Categories
AGENDA NASIONAL

Azwan Ali didenda RM17,000 hina petugas Hospital Putrajaya

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Selebriti yang sering mengundang kontroversi, Azwan Ali didenda RM17,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menghina kakitangan Hospital Putrajaya di laman sosial YouTubenya, sebagai petugas di barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan, 54, atau dikenali dengan gelaran “Diva AA” selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Azwan didakwa secara sedar telah menggunakan laman sosial Youtubenya, “DIVAAATERSOHOR” telah membuat penghantaran bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan perbuatan itu telah ditonton di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya di Putrajaya, 24 Mac lepas.

Hantaran itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, jam 4.59 petang, pada 25 Mac 2020.

Azwan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Azwan yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes ini juga membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah kepada semua petugas Hospital Putrajaya.

“Saya menyesal dengan perbuatan tersebut dan ini adalah pengajaran terbesar dalam hidup saya,” katanya.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ammanjeet Singh yang mewakili Azwan merayu hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia telah membuat permohonan maaf dalam semua akaun media sosial miliknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon hukuman setimpal dengan alasan situasi sekarang semua pihak harus belajar untuk menghormati mereka yang bertugas di barisan hadapan.

“Hantaran ini dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat dan ia adalah sesuatu yang serius. Sekiranya ia berulang ia akan memberi satu impak yang tidak baik,” katanya.

Hakim Azura sebelum menjatuhkan hukuman antara lain menasihati semua pihak agar menghormati petugas yang berada di barisan hadapan dan bersama-sama menangani wabak Covid-19.

Susulan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 14 April untuk membendung penularan wabak Covid-19, mahkamah di seluruh negara ditutup dan hanya beroperasi untuk mengendalikan kes-kes baharu, reman dan permohonan jaminan dengan kehadiran minimum sahaja.

Oleh itu petugas media tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan dan bilik bicara mahkamah dan mendapat maklumat daripada pihak pendakwaan.

Mereka dibenarkan berada di luar pintu pagar mahkamah berhampiran pondok pengawal.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azwan Ali tak patut hina juadah Bazar Ramadan macam ‘sampah’

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JULAI: Tindakan bekas pengacara, Azwan Ali memperlekeh juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak.

Beliau melalui laman sosial ‘Twitter’nya mengibaratkan juadah di bazar sebagai sampah dan tidak akan sama sekali membelinya.

kambing golekSelain diserang di twitter, aktivis yang juga bekas jurugambar terkenal, Saiful Nang turut menyindir kelancangan mulut Azwan di laman Facebooknya.

“Saya tak pergi Pasar Ramadan dah 3 tahun. Tapi saya tak pernah tergamak nak kata macam Azwan Ali katakan.

“Azwan Ali…hang mulut jangan capoi sangat…Jangan sampai nanti hang punya rezeki Allah tarik balik sampai hang betul-betul makan sampah,” katanya dalam status Facebook hari ini.

Dalam status sama, beliau turut berkongsi pengalamannya berniaga ‘roti John’ di bazar Ramadan di Ampang Jaya pada 2012.

Katanya, beliau begitu menitik-beratkan penjagaan kebersihan di samping sering menyelitkan nasihat kepada para pembeli untuk tidak membazir membeli juadah berbuka.

“Bisnes bukan untuk duit semata-mata. Bisnes untuk dakwah dan jalan berpesan-pesan.

“Rezeki…Allah yang bagi bila suruhan Allah kita lakukan. Mungkin sebab itu Allah pilih utusannya di kalangan usahawan seperti Nabi Muhammad SAW dan bukannya penceramah-penceramah agama atau politik,” katanya lagi.

Sementara itu, pengguna Facebook lain turut menyelitkan pandangan dan teguran kepada kritikan pedas Azwan Ali yang disifatkan kurang ajar.

“Kecik hati peniaga-peniaga yang betul-betul berniaga ikhlas kerana Allah hendak bagi anak bini makan, yang jaga kualiti air dan lauk pauk yang dijual,” kata Hamimah Nozari.

“Salam dari Brunei. Saya pernah bersebelah dengan salah seorang anakanda Sultan kami. Beli air tebu kat bazar Ramadan di stadium,” celah Dania Arissya Putri pula.

EZY