Categories
NASIONAL

Aliran trafik mula lebuh raya mulai perlahan

KUALA LUMPUR 29 JAN: Aliran trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya utama arah utara dan selatan berikutan pertambahan kenderaan setakat jam 12 tengah hari ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata kenderaan bergerak perlahan di kawasan Slim River ke Sungkai, Rawang ke Sungai Buaya, Port Dickson ke Senawang dan Senai ke Kulai.

“Aliran trafik juga perlahan di KM414 arah utara di Bukit Beruntung menghala ke Lembah Beringin akibat kemalangan membabitkan tiga kereta yang menyebabkan kesesakan sejauh enam kilometer,” katanya lapor BERNAMA.

Jurucakap itu berkata aliran trafik turut dilaporkan perlahan akibat kemalangan membabitkan kereta di KM282 arah selatan di laluan Putra Mahkota menuju ke Kawasan Rehat dan Rawat Seremban yang menyebabkan kesesakan sejauh enam kilometer.

“Tiada lorong yang terhalang dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan,” katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur masih lancar dan terkawal tengah hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Sistem jalan sehala Petaling Jaya berjaya lancarkan aliran trafik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 OKT: Perubahan sistem jalan raya dua hala kepada sehala yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan raya di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Penyelia syarikat perkhidmatan penghantar laju, Khairul Ferdaus, 28, berkata sistem jalan sehala itu juga tidak memberi kesan terhadap pelanggan yang ingin berurusan dengan syarikatnya.

20141020_125036“Bagi saya, lebih memudahkan sebab tidak ada lalu lintas lagi seperti yang sudah dilaksanakan di Jalan Sultan, kesesakan sudah banyak berkurangan.

“Cuma sedikit masalah seperti kami penghantar segera, kerana bila nak hantar ke lokasi lain di seberang jalan terpaksa pusing jauh sikit tetapi bagusnya tak menempuh jalan yang sesak.

“Jalan sehala ini juga tak beri masalah kepada pelanggan kami untuk datang ke sini, cuma masalah parkir sahaja yang kurang. Saya rasa, kalau dua hala mungkin lagi teruk sebab orang akan parkir kiri dan kanan jalan,” katanya dalam satu tinjauan pendapat Selangor Kini berhubung sistem jalan sehala yang mula dilaksanakan MBPJ, pada 14 Oktober lalu.

20141020_115350Penasihat Jualan, Ady Izmar, 34, pula mendapati perubahan sistem jalan raya di Petaling Jaya lebih memudahkan dan tidak ‘semak’ seperti sebelumnya.

“Setakat ini, saya lihat apa yang dah MBPJ laksanakan lebih menyenangkan. Tak ada sesak macam dahulu, tetapi apa yang penting kita perlu tahu mana nak berhenti. Kalau dahulu bila dah terlepas, memang kepala jadi semak, terpaksa cari jalan semula nak pusing,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penasihat jualan, Fitri Husin, 25, pula berkata, dia turut mencadangkan MBPJ membuat pemberitahuan lebih awal bagi memudahkan pengguna jalan sekitar Petaling Jaya lebih bersedia.

“Jalan sehala nampaknya lebih menyenangkan tetapi kena beri maklumat lebih awal sebab kalau orang yang dah lama tak datang tiba-tiba tengok jalan sehala mungkin menyusahkan juga. Kena ada notis awal secara besar-besaran dan itu sangat penting,” katanya.

-NFN-