Categories
AGENDA SUKANKINI

Lapan lagi pemain Akademi Badminton Malaysia positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Lapan pemain pelapis badminton kebangsaan didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dijalankan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Selasa lepas.

Sebelum ini, enam pemain diuji positif virus Covid-19 minggu lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata tindakan pantas diambil bagi mengekang penularan wabak berkenaan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan dan Institut Sukan Negara.

Beliau berkata kesemua 14 pemain yang dijangkiti virus itu dihantar ke pusat kuarantin, sementara selebihnya yang dikategorikan sebagai kontak rapat juga telah diasingkan.

“Kira-kira 91 individu terdiri daripada pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan akan menjalani satu lagi sesi ujian saringan esok, dan kami berharap tiada lagi kes positif. Nasib baik, tidak ada pemain elit yang positif, buat masa ini.

“Namun, kami akan terus memantau gejala dan kesihatan pemain. Kami juga akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi setiap masa,” kata Kenny ketika dihubungi, sambil menambah ABM beberapa kali disanitasi sejak seminggu lepas sebagai langkah berjaga-jaga.

Minggu lepas, BAM memaklumkan latihan berasaskan kuarantin akan diperkenalkan semula di pusat kecemerlangan badminton negara itu berikutan jangkitan virus tersebut manakala aktiviti persekolahan akan dijalankan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Enam pemain Akademi Badminton Malaysia positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan enam pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) positif Covid-19.

Menurut kenyataan BAM, kesemua pemain tersebut yang tidak mempamerkan sebarang gejala, kini menjalani kuarantin kendiri.

“Selepas perundingan dengan Kementerian Kesihatan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, kesemua 91 atlet, jurulatih dan pegawai di ABM di Bukit Kiara menjalani ujian saringan, namun kesemuanya negatif,” kata BAM.

Proses sanitasi menyeluruh juga telah dijalankan di ABM pada Jumaat dan latihan berkonsepkan kuarantin tersebut akan diadakan semula di Pusat Kecemerlangan Badminton Negara, manakala semua aktiviti sekolah akan dijalankan secara dalam talian untuk tempoh beberapa hari akan datang.

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua mereka yang berada di ABM merupakan keutamaan kami dan kami berharap enam atlet terbabit akan pulih secepat mungkin,” kata BAM.

-BERNAMA