Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RM1 juta laksana program bantuan nutrisi, manfaat 700 kanak-kanak

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 700 kanak-kanak bakal mendapat bantuan nutrisi makanan selama 10 bulan menerusi Program Anak Selangor Anak Sihat (Asas), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu diwujudkan susulan kajian satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia bantut akibat pemakanan tidak seimbang.

“Anak-anak merupakan pelapis generasi masa hadapan, justeru Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kesejahteraan dan kebajikan golongan ini termasuk aspek pengambilan nutrisi yang mencukupi.

“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program bantuan nutrisi makanan kanak-kanak yang dinamakan sebagai Asas pada 2022 dengan peruntukan berjumlah RM1 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
EXCO SELANGOR

86 kanak-kanak DUN Batu 3 dibekal makanan seimbang

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 86 kanak-kanak dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga terbabit dalam program Anak Selangor Anak Sihat (Asas) pada 3 Julai lalu.

EXCO kesejahteraan bandar berkata program nutrisi itu menyasarkan keluarga berpendapatan rendah B40 dengan golongan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dibekal makanan seimbang selama enam bulan.

“Kanak-kanak terlibat adalah dari kawasan Seksyen 17, 20, 24 dan Rimba Jaya dengan masing-masing diberikan lima tin susu dan satu botol vitamin.

“Dalam tempoh sebulan ini pakar pemakanan akan menghubungi ibu bapa bagi melihat sama ada susu yang diberikan sesuai atau tidak untuk anak mereka,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi.

Beliau berkata projek rintis itu akan disambung jika ia memberikan hasil seperti yang diharapkan dengan fokus program untuk memantau berat dan tinggi kanak-kanak.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM6 juta untuk program Bank Makanan Selangor di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sejumlah RM1 juta daripada peruntukan itu digunakan untuk Program Nutrisi Kanak-Kanak Selangor yang menfokuskan golongan berusia enam tahun ke bawah.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kajian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di PPR Kota Damansara mendapati 33 peratus kanak-kanak di perumahan tersebut mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi.