Categories
AGENSI SELANGOR

542 mangsa banjir di Kuala Langat dipindah ke 10 PPS

SHAH ALAM, 18 DIS: seramai 542 mangsa banjir ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Langat sejak semalam.

Data dikongsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan kesemua mangsa adalah daripada 147 keluarga yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Bermula semalam, seramai 187 mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Baru (91), Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (73), SK Olak Lempit (66) dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (41).

Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Changgang (35), SK Seri Cheeding (23) dan Dewan MPKK Sungai Buaya (12).

Manakala lapan orang ditempatkan di SK Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan enam di SK Labohan Dagang hari ini.

Selain APM, agensi yang terlibat dalam membantu mangsa ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis.

Categories
AGENDA NASIONAL

9,000 anggota APM ditugaskan sepanjang PKP hingga kini

PORT DICKSON, 21 JULAI: Seramai 9,000 kakitangan tetap dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah ditugaskan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata ia melibatkan penugasan sekatan jalan raya, pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) dan penugasan melibatkan penghantaran dan pengangkutan.

“Penglibatan bukan sahaja sukarelawan biasa sahaja malah turut melibatkan sukarelawan daripada lantikan pegawai-pegawai kehormat bersekutu ini yang merupakan dari kalangan pensyarah, guru, ahli korporat, artis tempatan.

“Mereka juga dilihat menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang perkhidmatan, daripada kakitangan tetap mahupun sukarelawan…semua sama-sama berganding bahu untuk menangani COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Santai Bersama Media di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail dan Pengarah APM Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim.

Beliau juga berkata di samping itu APM juga turut terlibat dalam Op Benteng sejak PKPP dilaksanakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan antara peranan yang dimainkan ialah mengangkut warga asing yang ditahan, dari perairan ke pantai dengan bot.

Terdahulu dalam ucapannya, Roslan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada media dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai APM.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Masyarakat perlu ubah persepsi terhadap bidang kuasa APM

SHAH ALAM, 13 SEPT: Persepsi masyarakat terhadap peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dilihat sebagai penangkap ular semata-mata perlu diperbetulkan.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya berkata, skop kerja pasukan berkenaan sebaliknya lebih besar dan pelbagai dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat awam terus dipelihara.

Katanya, ia termasuk memberikan perkhidmatan pemulihan bagi mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda ekoran bencana atau ancaman musuh.

“Mungkin masih ada masyarakat yang kurang jelas dengan peranan dan tanggungjawab yang dipikul APM sehingga pasukan ini dianggap sebagai ‘unsung hero’ atau wira yang tak didendang.

“APM sebenarnya lapisan ketiga pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia memandangkan mereka ini adalah entiti penting yang memberikan bantuan sekiranya berlakunya kes kecemasan, pengurusan bencana serta penyelamat pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Pentauliahan anggota Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) 2019, di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Pada masa sama, Yasir berkata, beliau memuji inisiatif diambil agensi pemaju hartanah dan pembangunan itu yang menjadi jabatan Kerajaan Negeri pertama di Selangor yang menubuhkan CDERT.

Katanya, komitmen itu membuktikan PKNS mendukung sepenuhnya aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Penubuhan pasukan ini selari skop aktiviti PKNS kerana melibatkan banyak aktiviti pembinaan selain memerlukan anggota kerap berada di tapak-tapak projek yang mendedahkan mereka dengan pelbagai risiko bahaya.

“Dengan adanya anggota terlatih, mereka dapat melaksanakan tindakan awal untuk mengurangkan kerosakan sekiranya berlaku kes kecemasan selain bantuan sokongan kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Henti sukan air di Pulau Langkawi – APM

ALOR SETAR, 4 JAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti sukan air di kawasan pantai Pulau Langkawi dihentikan berkuat kuasa serta merta berikutan pulau peranginan itu dijangka menerima tempias ribut tropika Pabuk, mulai esok.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Leftenan (PA) Azam Shah Apearal berkata, arahan terbabit dikeluarkan jam 11 pagi ini selepas mendapati keadaan angin kencang berlaku di Pantai Chenang dan Pantai Tengah yang mencecah kelajuan sehingga 22 kilometer (km) sejam.

“Keadaan angin laju itu boleh menyebabkan berlaku risiko sekiranya aktiviti sukan air seperti jet ski dan parasailing diteruskan maka sebab itu kita telah menaikkan bendera merah di menara penyelamat pantai di dua pantai terbabit.

“Bagaimanapun, sekiranya ada pelancong ingin berada di persisiran pantai, kita benarkan selain turut menempatkan anggota APM di menara penyelamat pantai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam dengan merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob pagi tadi dilaporkan berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, Pulau Langkawi dijangka menerima tempias ribut tropika itu bermula jam 2 petang esok.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, APM Kedah telah mengarahkan lebih 300 anggotanya untuk bersiap siaga di kawasan yang mungkin dilanda ribut termasuk di pantai di Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Muda.

“Seramai 50 anggota telah bersedia di Langkawi manakala 250 lagi anggota ditempatkan di sekitar kawasan pantai di Kuala Kedah dan Kuala Muda.

“Anggota ini ditempatkan bagi memantau dan memberi amaran kepada pelancong supaya jangan menghampiri kawasan pantai.

“Dari segi persediaan aset logistik pula, kita telah menyediakan bot dan lori lima tan sekiranya perlu dan kira-kira 1,000 sukarelawan APM juga akan ditambah sekiranya keadaan teruk di kawasan dijangka terkena tempias akibat ribut tropika itu,” katanya.

Saifuddin berkata, kesan ribut itu dijangka menyebabkan pokok tumbang, angin kencang dan banjir kilat yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

SUMBER: BERNAMA