SHAH ALAM, 4 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Aplikasi Adil yang akan diguna pakai dalam proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2022 pada Mei nanti.
Menerusi Twitter beliau yang juga presiden parti memaklumkan KEADILAN adalah parti politik pertama yang menekankan aspek digital sebagai medium pemilihan pimpinan.
“Saya tegaskan bahawa pemilihan kali ini perlu bagi memantapkan organisasi parti untuk mendepani pilihan raya umum akan datang.
“Proses ini tidak boleh ditangguh kerana kuasa memilih terletak di tangan anggota parti,” katanya.
Anwar menasihatkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk memberi penerangan lebih jelas berhubung aplikasi itu kepada semua anggota serta perlu memastikan ia berfungsi dengan baik supaya pemilihan kali ini berjalan lancar, telus dan tanpa ragu.
Sebelum ini, KEADILAN memaklumkan pemilihan bagi pemegang jawatan 2022 hingga 2025 bermula 22 hingga 29 April ditangguhkan ke 13 hingga 18 Mei dan seterusnya menyusul kongres nasional yang dijangka pada 10 hingga 12 Jun.
Sementara itu, Pengerusi JPP KEADILAN Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan menyatakan fasa pertama Aplikasi Adil untuk kemas kini daftar pemilih dan persetujuan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sudah boleh dimuat turun dari Google Play Store bagi anggota parti menggunakan telefon pintar Android.
Pihaknya masih menanti kelulusan Apple (Malaysia) untuk proses sama dari Apple App Store bagi pengguna iPhone menggunakan operasi iOS.
“Semenjak aplikasi ini diluncur pada 28 Februari, kami menerima 332 pendaftaran dan kesemua anggota telah menerima notifikasi serta maklum balas sama ada berjaya atau tidak.
“Sebanyak 253 pendaftaran berstatus tidak berjaya kerana syarat verifikasi tidak ditepati. Mereka ini akan dihubungi dan dibantu mengemas kini maklumat,” katanya.