Categories
SELANGOR

Sasterawan Negara penerima sulung Dana Sastera Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 9 DIS: Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan dinobatkan sebagai penerima sulung Dana Sastera Selangor 2015.

Menerusi kemenangan itu, beliau menerima dana khas berjumlah RM120,000 serta berpeluang menerbitkan karya dan mengadakan program pembangunan bakat dalam bidang sastera.

Hadiah disampaikan Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari bertempat di RUANG Space Event.

Seni Selangor KiniKetika ditemui Selangor Kini, beliau gembira dengan usaha Kerajaan Selangor memartabatkan seni budaya dan bakal menyemarakkan lagi bagi memanfaatkan dana diterima.

“Saya akan mengenalpasti pengarang muda untuk dibimbing kemudian diberikan ruang menulis novel.

“Saya akan pantau dari semasa ke semasa hingga ia siap diterbitkan,” katanya.

Jelasnya, anak muda kini lebih berminat menghasilkan karya cerpen dan sajak kerana dilihat mudah meskipun hakikatnya sukar.

Anugerah lain yang dipertandingkan menyaksikan Roslan Jomel mengungguli kategori Cerpen dimenangi dengan karya bertajuk Telefilem.

Arafat Hambali memenangi kategori Sajak menerusi karya Hujan sementara Karl Agan mengungguli kategori Artikel dengan karya Beban Puisi dan Tanggapannya.

Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil.

Hampir 200 karya penulisan dari tiga kategori iaitu cerpen, sajak dan artikel sudah dihimpunkan dengan hampir 90 peratus karyawan muda menghantar nukilan sastera untuk penganjuran sulung anugerah.

Hadiah Sastera Selangor Kini bertujuan memberi penghargaan kepada karya sastera yang diterbitkan di akhbar Selangor Kini bermula akhir 2014 sehingga Oktober lalu.

Majlis turut diserikan dengan nyanyian kumpulan koir Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, tiupan seruling daripada Rohi dan Ana Raffali.

EZY