Central Water dan Air Selangor semalam bagi bekalan air pulih guna secara pukal.

Selain itu, perjanjian berasingan bagi bekalan air pulih guna kepada tiga anak syarikat milik Kossan juga ditandatangani antara Air Selangor dan Kossan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kossan jadi pelanggan pertama air pulih guna dibekal Air Selangor

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) menjadi pelanggan pertama air pulih guna daripada efluen terawat air kumbahan untuk kegunaan industri, yang dibekalkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dalam kenyataan bersama menyatakan, air pulih guna untuk kegunaan industri bukan berasaskan makanan dan minuman itu, dihasilkan oleh Central Water Reclamation Sdn Bhd (Central Water), yang mana Air Selangor memegang 60 peratus saham dan IWK pula 40 peratus.

“Central Water akan memulakan operasinya dengan penghasilan bekalan air pulih guna di loji rawatan di Setia Alam, yang akan seterusnya diagihkan Air Selangor kepada Kossan, melalui jajaran paip khas dari loji rawatan air pulih guna Central Water, terus ke premis Kossan,” menurut kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu menyatakan, Central Water semalam menandatangani perjanjian bekalan air pulih guna secara pukal dengan Air Selangor, manakala perjanjian bagi bekalan air pulih guna kepada tiga anak syarikat milik Kossan, ditandatangani antara Air Selangor dan Kossan, yang merupakan antara pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia.

Tambah kenyataan itu, lanjutan daripada usaha tersebut, Air Selangor dan IWK melalui Central Water bakal mengenal pasti usahasama lain yang berkaitan dengan loji rawatan IWK termasuk lojinya di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam, bagi terus membangunkan industri bekalan air pulih guna untuk kegunaan pelbagai industri.

“Ini merupakan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK, ke arah pembangunan industri air negara yang lebih cekap dan mampan, bagi mendokong sasaran negara dalam mengitar semula 33 peratus daripada efluen terawat negara pada 2030, di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030,” menurut kenyataan itu.

Pada Mac lepas, Air Selangor dan IWK telah menandatangani perjanjian pemegang saham bagi memeterai usaha sama industri bekalan air pulih guna melalui syarikat tujuan khas Central Water.

Central Water ditubuhkan dengan misi untuk menerajui industri bekalan air pulih guna dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedia ada di samping memelihara alam sekitar.

– BERNAMA