Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan Malaysia-Singapura AirAsia bermula ekoran keputusan RGL

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: AirAsia sedang bersedia untuk menyambung semula penerbangan antara Malaysia dan Singapura, termasuk laluan Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan sebagai yang paling sibuk di dunia, berikutan keputusan perlaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Ini akan diikuti dengan destinasi antarabangsa yang lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai permulaan, AirAsia akan melancarkan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Singapura, serta satu penerbangan mingguan membabitkan Singapura dan Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching termasuk Ipoh.

Penerbangan ini dijadualkan bermula pada 17 Ogos tetapi bergantung kepada pengumuman lanjut oleh kerajaan.

AirAsia mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura bagi membuka perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara melalui skim RGL.

Skim RGL memerlukan pengembara yang layak untuk mematuhi peraturan pencegahan dan langkah-langkah kesihatan awam yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara, yang merangkumi ujian “polymerase chain reaction” (PCR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu benar-benar komited ke arah meneruskan penyambungan udara dan seterusnya memulihkan aktiviti ekonomi di rantau ini.

“RGL adalah langkah pertama tetapi amat signifikan sebagai tanda bahawa kedua-dua negara mula memulihkan ekonomi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia catat kerugian RM803.85 juta suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, meskipun cabaran besar dalam industri penerbangan, kumpulan itu mencatatkan pulang modal pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (RM29,000) berikutan pengurusan kos dan kapasiti yang proaktif, ditambah dengan prestasi kukuh daripada perniagaan bukan penerbangan.

Kerugian kumpulan disebabkan terutamanya kerugian nilai saksama bagi derivatif berjumlah RM270.1 juta, kerugian penyelesaian lindung nilai bahan api sebanyak RM110.0 juta dan susut nilai tambahan serta faedah liabiliti pajakan bagi mengendalikan pesawat pajakan, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, hasilnya susut kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata meskipun ia bermula tahun ini dengan prestasi kukuh pada Januari 2020, penularan Covid-19 serta peningkatan sekatan perjalanan dan kawalan sempadan disebabkan pandemik itu telah menyebabkan kemerosotan permintaan perjalanan udara pada Februari dan Mac.

“Penurunan kerusi tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sebanyak 19 peratus adalah disebabkan terutamanya pengurusan kapasiti proaktif bagi mengurangkan impak tersebut.

“Bagi suku tersebut, hasil sampingan juga susut sebanyak 16 peratus tahun ke tahun kepada RM556 juta berikutan penurunan hasil sampingan syarikat penerbangan yang jatuh 28 peratus terutamanya disebabkan penghapusan fi pemprosesan dan jumlah penumpang yang dibawa kurang daripada 22 peratus. Hasil sampingan bukan penerbangan meningkat 27 peratus tahun ke tahun,” kata syarikat penerbangan itu.

Presiden Kumpulan AirAsia (penerbangan) Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu telah memulakan semula operasinya secara berfasa bagi setiap pasaran dan buat masa ini ia menumpukan kepada pasaran domestik sebelum membuka ke pasaran ASEAN dan seterusnya ke pasaran Asia apabila sempadan mula dibuka semula.

Beliau berkata sejak bermulanya operasi domestik pada lewat April, syarikat penerbangan itu mendapat rangsangan daripada peningkatan faktor muatan minggu demi minggu, dan ia menyasar menambah kekerapan penerbangan kepada kira-kira 50 peratus.

Ketika ini, syarikat penerbangan itu mengendalikan 191 penerbangan harian di seluruh rantau ini.

Mengenai prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu mengambil kesempatan daripada krisis tersebut untuk menyusun semula kumpulan yang mana telah membawa hasil positif apabila berjaya mengurangkan perbelanjaan tunai sebanyak sekurang-kurangya 50 peratus tahun ini.

“Mengenai operasi syarikat penerbangan, kami mendapat dorongan daripada permintaan yang kembali kukuh sejak operasi disambung semula pada lewat April 2020 dan kami menjangkakan ini akan berterusan dalam bulan-bulan yang akan datang. Produk inovatif kami, AirAsia Unlimited Pass, habis terjual dengan pantas. Ini memberikan prospek yang baik bagi kami untuk bersaing pasca Covid-19.

“Perjanjian jualan dan pajakan balik memberi manfaat dalam situasi sekarang, kerana pajakan menyediakan ruang dan keanjalan bagi merundingkan semula kontrak dengan pembekal dan penyewa kami yang begitu menyokong,” katanya.

Selain itu, katanya, kumpulan itu juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan modal kerja yang mencukupi semasa tempoh mencabar ini seperti mendapatkan penangguhan pembayaran daripada pembekal dan pemberi pinjaman, menyusun semula sebahagian besar lindung nilai bahan api serta meningkatkan mudah tunainya dengan memohon pinjaman bank di negara-negara yang ia beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia dinobat Pemangkin Digital Tahunan Terbaik Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 25 OKT: AirAsia telah dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Tahunan Terbaik Asia Pasifik pada Anugerah Transformasi Digital IDC (DXa) 2019, menewaskan lebih 11,000 syarikat lain yang dicalonkan.

Anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura, malam tadi.

“Dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Terbaik Tahunan bagi Malaysia adalah pencapaian yang amat membanggakan saya. Diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia Pasifik membuktikan bahawa program digitalisasi kami mempunyai impak besar terhadap pelanggan kami dan industri, dan saya amat berbangga untuk menerima anugerah ini bagi pihak Allstars (kakitangan AirAsia) hari ini,” kata Fernandes dalam kenyataan, hari ini.

Anugerah itu mengiktiraf keupayaan dan kecemerlangan dalam menggerakkan teknologi inovatif, produk dan perkhidmatan khusus, pengoptimuman pendapatan sampingan serta perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan.

Teknologi baharu AirAsia termasuk pengkomputeran awan, pengoptimuman harga melalui pembelajaran mesin, peti sembang (chatbox) dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), ciri-ciri aplikasi mudah alih yang dipertingkatkan dan teknologi pengenalan wajah.

IDC DXa juga mengiktiraf kepimpinan, bakat dan infrastruktur luar biasa AirAsia yang membantu menyokong strategi digital baharu syarikat tersebut.

Anugerah itu memberi pengiktirafan terhadap pencapaian organisasi yang telah berjaya melaksanakan transaformasi digital dalam satu atau beberapa bidang perniagaan mereka menerusi aplikasi digital dan teknologi disruptif.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tanya soalan dalam BM, Tony hadiahkan pengunjung tiket percuma

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Dengan hanya bertanyakan soalan kepada Tan Sri Tony Fernandes menggunakan Bahasa Kebangsaan, dua pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 pulang dengan tiket penerbangan percuma.

Ia selepas Ketua Eksekutif Kumpulan Air Asia itu mencabar pengunjung untuk bertanyakan soalan kepadanya dalam Bahasa Melayu dan sekiranya beliau faham, mereka boleh memilih mana-mana destinasi pilihan di seluruh dunia untuk diterbangkan.

Menyahut cabaran ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Ameruddin Mohd Roslin, 23, bertanyakan soalan rahsia disebalik kejayaan Tony sehingga berjaya membawa syarikat penerbangan tambang murah itu berada di tahap membanggakan.

“Kami memilih mengurangkan tambang pesawat bagi membolehkan lebih ramai orang terbang dan dengan 21,000 kakitangan pasukan yang baik kami dapat sampai ke tahap sekarang.

“Tambahan pula, kita perlu sentiasa merendah diri dan jangan memberi tekanan kepada orang lain,” katanya ketika pelancaran buku Flying High dalam versi Bahasa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Seorang lagi pengunjung Fatin Anati Abd Halim, 29, bertanyakan peluang pekerjaan di Air Asia memandangkan beliau mengagumi suasana bekerja di syarikat itu.

Tony kemudian menawarkan pegawai bank itu untuk menjadi pembantu peribadinya (PA) selama seminggu.

Kedua-dua pengunjung bertuah itu memilih Korea sebagai destinasi pilihan dan dibenarkan untuk membawa seorang lagi pasangan.

Muhammad Ameruddin yang berhasrat membawa ibunya Maznah Ahmad, 51, ke Seoul bersyukur dengan hadiah tiket penerbangan percuma yang diterima daripada idolanya sendiri.

“Saya sangat kagum dengan sifat pemurah beliau. Sebab itu beliau boleh berada di tahap ini,” katanya.

Fatin Anati yang merancang untuk ke Jeju bersama rakan karibnya Noor Afifah Mohammad, 29, menyatakan keterujaan untuk menimba pengalaman kerja di bawah Tony. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

AirAsia tawar perkhidmatan di Vietnam

KUALA LUMPUR, 6 Dis: AirAsia dan Thien Minh Travel Joint Stock Company (TMG) menandatangani Memorandum Kerjasama untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah dengan rakan kongsi tempatan di Vietnam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, memorandum ditandatangani hari ini mengesahkan komitmen pihaknya menawarkan perkhidmatan di negara berkenaan.

“AirAsia sudah menjadi kumpulan syarikat penerbangan asing terbesar di Vietnam dari segi kapasiti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, AirAsia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke lima destinasi di Vietnam.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan 141 penerbangan pergi balik dalam seminggu di 13 laluan, menghubungkan Hanoi, Ho Chi Minh, Da Nang, Nha Trang dan Phu Quoc dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu di Malaysia, Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan Manila di Filipina.

SUMBER: BERNAMA