Categories
SELANGOR

Siasatan audit pampasan kakitangan Abdul Khalid diserah kepada Lembaga Pengarah MBI

Oleh: LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 16 NOV: Hasil siasatan audit pampasan membabitkan kakitangan mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diserahkan kepada Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk tindakan lanjut.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, pihak audit terlebih dahulu membentangkan laporan audit berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), minggu lalu.

MBIBagaimanapun, katanya, perkara berkenaan di luar bidang kuasa MMKN dan akan diserahkan kembali kepada pihak MBI.

“MMKN sudah dimaklumkan berkenaan hasil siasatan pihak audit dan akan dibentangkan dalam minggu ini untuk lihat langkah yang perlu diambil jika ada sebarang keputusan melanggar peraturan.

“Sama ada ganjaran atau pampasan itu akan ditarik juga akan dibincangkan. Hasil siasatan memang ada perkara tidak dipatuhi dalam pemberian itu dengan jumlah begitu besar dan luar biasa yang perlu disemak semula,” katanya selepas majlis perasmian program Gerak Gempur Aedes dengan tema ‘MB Terjah, Kampungku Meriah’ di Kampung Tengah, di sini, hari ini.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)Semalam, Abdul Khalid menjelaskan beliau mengikut prosedur sedia ada dalam pemberian pampasan kepada tujuh pembantunya ketika dalam pentadbiran termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Akhbar, Arfa’eza Abdul Aziz.

Katanya, keputusan itu dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MBI yang kemudiannya dimaklumkan kepada semua Exco Kerajaan Negeri sebelum ini dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Terdahulu ADUN Sri Andalas, Xavier Jayakumar melalui satu kenyataan di laman mikro Twitternya mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri pimpinan Mohamed Azmin akan mendapatkan semula wang daripada mereka yang terbabit.

-NFN-