Categories
NASIONAL SUKANKINI

Aslam cipta nama peringkat dunia, tajaan pelbagai pihak mampu buah hasil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kesungguhan Megat Ahmad Aslam Megat Azman dalam sukan kapal layar bagi kategori ‘match racing’ hingga membolehkan beliau bersama pasukannya, Alpha Racing Team merangkul tempat kedua dalam pertandingan kapal layar di Tasik Ledro, Itali diharap dapat membuka mata pihak korporat dan badan berwajib di negara ini.

Bapa pelayar berusia 23 tahun itu, Megat Azman, berkata ia berikutan penglibatan Megat Ahmad Aslam dalam kategori itu mampu membuahkan hasil lebih baik untuk sukan kapal layar negara jika mendapat sokongan pihak terbabit.

aslam1“Saya amat berharap badan korporat seperti di negara maju apabila jenama besar seperti Audi, Volvo dan Puma menaja pasukan kategori match racing ini begitu hebat sekali. Kita harap ada pihak di negara ini sudi melibatkan diri dalam kategori ini.

“Pada masa ini dengan perbelanjaan sendiri iaitu bantuan bapa saudara dia, Aslam akan berada di Eropah selama sebulan untuk mendapatkan pendedahan dan cuba mendapatkan peluang yang ada di sana.

“Komitmen Aslam yang tinggi seharusnya ada pihak yang boleh memberikan sokongan dan bantuan seperti penajaan kerana saya melihat sukan ini adalah sukan baru yang berpotensi serta harus diberi perhatian pihak berwajib,” katanya kepada SelangorKini, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, potensi kategori match racing dapat dilihat apabila kebanyakan kejohanan sukan kapal layar berprestij dunia seperti American Cup turut menjadikannya sebagai kategori tertinggi dalam kejohanan masing-masing.

Katanya, ketika ini Megat Ahmad Aslam berjaya membuktikan penglibatan pihak berwajib dan badan korporat pada masa akan datang adalah sesuatu yang berbaloi apabila beliau mampu menandingi pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi.

aslam“Apabila dia memutuskan ingin ke Itali walaupun pertandingan itu berjalan pada hari raya kedua, saya memberi sokongan penuh tetapi kosnya sangat tinggi dan sebenarnya di luar kemampuan tetapi mujur ada bantuan daripada keluarga iaitu bapa saudaranya membantu. Saya berterima kasih sangat kepada adik-beradik dan saudara-mara yang memberi bantuan.

“Dia membuktikannya dan erjaya capai apa yang disasarkan dengan mendapat tempat kedua. Saya sendiri tak sangka keputusan itu kerana dia berlawan dengan pasukan di dalam ranking dunia lebih tinggi,” katanya.

Katanya, Megat Ahmad Aslam sebelum ini juga pernah menyertai beberapa pertandingan regatta lain di seluruh dunia termasuk di Perth, Australia dan kejayaan menduduk tempat ketiga pada kejohanan di Sydney, Australia.

Selain itu, beliau juga pernah mewakili pasukan kebangsaan yang berpangkalan di Pulau Langkawi sebelum mengikut Megat Azman melanjutkan pelajaran ke Australia.

-NFN-