Categories
NASIONAL SUKANKINI

Aslam cipta nama peringkat dunia, tajaan pelbagai pihak mampu buah hasil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kesungguhan Megat Ahmad Aslam Megat Azman dalam sukan kapal layar bagi kategori ‘match racing’ hingga membolehkan beliau bersama pasukannya, Alpha Racing Team merangkul tempat kedua dalam pertandingan kapal layar di Tasik Ledro, Itali diharap dapat membuka mata pihak korporat dan badan berwajib di negara ini.

Bapa pelayar berusia 23 tahun itu, Megat Azman, berkata ia berikutan penglibatan Megat Ahmad Aslam dalam kategori itu mampu membuahkan hasil lebih baik untuk sukan kapal layar negara jika mendapat sokongan pihak terbabit.

aslam1“Saya amat berharap badan korporat seperti di negara maju apabila jenama besar seperti Audi, Volvo dan Puma menaja pasukan kategori match racing ini begitu hebat sekali. Kita harap ada pihak di negara ini sudi melibatkan diri dalam kategori ini.

“Pada masa ini dengan perbelanjaan sendiri iaitu bantuan bapa saudara dia, Aslam akan berada di Eropah selama sebulan untuk mendapatkan pendedahan dan cuba mendapatkan peluang yang ada di sana.

“Komitmen Aslam yang tinggi seharusnya ada pihak yang boleh memberikan sokongan dan bantuan seperti penajaan kerana saya melihat sukan ini adalah sukan baru yang berpotensi serta harus diberi perhatian pihak berwajib,” katanya kepada SelangorKini, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, potensi kategori match racing dapat dilihat apabila kebanyakan kejohanan sukan kapal layar berprestij dunia seperti American Cup turut menjadikannya sebagai kategori tertinggi dalam kejohanan masing-masing.

Katanya, ketika ini Megat Ahmad Aslam berjaya membuktikan penglibatan pihak berwajib dan badan korporat pada masa akan datang adalah sesuatu yang berbaloi apabila beliau mampu menandingi pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi.

aslam“Apabila dia memutuskan ingin ke Itali walaupun pertandingan itu berjalan pada hari raya kedua, saya memberi sokongan penuh tetapi kosnya sangat tinggi dan sebenarnya di luar kemampuan tetapi mujur ada bantuan daripada keluarga iaitu bapa saudaranya membantu. Saya berterima kasih sangat kepada adik-beradik dan saudara-mara yang memberi bantuan.

“Dia membuktikannya dan erjaya capai apa yang disasarkan dengan mendapat tempat kedua. Saya sendiri tak sangka keputusan itu kerana dia berlawan dengan pasukan di dalam ranking dunia lebih tinggi,” katanya.

Katanya, Megat Ahmad Aslam sebelum ini juga pernah menyertai beberapa pertandingan regatta lain di seluruh dunia termasuk di Perth, Australia dan kejayaan menduduk tempat ketiga pada kejohanan di Sydney, Australia.

Selain itu, beliau juga pernah mewakili pasukan kebangsaan yang berpangkalan di Pulau Langkawi sebelum mengikut Megat Azman melanjutkan pelajaran ke Australia.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Wujudkan perkampungan sukan layar mampu lahir atlet cemerlang

Oleh: AFIX REDZUAN

BATU LAUT, 2 OGOS: Ketiadaan perkampungan sukan di kawasan Batu Laut menyukarkan Persatuan Perahu Layar Negeri Selangor mengumpulkan peserta secara berkelompok untuk satu kejohanan.

Keadaan itu memaksa mereka berbelanja besar untuk menyediakan penginapan serta pengangkutan apabila ada pasukan perahu layar menyertai kejohanan di Pantai Batu Laut.

REGATTA Perahu Layar 2015 Pulau Batu Laut (2)Selain itu, kekurangan kemudahan ini mengakibatkan beberapa atlet terpaksa berlatih di kawasan lain kerana tidak boleh dikumpulkan secara berpusat.

Kesulitan itu diluahkan Presiden Persatuan Perahu Layar Negeri Selangor, Abdul Aziz Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti sebidang tanah seluas 10 ekar di kawasan berhampiran yang boleh dijadikan perkampungan sukan.

Namun, tanah berkenaan milik kerajaan.

“Kami telah memohon tanah berkenaan kepada Kerajaan Negeri.

“Kawasan berkenaan berpotensi untuk dibangunkan sebagai perkampungan sukan.

“Jika Kerajaan Negeri berikan kepada kami, Insya-Allah ia mampu dimajukan untuk melahirkan lebih banyak atlet yang hebat.

“Ia juga berpotensi menjadi pusat pelancongan serta membuka peluang untuk persatuan menjana pendapatan secara tidak langsung di masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, pembangunan kemudahan penting kerana mereka terlibat secara serius dalam melahirkan ramai pelayar pelapis untuk Selangor yang turut beraksi hingga peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara melalui kejayaan dalam kejohanan dunia.

Beliau yang 15 tahun menjadi presiden persatuan itu berkata, Pantai Batu Laut merupakan antara lokasi kejohanan tumpuan peserta kapal layar kerana menawarkan peluang kepada atlet membaiki ranking individu.

Menurutnya, sukan kapal layar tidak menjanjikan hadiah kemenangan lumayan namun berjaya melahirkan atlet mempunyai semangat juang tinggi dalam usaha mengejar ranking terbaik.

Setiap tahun, hampir 14 kejohanan dianjurkan di seluruh negara dan Negeri Selangor merupakan salah satu tuan rumah kejohanan perahu layar sekitar bulan Ogos.

Mengulas mengenai Kejohanan Perahu Layar Regatta yang berlangsung selama tiga hari, sebanyak 13 pasukan menyertai kejohanan kali ini.

Namun jumlah pasukan bertanding berkurangan berbanding penganjuran sebelum ini.

Pasukan jemputan dari Jakarta, Indonesia menyertai kejohanan kali ini.

Sebelum ini, beberapa pasukan daripada Singapura, Hong Kong dan Myanmar turut bersaing dan berlatih di Pantai Batu Laut.

EZY

Categories
SELANGOR

150 peserta bakal berentap kejohanan sukan layar

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 31 JUL : Pantai Batu Laut kekal sebagai lokasi kejohanan ‘The KFC-MDKL-Selangor Open Regatta 2015’ yang akan berlangsung pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 2015 ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, geografi yang sesuai dengan tiupan angin konsisten selain selamat antara faktor pantai Batu Laut terus menjadi pilihan penganjuran kejohanan sukan perahu layar tersebut.

perahu-layar-(gambar-hiasan)“Kemudahan infrastruktur lengkap turut menjadi faktor pemilihan lokasi ini disamping kawasannya kondusif untuk pengunjung hadir bagi menyaksikan keasyikan pertandingan,” katanya.

Sekurang-kurangnya lebih 150 peserta dijangka akan menyertai pertandingan ini melibatkan peserta seluruh Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak dan negara jiran, Indonesia.

Kejohanan ini tidak tertumpu kepada penyertaan peserta dewasa malah terbuka kepada golongan muda berusia 10 tahun.

Ia merupakan acara pertandingan perahu layar peringkat Sirkit Kebangsaan (National Ranking) yang diadakan di setiap negeri mengikut tarikh ditetapkan di dalam kalendar kebangsaan.

“Kejohanan kali ini adalah anjuran Persatuan Sukan Layar Selangor bersama MDKL dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor MSN Selangor dan Persatuan Pelayaran Malaysia.

“Kejohanan ini juga dilihat sebagai medium untuk pelayar muda bertanding dan menimba pengalaman dengan pelayar bertaraf dunia dan Asia selain memberi ruang untuk peserta mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih profesional bagi mendalami ilmu pelayaran secara lebih profesional, kata Mohd Azhar.

Selangor Kini difahamkan, pelayar berjaya dalam kejohanan ini diserap ke dalam pemilihan skuad kebangsaan khususnya peserta daripada kelompok terbaik Malaysia.

“Kejohanan ini juga bermatlamat untuk menanamkan minat kepada masyarakat dan golongan belia bagi mengetahui selok belok sukan pelayaran.

“Dengan adanya kejohanan seperti ini juga, belia dan beliawanis mempunyai peluang untuk melihat dengan lebih dekat kejohanan pelayaran dianjurkan dan sekaligus menceburi bidang ini,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Sukan layar dijangka terima peruntukan RM50,000

Oleh: AFIX REDZUAN

MORIB, 10 OKT: Sukan perahu layar dijangka menerima peruntukan RM50,000 bago pembangunan memandangkan ia mempamerkan kecemerlangan dalam banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata jumlah peruntukan itu akan dilihat semula selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2015.

Majlis penutup Kejohanan Perahu Layar 2014 (5)Katanya, untuk pembangunan sukan negeri, dijangkakan RM800,000 bakal diperuntukkan dan jumlah berkenaan dijangka bertambah untuk tahun hadapan.

“Penumpuan kepada infrastruktur sukan seperti jeti untuk pelantar pasukan perahu layar berlatih dan sedikit pembaikan di ruang pejabat serta ruang penyimpanan peralatan mereka.

“Selepas pembentangan bajet kita susun balik kesemuanya,” katanya kepada media sempena lawatan beliau ke Pusat Sukan Layar, Batu Laut, di sini hari ini.

Menurut Adun Batu Caves ini, Persatuan Sukan Layar mengemukakan cadangan itu sejak 2008 bagi pembangunan infrastruktur sukan.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil inisiatif membantu atlet dalam pendidikan mahupun bantuan kerjaya selepas bersara.

Ini termasuk penyediaan peluang mereka mencurahkan ilmu dalam bidang sukan kepada atlet pelapis bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan.

Turut hadir sama, Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan dan Presiden Persatuan Sukan Layar Negeri Selangor, Abdul Aziz Abdullah.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada pemenang pingat emas acara karate-do Sukan Asia Incheon 2014, Syakila Salni Jefry Krisnan @ Krisnamurthy.

Sementara, atlet sukan perahu layar Ahmad Syukri Abd Aziz dan Mohamad Faizal Norizan yang turut menyumbang emas di Incheon tidak dapat hadir sama dan hanya diwakili ahli keluarga masing-masing kerana sedang menyertai pertandingan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syakila, 22, yang ditemui ketika sesi sidang media melahirkan kegembiraan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di atas sumbangan yang diberikan kepadanya.

Anak kedua daripada lima adik beradik ini berjaya merangkul pingat emas dalam acara karate-do kategori bawah 61 Kilogram di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan.

Atlet berasal daripada Klang ini memaklumkan beliau kini sedang membuat persiapan bagi kejohanan World Championship di Jerman dan Asia Champions Cup yang di jadualkan berlangsung November ini.

Beliau sebelum ini pernah mewakili Negeri Selangor dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang dan berjaya merangkul pingat emas dalam acara sama.

Menyentuh soal kecederaan hamstring yang dialaminya beliau berkata setakat ini telah pulih sebanyak 50 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya minggu hadapan.

EZY