Categories
SELANGOR

3 kali ulang salah, MPSJ batal lesen peniaga pasar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 10 FEB: Tindakan pembatalan lesen akan diambil jika peniaga pasar pagi dan malam gagal memenuhi syarat ditetapkan selepas tiga kali mengulangi kesalahan.

Pengarah Pelesenan, Asfarizal Abdul Rashid berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini giat mengagihkan notis pemberitahuan kepada peniaga sebelum tindakan penguatkuasaan diambil, bermula Mac ini.

“Antara arahan notis membabitkan pemegang lesen perlu mengekalkan kebersihan ketika dan selepas menjalankan perniagaan.

_MG_5830“Kita juga sentiasa memantau sama ada peniaga memanfaatkan lesen yang diterima atau memberikan kepada orang lain untuk berniaga,” katanya dalam satu sidang media di pasar pagi Taman Wawasan, di sini.

Syarat lain termasuk peniaga perlu menggantung lesen supaya mudah dilihat, sediakan tong sampah dan sentiasa hadir di pasar.

Peniaga yang ingkar dan tidak mematuhi arahan akan dikenakan Notis Tawaran Kompaun (NTK) sebelum tindakan pembatalan lesen selepas tiga kali kesalahan di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja (MPSJ) 2007.

“Kita akan masukkan terus pemohon yang berada dalam senarai simpanan untuk menggantikan peniaga yang dibatalkan lesen tanpa notis lanjutan,” katanya.

-NFN-