PUTRAJAYA, 24 NOV: Malaysia mahu negara anggota Asean bersatu dari segi pandangan terhadap isu alam sekitar pada 26th Conference of Parties (COP26) Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) berlangsung di Scotland tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata perkara itu ditekankan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean Mengenai Alam Sekitar (Asoen) ke-31 yang dipengerusikannya hari ini dan esok.
Menurutnya, negara-negara rantau ini tidak pernah bersatu pandangan sebagai sebuah blok Asean di UNFCCC, sebaliknya mengambil pendekatan tersendiri terhadap isu alam sekitar seperti jerebu, pelepasan gas karbon dan pencemaran laut.
“Jadi, kita nak gunakan kesempatan pada hari ini dan esok untuk meyakinkan negara-negara Asean kalau kita bersatu dari segi pandangan kita, kita akan mewakili 700 juta penduduk dunia dan mungkin pandangan kita itu lebih diberi keutamaan,” katanya pada sidang media sebelum mesyuarat Asoen ke-31 yang dijalankan secara maya, di sini hari ini.
Zaini berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan mengenai pandemik Covid-19 sebagai pendorong untuk mewujudkan laluan pemulihan hijau.(green recovery pathway).
“Kita mencari cara bagaimana mengurangkan kesan alam sekitar, contohnya mungkin kita tak perlu banyak pergerakan menggunakan kenderaan ke sana sini, kita boleh menggunakan mesyuarat secara dalam talian,” katanya.
-BERNAMA