OLEH : MOHD EZLI MASHUT
SEPANG 14 MEI: Pesawat terbesar dunia, Mriya Antonov 225 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.30 pagi di sini, hari ini.
Pesawat itu sebelum ini berlepas dari Rajiv Gandhi International Airport, Hyderabad dalam perjalanan ke Perth, Australia apabila singgah di KLIA untuk mengisi minyak.
Pesawat Antonov 225 berkenaan membawa muatan generator elektrik seberat 117 tan dengan pesawat itu sendiri seberat 640 tan serta dilengkapi enam enjin dan 42 tayar.
Pesawat buatan Ukraine tersebut dilaporkan mampu terbang dengan kelajuan maksimum 850 kilometer sejam, malah tangki minyaknya juga dapat menampung sehingga 300,000 kilogram.
Selain itu, panjang sayap pesawat tersebut juga adalah kira-kira 88 meter.
Pesawat terbesar dunia itu yang mengatasi Airbus 380 mendarat kali pertama di KLIA pada 2007.
Pesawat itu direka pada asalnya untuk membawa kapal angkasa Buran untuk mengendalikan aktiviti penerokaan angkasa lepas.
Pengendali KLIA, Malaysia Airports, kini mengendalikan lebih 70 syarikat penerbangan di KLIA dengan kehadiran penumpang sekitar 50 juta orang setahun.
GAMBAR: BERNAMA/ MEDIA SOSIALĀ
EZY