Categories
SELANGOR

Selangor sifatkan nilai anak muda lebih mahal dari lombong emas

Oleh Hafizan Taib

SHAH ALAM 6 DIS: Kerajaan Selangor menyifatkan golongan muda sebagai aset paling bernilai untuk digilap sebagai generasi masa depan yang berilmu dan berkebolehan demi kemajuan tanah air.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berbangga dengan pencapaian modal insan kerana Selangor mencapai kemajuan hingga dinobat negeri termaju dan terkaya tanpa bergantung kepada hasil bumi.

“Selangor tiada minyak, tiada emas, balak pun sudah habis, pasir pun kurang selain sumber asli lain yang tidak banyak tetapi aset kekayaan paling bernilai ialah anda semua, anak-anak sebagai bakal modal insan.

“Kerajaan Negeri melihat anak-anak semua lebih bernilai dan lebih mahal daripada telaga minyak dan lombong emas. Inilah caranya kita menilai insan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Semarak Kasih Tingkatan Lima Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor di Dewan Banquet, Bangunan Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki dan Pengurus Kanan Jabatan Pendidikannya, Zahura Zakry.

Dr Halimah juga merakam penghargaan kepada Yayasan Selangor dan menyifatkan peranan dimainkan yayasan itu melahirkan insan yang terpelihara segi pembangunan sahsiah, berketrampilan dan berkepimpinan.

– FZL