Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik akaun Twitter warga Palestin diminta tampil bantu siasatan kes rasuah

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter ‘NURATIKAHROSE’ dan seorang lelaki warga Palestin bagi membantu siasatan berhubung rakaman suara yang tular mendakwa anggota polis meminta wang sogokan di sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak Lama, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata pemilik akaun berkenaan telah memuat naik beberapa rakaman suara milik lelaki Palestin itu yang mendakwa seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan itu telah meminta wang daripadanya atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.

“Polis telah merakam keterangan beberapa anggota yang bertugas semasa sekatan jalan raya tersebut. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zainal Mohamed berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Abdul Aziz Sulaiman di talian 03-61262222 dan 016-7185750.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung kawasan riadah diarah beredar jika vaksin tidak lengkap

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Orang ramai yang mengunjungi kawasan riadah akan diarah untuk beredar jika tidak lengkap dua dos vaksin, kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff.

Beliau berkata polis telah menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan pengunjung lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Sekiranya berdegil, mereka akan diarah beredar dari lokasi itu setelah diberi nasihat oleh polis. Kami faham rakyat tengah tertekan dan dalam menguatkuasakan undang-undang, sifat kemanusiaan itu penting dalam membantu masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Mastor juga berkata pemantauan mendapati pengunjung di lokasi riadah agak berkurangan semalam, yang merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, berbanding pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed pula berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran SOP dan 46 saman trafik terhadap pengunjung di kawasan air terjun Sungai Pisang di sini.

“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada jarak fizikal antara satu sama lain,” menurutnya dalam kenyataan.

– BERNAMA