Categories
AGENDA NASIONAL

3,550 pekerja Top Glove Klang jalani saringan Covid-19 esok

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 3,550 pekerja Top Glove, Klang akan menjalani ujian saringan Covid-19 mulai esok, kata ketua polis daerah Klang Utara.

Jumlah itu katanya membabitkan semua penghuni di asrama kilang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

“Penduduk yang tinggal berhampiran kilang iaitu di Jalan Abadi 5 , Jalan Abadi 1a Off Jalan Teratai, Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai.

“Ujian saringan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang selepas proses bancian dijalankan hari ini,” kata Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda, PKPD hingga 30 November itu membabitkan kawasan berkeluasan 6.3 hektar.

“Seramai 200 kakitangan dari pejabat daerah dan tanah, polis, tentera, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Pengurusan Bencana Negeri, bomba, Jabatan Penerangan dan Jabatan Kerja Raya akan terbabit menerusi tiga syif,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove serta melibatkan 1,200 penduduk berhampiran bermula hari ini selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Asrama pekerja Top Glove Klang dikenakan PKPD mulai esok

SHAH ALAM, 16 NOV: Asrama pekerja kilang sarung tangan Top Glove di Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 30 November.

Menteri kanan pertahanan berkata arahan itu susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut yang merekodkan 215 kes setakat semalam.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan terlibat ialah asrama pekerja lelaki dan perempuan, Jalan Abadi 1A/KU8, Jalan Abadi 1A serta Jalan Abadi 10A/KU8.

“Perintah ini melibatkan seramai 13,190 orang pekerja dan hampir 1,200 penduduk bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan saringan bersasar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada pekerja kilang dan asrama yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang tersebut.