KUALA LUMPUR, 16 MEI: BERSIH 2.0 menyarankan rakyat negara ini mendaftar sebagai sukarelawan ‘Jom Pantau’ bagi memastikan perjalanan Pilihanraya Umum Ke-13(PRU-13) akan datang berlangsung dengan adil dan bebas dilindungi.
‘Jom Pantau’ yang diketuai oleh Pusat Komunikasi Masyarakat(KOMAS) merupakan satu platform pemantauan pilihanraya rasmi BERSIH 2.0 berdasarkan lapan tuntutan utama badan itu dengan kerjasama ‘Tindak Malaysia’ bagi melatih para sukarelawan.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk A Samad Said yang kesal dengan tindakan kerajaan BN yang sehingga kini gagal melunaskan tuntutan yang dikemukakan ditambah dengan pendedahan pelbagai keraguan yang dibuat sebelum ini.
“Langkah yang wajib kita lakukan untuk memastikan PRU-13 berlangsung dengan adil adalah memerhatikan dengan mata yang tajam jika berlaku penipuan.
“Para sukarelawan inilah yang akan memainkan peranan yang amat penting sebagai pemantau, pegawai pilihanraya, pengira undi dan ejen untuk pengundi pos.
“Kami menyeru semua penyokong BERSIH untuk sama-sama melawan penipuan,” katanya.
Selain itu, rakyat diingatkan supaya keluar mengundi memandangkan undi mereka menjadi benteng terakhir melawan penipuan yang sedang berlangsung.
‘Jom Pantau’ dijalankan sejak empat bulan lalu dengan memberikan latihan kepada sukarelawan dan akan menganjurkan satu bengkel latihan pada 26 Mei.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Penyelaras Program, Arul Prakkash di talian 019-272 1035
Sebarang aduan berkenaan pilihanraya boleh dibuat melalui:
* SMS Aduan – 013 771 1071
*Talian Aduan – 03 2282 4105
*Twitter – #jom_pantau
*Aduan Online – www.pru13.info
*Email – [email protected]