Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa Azizulhasni meninggal dunia akibat strok

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerima perkhabaran duka apabila bapanya, Awang Embong, 72, meninggal dunia akibat strok awal pagi tadi.

Abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, 37, memaklumkan Allahyarham Awang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi di kediamannya di Dungun, Terengganu.

Mohd Razman berkata Allahyarham baru-baru ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang petang semalam.

“Doktor benarkan arwah pulang dalam keadaan baik, dan kelihatan ceria sebelum meninggal dunia, kami sekeluarga amat terkejut dengan pemergian Allahyarham, namun harus redha dengan ketentuan ilahi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Datuk Azizulhasni bersama bapanya, Awang Embong pada Mac 2020. Foto Facebook Azizulhasni Awang

Mohd Razman berkata solat jenazah akan diladakan selepas solat Zohor di Surau Ustaz Omar Shukri sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Sementara itu Mohd Razman memberitahu Azizulhasni, yang sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, sempat menghubunginya pukul 5 pagi tadi untuk mendapatkan perkembangan mengenai situasi melanda keluarganya ketika ini.

“Azizulhasni sememangnya sedih dengan pemergian bapanya dan meminta kami sekeluarga untuk menguruskan segala keperluan,” katanya.

Sementara itu Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu hantaran di laman Facebook dan Twitter mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

“Ya Allah! Ampunilah Allahyarham, berilah dia rahmat-mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya..Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Sementara itu Azizulhasni dalam cacatan di laman Facebook beliau, mendoakan agar roh arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Semoga ayah diampunkan segala dosanya, diterima segala amal ibadatnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

“Ya Allah! Ampunilah almarhum (Awang Embong), berilah dia rahmatmu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya,” katanya.

– BERNAMA