Categories
SUKANKINI

E-sukan: AirAsia Saiyan nafi isu gaji punca tamat kontrak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 NOV: Pasukan Mobile Legends, AirAsia Saiyan (ASYN) menafikan dakwaan penamatan kontrak pengurus dan pemain pasukan itu ada kaitan dengan isu bayaran gaji.

Sebaliknya, Pengurus Besarnya, Jeffery Chan berkata, isu terbabit sudah diselesaikan dan tidak seperti digembar gemburkan sesetengah pihak.

“Kita akui berdepan kelewatan pembayaran gaji kepada pemain pada Julai dan Ogos, namun ia sudah dilangsaikan sepenuhnya, pada Oktober lalu.

“Malah, kita juga cuba berbincang dengan pemain cara terbaik untuk memastikan perkara lain dipenuhi (makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya),” katanya menerusi laman sesawang https://www.mygameon.my

Khamis lalu, pengurusan ASYN mengumumkan pelepasan kontrak pengurus pasukan, Jinzy dan enam pemain, Ahmad Fuad ‘Fredo’ Alili, Mohd Farid ‘Soloz’ Zakaria, Abdul Wandi ‘Logan’ Abdul Kadir, Andi Alfian ‘Gripex’ Firman, Sofian ‘Penjahat’ Sultan serta Herwin ‘Rush’ Baharuddin daripada pasukan itu.

Mengulas lanjut, Jeffery berkata, ASYN juga memenuhi hak pemain seperti pemberian hadiah wang tunai dimenangi dari kejohanan disertai.

Katanya, sebagai pemain profesional, pasukan itu layak menerimanya dan pengurusan tidak mengambil langsung hadiah berkenaan.

“Walaupum timbul beberapa masalah lain antara pengurusan dan pemain tetapi kita sudah selesaikan secara baik sebelum kontrak ditamatkan.

“Kita juga memahami kehendak pemain ingin beralih kepada ‘livestreaming’ dan tidak menghalangnya, malah mereka juga sudah menubuhkan pasukan baharu, Bosskur,” katanya.

Pada masa sama, ASYN yang juga turut serta dalam Selangor Cyber Games 2018 sedang mencari ahli baharu untuk melengkapkan barisan pemain sedia ada dan ia akan diumumkan dalam laman Facebooknya, AirAsia Saiyan, minggu depan.

Jeffery berkata, memandangkan Liga Profesional Mobile Legends hanya akan bermula tahun depan, ASYN masih mempunyai masa untuk mencari bakat pemain dengan visi dan misi selari pasukan itu.

“E-sukan masih lagi di peringkat awal dan pastinya ada cabaran ditempuh, namun kami ambil ikhtibar dan akan lakukan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

E-sukan: AirAsia Saiyan bebaskan pengurus dan pemain

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 NOV: Pengurusan AirAsia Saiyan (ASYN) mengumumkan pelepasan kepada pengurus dan enam pemain dari pasukan itu, mulai hari ini.

Jurucakap pasukan Mobile Legends tempatan itu berkata, keputusan itu dibuat kerana menghormati kehendak pihak berkaitan dan membebaskan mereka daripada kontrak sepenuhnya.

Dengan itu, katanya, ASYN secara rasmi melepaskan pengurus pasukan, Jinzy serta enam pemain, Fredo, Soloz, Rush, Gripex, Logan dan Penjahat dari jadual rasmi pasukan.

“Sejak bermulanya AirAsia Saiyan, mereka aktif menyertai kejohanan dan pertandingan di Asia Tenggara seperti MPL Season 1, Mobile Legends Southeast Asia Cup, Mobile Star League dan MPL Season 2.

“Dengan berakhirnya MPL Season 2 Playoffs, permain ASYN ingin berehat daripada menjadi permain profesional e-sukan buat semetara waktu selepas berusaha gigih untuk sesi 2018,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan yang turut menyertai Selangor Cyber Games 2018 lalu itu bagaimanapun berkata, ASYN tidak akan meninggalkan e-sukan Mobile Legends Malaysia.

Katnya, ASYN akan kembali dengan berita dan pengumuman berkenaan rancangan terbaharunya dalam masa terdekat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih dan semoga mereka berjaya dalam kerjaya pada masa depan,” katanya.