Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia mahu kumpul RM454.51 juta melalui tawaran saham persendirian

KUALA LUMPUR, 22 JAN: AirAsia Group Bhd bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 20 peratus daripada 3.34 bilion saham sedia ada bagi mengumpul kira-kira RM454.51 juta.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata langkah itu akan mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan sedikit kelebihan dalam aset bersih serta penggearan bersih.

Hasil kasar akan digunakan untuk penyelesaian lindung nilai bahan api, bayaran pajakan dan penyelenggaraan pesawat serta perbelanjaan modal kerja am.

“Tawaran saham persendirian yang dicadangkan ini adalah sebagai tindak balas kepada beberapa keadaan luar jangka yang tidak boleh dikawal kumpulan seperti penularan wabak Covid-19 global yang telah menimbulkan cabaran ketara bagi industri penerbangan.

“Sekatan perjalanan yang dikenakan oleh pelbagai kerajaan telah menyebabkan trafik penumpang berkurangan dengan ketara bagi kumpulan dan prospek serta operasi masa depan kumpulan masih berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

Selaras dengan jangkaan garis masa vaksinasi dan permintaan yang sedang beransur-ansur naik untuk perjalanan udara, kumpulan itu akan terus melaksanakan strategi pengurusan kapasiti aktifnya.

Ia menyasarkan untuk beroperasi kira-kira 65 hingga 70 peratus daripada kapasiti 2019 pada tahun ini.

Syarikat penerbangan itu akan terus menilai potensi peningkatan lebih banyak penerbangan dan menambah destinasi untuk pelanggannya pada bulan-bulan akan datang, bagaimanapun, rancangan ini bergantung kepada kelonggaran atau kerajaan akan mengetatkan lagi langkah-langkah kesihatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia tubuh Asia Digital Engineering gabung kakitangan kejuruteraan

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: AirAsia Group Bhd menubuhkan Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) untuk menggabungkan kakitangan kejuruteraannya dalam seluruh kumpulan.

Kumpulan syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata ADE akan beroperasi sebagai unit penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bebas dan berpusat untuk menyediakan perkhidmatan servis kepada semua syarikat penerbangan kumpulan AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga di rantau ini.

Menurut AirAsia, anak syarikat baharu itu akan menjadi saluran untuk memperoleh pendapatan tambahan, memberi tumpuan kepada perkhidmatan utama seperti penyenggaraan, bengkel, sokongan kejuruteraan, komponen dan gudang, serta digital dan inovasi.

“ADE akan memulakan transformasi digital Industri 4.0, bersedia bagi masa depan dengan memanfaatkan teknologi terkini dalam automasi, analisis data raya, penyenggaraan prediktif, pembelajaran mesin, dan kecerdasan buatan untuk mengurangkan kos penyenggaraan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan, di samping mengekalkan tahap keselamatan, kualiti dan kelayakan terbang pesawat yang tinggi,” kata kumpulan itu.

Syarikat penerbangan itu telah melantik ketua pengurusan aset teknikal dan armadanya Mahesh Kumar Jaya Kumar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ADE.

ADE telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulakan operasinya yang bermula semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia catat kerugian RM803.85 juta suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, meskipun cabaran besar dalam industri penerbangan, kumpulan itu mencatatkan pulang modal pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (RM29,000) berikutan pengurusan kos dan kapasiti yang proaktif, ditambah dengan prestasi kukuh daripada perniagaan bukan penerbangan.

Kerugian kumpulan disebabkan terutamanya kerugian nilai saksama bagi derivatif berjumlah RM270.1 juta, kerugian penyelesaian lindung nilai bahan api sebanyak RM110.0 juta dan susut nilai tambahan serta faedah liabiliti pajakan bagi mengendalikan pesawat pajakan, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, hasilnya susut kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata meskipun ia bermula tahun ini dengan prestasi kukuh pada Januari 2020, penularan Covid-19 serta peningkatan sekatan perjalanan dan kawalan sempadan disebabkan pandemik itu telah menyebabkan kemerosotan permintaan perjalanan udara pada Februari dan Mac.

“Penurunan kerusi tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sebanyak 19 peratus adalah disebabkan terutamanya pengurusan kapasiti proaktif bagi mengurangkan impak tersebut.

“Bagi suku tersebut, hasil sampingan juga susut sebanyak 16 peratus tahun ke tahun kepada RM556 juta berikutan penurunan hasil sampingan syarikat penerbangan yang jatuh 28 peratus terutamanya disebabkan penghapusan fi pemprosesan dan jumlah penumpang yang dibawa kurang daripada 22 peratus. Hasil sampingan bukan penerbangan meningkat 27 peratus tahun ke tahun,” kata syarikat penerbangan itu.

Presiden Kumpulan AirAsia (penerbangan) Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu telah memulakan semula operasinya secara berfasa bagi setiap pasaran dan buat masa ini ia menumpukan kepada pasaran domestik sebelum membuka ke pasaran ASEAN dan seterusnya ke pasaran Asia apabila sempadan mula dibuka semula.

Beliau berkata sejak bermulanya operasi domestik pada lewat April, syarikat penerbangan itu mendapat rangsangan daripada peningkatan faktor muatan minggu demi minggu, dan ia menyasar menambah kekerapan penerbangan kepada kira-kira 50 peratus.

Ketika ini, syarikat penerbangan itu mengendalikan 191 penerbangan harian di seluruh rantau ini.

Mengenai prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu mengambil kesempatan daripada krisis tersebut untuk menyusun semula kumpulan yang mana telah membawa hasil positif apabila berjaya mengurangkan perbelanjaan tunai sebanyak sekurang-kurangya 50 peratus tahun ini.

“Mengenai operasi syarikat penerbangan, kami mendapat dorongan daripada permintaan yang kembali kukuh sejak operasi disambung semula pada lewat April 2020 dan kami menjangkakan ini akan berterusan dalam bulan-bulan yang akan datang. Produk inovatif kami, AirAsia Unlimited Pass, habis terjual dengan pantas. Ini memberikan prospek yang baik bagi kami untuk bersaing pasca Covid-19.

“Perjanjian jualan dan pajakan balik memberi manfaat dalam situasi sekarang, kerana pajakan menyediakan ruang dan keanjalan bagi merundingkan semula kontrak dengan pembekal dan penyewa kami yang begitu menyokong,” katanya.

Selain itu, katanya, kumpulan itu juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan modal kerja yang mencukupi semasa tempoh mencabar ini seperti mendapatkan penangguhan pembayaran daripada pembekal dan pemberi pinjaman, menyusun semula sebahagian besar lindung nilai bahan api serta meningkatkan mudah tunainya dengan memohon pinjaman bank di negara-negara yang ia beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapasiti gabungan AirAsia Group naik 17 peratus

KUALA LUMPUR, 22 OKT: AirAsia Group Bhd mencatat peningkatan kapasiti sebanyak 17 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku ketiga 2019 (Q3 2019) membabitkan gabungan pesawatnya dengan Sijil Pengendali Udara (AOC) yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, India dan Jepun.

Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, walaupun melaksanakan usaha peningkatan kapasiti secara agresif, permintaan kekal kukuh apabila jumlah penumpang yang dibawa bagi suku tersebut meningkat sebanyak 20 peratus tahun ke tahun kepada 13 juta dan mencatat kenaikan dua mata peratusan (ppts) dari segi beban muatan kepada 84 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) turut meningkat 16 peratus ketika kumpulan itu terus menumpukan usaha memperkukuh dominasi di pasaran dengan memperkenalkan laluan baharu dan menambah kekerapan sektor domestik dan antarabangsa.

AirAsia Malaysia mencatat peningkatan kapasiti sebanyak 10 peratus dan 11 peratus penumpang lebih banyak dalam suku di bawah kajian itu.

Pertumbuhan penumpangnya juga melepasi purata industri apabila ia terus menerajui pasaran manakala faktor beban muatannya juga kukuh pada 83 peratus walaupun suku musim pelarasan yang lebih rendah.

Dalam pada itu, kapasiti AirAsia Indonesia menokok 61 peratus pada Q3 2019 susulan penghantaran lapan pesawat pada Q4 2018 selain mencatat kenaikan 66 peratus penumpang berbanding suku sebelumnya.

Pada suku sama, AirAsia Indonesia memperkukuh kedudukannya di peringkat domestik menerusi pelancaran laluan baharu dan menambah kekerapan bagi laluan yang mendapat permintaan tinggi manakala aspek faktor muatannya juga naik 3.0 ppts kepada 85 peratus.

Bagi AirAsia Filipina, kapasitinya meningkat sebanyak 19 peratus susulan pelaksanaan laluan antarabangsa baharu dan menambah kekerapan sektor domestik dan antarabangsa manakala faktor muatan menokok secara ketara 9.0 ppts kepada 86 peratus, didorong oleh pertumbuhan kukuh penumpang sebanyak 33 peratus tahun ke tahun.

AirAsia Thailand mencatat peningkatan kapasiti dan penumpang masing-masing sebanyak 3.0 peratus dan muatan sebanyak 81 peratus.

ASK AirAsia Thailand juga meningkat 10 peratus tahun ke tahun susulan penambahan laluan baharu bagi sembilan bulan pertama tahun ini apabila kapasiti itu dipertingkatkan seiring dengan permintaan pada musim lebih rendah pada Q3 2019.

Dalam perkembangan lain, ia berkata AirAsia India merekodkan peningkatan ketara bagi suku di bawah kajian itu dengan bilangan penumpang naik 47 peratus tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan kapasiti 25 peratus bagi suku terbabit dan melonjakkan muatan sebanyak 14 ppts kepada 90 peratus.

AirAsia India turut mengakhiri suku berkenaan dengan memiliki 22 pesawat setakat ini dan menunggu kelulusan pengawalseliaan bagi penerbangan antarabangsa.

Selain itu, pertumbuhan kapasiti AirAsia Jepun melonjak 95 peratus manakala ASK dicatatkannya naik 89 peratus susulan pelancaran laluan ketiga, Nagoya-Sendai dalam suku itu.

Faktor muatannya juga kukuh pada 84 peratus, disokong oleh pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak 85 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia catat keuntungan bersih rendah

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Keuntungan bersih AirAsia Group Bhd bagi suku kedua tahun berakhir 30 Jun 2019, berkurangan kepada RM17.94 juta daripada RM361.81 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, pendapatan melonjak kepada RM3.14 bilion daripada RM2.62 bilion sebelum ini, kata kumpulan syarikat penerbangan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

AirAsia dalam satu kenyataan berasingan berkata, pertumbuhan pendapatan yang kukuh ini telah dipacu oleh pertambahan penumpang iaitu sebanyak 18 peratus dari tahun ke tahun kepada 12.8 juta.

“Perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) naik empat peratus kepada 15.40 sen pada suku kedua, didorong oleh permintaan yang kukuh, dengan faktor beban kekal mantap sebanyak 85 peratus walaupun wujud peningkatan 17 peratus pada tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK).

“Hasil sampingan juga menokok 39 peratus dari tahun ke tahun, iaitu berjumlah RM687 juta bagi kumpulan yang disatukan, didorong oleh hasil sampingan tradisional dan aliran hasil bukan penerbangan,” katanya.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun sembilan peratus dari tahun ke tahun kepada RM473 juta dalam suku di bawah kajian, disebabkan oleh kerugian semasa tahun-tahun yang lepas dalam AirAsia India yang sebelum ini tidak diiktiraf iaitu berjumlah sehingga RM147 juta.

Ia juga disebabkan kos tambahan yang berkaitan dengan entiti RedBeat Ventures, kos baik pulih dan penyelenggaraan yang lebih tinggi sebanyak 105 peratus di belakang peruntukan penyelenggaraan yang lebih tinggi iaitu kira-kira RM160 juta disebabkan peningkatan jumlah pesawat yang dipajak berikutan langkah pengewangan pesawat baru-baru ini dan saman RM10 juta daripada pengawal persaingan.

AirAsia ketika bercakap mengenai unjuran mengumumkan bahawa syarikat itu akan meneruskan strategi pertumbuhan serta mahu memperkukuhkan kedudukannya terutama sekali di rantau ASEAN.

“Kami merancang untuk pertumbuhan armada bersih sebanyak 20 pesawat merentasi enam sijil pengendali udara (AOC) pada tahun ini, dengan sembilan pesawat dijangka akan dihantar ke AirAsia India.

“Kami juga bakal menerima pesawat A321neo pertama kami pada November depan, yang lebih menjimatkan minyak, jarak penerbangan yang lebih jauh dan memiliki tambahan 50 tempat duduk,” katanya lagi.

AirAsia terus mengharapkan semua AOC ASEAN akan menguntungkan bagi 2019, dengan sasaran faktor beban sebanyak 85 peratus.

Sementara itu, kerugian bersih syarikat sekutunya, AirAsia X naik kepada RM207.11 juta berbanding RM57.46 juta yang direkodkan pada tahun sebelum ini, manakala pendapatan merosot sebanyak RM1.01 bilion daripada RM1.06 bilion.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

AirAsia dan AirAsia X catat pertumbuhan penumpang

KUALA LUMPUR, 28 JAN: AirAsia Group Bhd mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus kepada 74.8 juta dalam trafik penumpang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu, membabitkan semua enam pesawat dengan Sijil Pengendali Udara (AOC).

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga telah mengembangkan kapasitinya pada sepanjang tahun terbabit, dengan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) meningkat 15 peratus dan berjaya mencapai sasaran beban keseluruhan tahunan kumpulan sebanyak 85 peratus melalui saiz armada berjumlah 224 pesawat.
Kesepaduan AOC yang merangkumi Malaysia, Indonesia dan Filipina terus menyampaikan pertumbuhan pada suku keempat berakhir 31 Disember tahun lalu, dengan angka penumpang yang dibawa menokok 16 peratus kepada 12.1 juta orang pada musim suku yang kukuh.

Faktor beban pada suku keempat direkodkan sebanyak 84 peratus, turun empat mata peratusan dari tahun ke tahun disebabkan oleh peningkatan ketara dalam kapasiti, manakala, ASK naik sebanyak 14 peratus.

“Ini adalah selaras dengan strategi kami yang mahu meningkatkan penguasaan pasaran,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia mencatatkan kenaikan sebanyak sembilan peratus dalam ASK, dan memperkenalkan gabungan laluan domestik dan antarabangsa pada suku keempat dengan jumlah penumpang yang dibawa tumbuh sebanyak sembilan peratus untuk mencecah lebih daripada 8.5 juta penumpang.

Faktor beban menyusut lima mata peratusan kepada 84 peratus, disebabkan pertambahan kapasiti sebanyak 16 peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, AirAsia X Bhd dalam satu kenyataan berasingan, berkata ia mencatatkan jumlah tertinggi dalam bilangan penumpang yang diterbangkan iaitu sebanyak 6.17 juta pada tahun lalu, lonjakan enam peratus dari tahun ke tahun, selaras dengan pertumbuhan kapasiti tujuh peratus pada setiap tahun.

Pertumbuhan itu, sebahagian besarnya telah didorong oleh pengenalan empat laluan baharu dan usaha berterusan bagi membina penguasaan di pasaran utama dan pada masa yang sama, beralih dari negara bukan teras seperti Iran, Nepal dan Maldives.

“Jumlah penumpang yang direkodkan pada suku keempat tahun berkenaan menyusut sebanyak tiga peratus dari tahun ke tahun pada 1.498 juta penumpang,” kata AirAsia X.

Ia menambah bahawa faktor muatan penumpang berada lebih rendah sebanyak 78 peratus, terutamanya disebabkan oleh tambahan kapasiti yang diperkenalkan untuk pasaran utama bagi musim perjalanan pada akhir tahun.

Di samping itu, terdapat impak pada beberapa laluan seperti kawasan Jepun dan Indonesia yang telah dilanda bencana alam.

Faktor beban untuk laluan Kathmandu juga telah menerima kesan ketara berikutan penamatan laluan yang dibuat secara berperingkat pada suku keempat tahun lalu, termasuk larangan kerajaan Nepal untuk rakyatnya bekerja di Malaysia.

SUMBER: BERNAMA