Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Parkir secara digital bantu pengguna elak dikompaun

SHAH ALAM, 11 JAN: Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) memudahkan pengguna berikutan mengurangkan potensi dikenakan kompaun.

Peniaga, Ashikin Abu Bakar, 41, berkata beliau telah menggunakan e-kupon sejak tahun lalu dan aplikasi itu memudahkannya memeriksa tempoh bayaran.

Ashikin Abu Bakar, 41. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Berbanding kupon parkir kertas gores, kadang kala kita tidak pasti tempoh waktu tetapi dengan aplikasi ini boleh lihat dan tambah dengan mudah sekali gus mengurangkan potensi dikompaun,” katanya kepada SelangorKini.

Jurujual yang mahu dikenali sebagai Keong, 45, berkata beliau kini sedang menghabiskan semua kupon parkir gores yang dibelinya.

“Saya perlu guna kupon parkir gores dalam kuantiti banyak bagi memudahkan urusan harian kerana pekerjaan memerlukan berjumpa ramai orang.

Keong, 45. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pelaksanaan e-kupon amat bagus kerana memudahkan dan tidak perlu ke kedai mencarinya dan kini saya menghabiskan kupon sedia ada supaya tidak perlu membuat tebusan,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir itu yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat PBT selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected] .

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Aplikasi parkir secara digital mudah, jimat masa pengguna

SHAH ALAM, 7 JAN: Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) memudahkan orang ramai di negeri ini berbanding kupon parkir bergores yang digunakan secara manual.

Pegawai acara dan pemasaran Muhammad Syafiq Abdullah Shatri, 31, berkata aplikasi parkir digital itu memberi kelebihan kepada pengguna terutama ketika kecemasan apabila tidak perlu mencari premis niaga bagi mendapatkan kupon letak kenderaan.

MUhammad Syafiq Abdullah Shatri, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Penggunaan kupon kertas agak lambat kerana kadang-kala habis sedangkan kita ada kecemasan. Dengan adanya aplikasi ini amat memudahkan dan mempercepatkan urusan harian.

“Secara peribadi, saya pernah kena saman kerana tidak sempat gores kupon baharu berikutan tempoh mesyuarat dilanjutkan,” katanya kepada SelangorKini.

Penjawat awam Nurul Munirah Yahya, 31, berkata sebelum ini beliau membeli kupon parkir bergores untuk tempoh sebulan bagi memudahkan urusan dan mengelakkan disaman.

“Namun, kini saya mula menggunakan aplikasi itu dan memang mudah kerana selain menjimatkan masa, ia juga dapat memeriksa tempoh parkir.

Nurul Munirah Yahya, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jika perlu melanjutkannya, saya hanya perlu menambah menggunakan aplikasi sahaja,” katanya.

Pembantu operasi Perpustakaan Awam Selangor Abdullah Majid, 44, berkata penggunaan aplikasi dapat mengurangkan modal cetakan kupon bergores.

“Modal untuk tujuan itu sudah pasti agak tinggi dan dengan adanya aplikasi ini menjimatkan penggunaan kertas sekali gus dapat menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected] .