Categories
EXCO SELANGOR

Sabotaj disyaki punca kebakaran bahan kimia

KUALA SELANGOR, 26 NOV: Pemeriksaan di tapak pembuangan sampah haram di Kampung Tambak Jawa di sini menemui parang dan penyodok besi yang dipercayai digunakan untuk memecahkan tong berisi bahan kimia sebelum ia dibakar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kebakaran yang menggemparkan penduduk sekitar semalam disyaki ada unsur sabotaj susulan penemuan objek-objek berkenaan.

Katanya, pemeriksaan ke atas 270 tong di dua lokasi di kawasan pembuangan sampah haram itu juga mendapati ada kesan calar dan pecah pada sebahagian tong-tong berkenaan.

“Sampel bahan kimia sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia semalam dan pemeriksaan di lokasi turut menemui parang serta penyodok besi.

“Di lokasi pertama menemui 244 tong dengan 14 tong tersebut telah terbuka manakala baki 26 tong lagi ditemui di lokasi kedua.

“Jarak antara dua lokasi berkenaan sekitar 500 meter” katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, dipercayai kejadian kebakaran dan letupan semalam itu kerana ada pihak yang sengaja masuk ke kawasan berkenaan untuk membakar bahan kimia terbabit bagi menghapuskan bukti.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembuangan bahan kimia yang terbakar semalam, hari ini.

Loy Sian menjelaskan, kawasan berkenaan merupakan tanah milik persendirian dan luas keseluruhan tanah itu 23 ekar.

Pekerja Kualiti Alam Sdn Bhd melakukan kerja pembersihan di kawasan pembuangan sisa kimia secara haram di Kampung Tambak Jeram, Kuala Selangor pada 26 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bagaimanapun, katanya, kesan daripada pencemaran itu, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos RM1 juta bagi kerja pembersihan yang dilakukan syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd.

Katanya, di lokasi pertama disyaki tong-tong tersebut mengandungi bahan buangan terjadual seperti SW 303 (pelekat atau glu), SW 321 (buangan getah) dan SW 322 (buangan pelarut organik).

“Setakat ini tiada kesan kesihatan kepada penduduk sekitar. Kerja-kerja pembersihan bermula hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan tuan tanah telah dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu. Bagaimanapun, tuan tanah terbabit tidak mengetahui tanahnya diceroboh.

“Kita menasihatkan semua pemilik tanah supaya mengawasi kawasan masing-masing bagi mengelakkan ia digunakan untuk pembuangan sisa toksik,” katanya.

Terdahulu pada 20 November lalu, katanya, pihak berkuasa sudah menerima aduan daripada orang awam yang melihat ada pihak-pihak yang masuk ke lokasi tapak pembuangan sampah haram itu.

Categories
NASIONAL

Bomba pertimbang guna bahan kimia kawal kebakaran bangunan

 

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mempertimbangkan penggunaan bahan kimia agen pembasahan baharu yang diadun dengan air bagi memadamkan kebakaran struktur bangunan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya kini sedang meneliti penggunaan bahan kimia bagi agen pembasahan yang lebih efektif dan sesuai untuk digunakan, selain memperkuatkan keupayaan air bagi tujuan memadam kebakaran.

Beliau berkata ia merupakan satu teknologi baharu iaitu air itu akan ditambah dengan bahan campuran atau kimia bagi memperkuatkan air yang digunakan untuk tujuan pemadaman kebakaran.

“Misalnya, satu gelen air yang tidak dicampur dengan bahan kimia kekuatannya adalah berbeza dengan air yang dicampur dengan bahan tertentu itu.

“Ia mempunyai nisbah campuran tertentu untuk diadun dengan air, tetapi teknologi ini mahal. Sebelum ini kami pernah memadamkan kebakaran dengan menggunakan buih untuk mempercepatkan proses pemadaman kebakaran,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata pihaknya merekodkan kerugian lebih RM3.3 bilion melibatkan kebakaran struktur bangunan dan rumah sepanjang tahun 2018.

Beliau berkata jumlah itu, membabitkan 6,626 premis bangunan dan rumah kediaman dan pihaknya menyasarkan penurunan kadar kerugian dengan cara mempertingkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat secara lebih agresif.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya kini akan lebih memberi tumpuan kepada ‘offensive firefighting’ dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Cara pemadaman kebakaran itu penting dan itu sebabnya kami menjurus kepada offensive firefighting dengan cara terus memasuki bangunan untuk mencari punca kebakaran. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat mereka mempraktikkan cara itu dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lebih ke hadapan.

“Kita ini terlalu berhati-hati dengan pendekatan ‘defensive firefighting’, namun jika kita praktikkan sedemikian (offensive firefighting) kita mampu mengurangkan kadar kerosakan kebakaran itu,“ katanya. -BERNAMA

 

Foto Kredit Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia

Categories
NASIONAL

Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih bertukar hospital

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Sejak beberapa hari lalu, Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih bertukar ‘wajah’ daripada sebuah pusat kegiatan komuniti kepada ‘hospital’ untuk memberi rawatan awal kepada pelajar dan orang awam yang terjejas ekoran pencemaran bahan kimia.

Hospital dewan yang dibuka 24 jam sejak Ahad lalu itu mula berada dalam suasana kelam kabut sejak 10.30 pagi, apabila sebilangan pelajar dari beberapa sekolah yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah tiba di perkarangan dewan mendapatkan rawatan awal.

Para petugas, antaranya anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, petugas kesihatan dan anggota Majlis Perbandaran Pasir Gudang ‘tidak menang tangan’ membantu memberikan rawatan kepada pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dan orang awam yang tinggal di kawasan sekitar.

Pergerakan ambulans juga boleh dilihat bertali arus antaranya membabitkan ambulans Kementerian Kesihatan; Jabatan Pertahanan Awam; Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat; St John Ambulance dan Hospital Pakar Regency; keluar dan tiba mengambil pelajar di sekolah selain menghantar mereka yang serius ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

Ada sebahagian pelajar dan orang awam tiba di dewan itu dengan dipapah dan menaiki kerusi roda ekoran lemah, manakala suasana sekali sekala bertukar panik apabila beberapa orang awam terutamanya wanita pengsan ketika berjalan menghampiri dewan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang akhbar hari ini berkata, seramai 506 orang mendapatkan rawatan hari ini dengan 166 daripadanya dirawat di hospital dan sembilan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kehadiran ibu bapa membanjiri perkarangan dewan sejak 11 pagi pula terus menjadikan keadaan bertambah kelam kabut, namun, situasi itu dapat diredakan petugas kesihatan dan anggota lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang meminta mereka bertenang.

Tiada kata dapat diungkap melihat beberapa wanita kaum ibu mengalirkan air mata memikirkan nasib anak masing-masing selepas rata-ratanya terkejut apabila dimaklumkan pihak sekolah berhubung anak yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Pada sebelah petang, keadaan di dewan mula reda, namun masih terdapat orang ramai termasuk wanita mengandung dan pelajar tiba secara berperingkat mendapatkan rawatan.

Keadaan di dewan itu mendapat perhatian beberapa pihak dengan seorang aktivis, Adzuan Ahmad, 47, mengedarkan 400 keping penutup mulut dan hidung dengan perbelanjaan sendiri, manakala Ranhill SAJ turut menyampaikan sumbangan merangkumi air mineral, makanan dan kertas tisu untuk kegunaan mangsa dan petugas di dewan. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: Petugas dan anggota Rela membantu seorang wanita yang pengsan ketika hendak mendapatkan rawatan awal di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih hari ini. Dewan itu mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA