Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2020 perlu dilaksana secara berhemah

SHAH ALAM, 14 OKT: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga mahu peruntukan Belanjawan 2020 dilaksanakan secara berhemah dan berkesan agar setiap rakyat dapat merasai manfaatnya dalam usaha mencapai kemakmuran bersama.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, belanjawan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mampu memanfaatkan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat sekali gus membuktikan kerajaan amat menitikberatkan kepentingan rakyat khususnya kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Belanjawan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ ini dilihat bersifat komprehensif.

“Ini kerana ia merangkumi peruntukan berkaitan keluarga, wanita, kebajikan sosial dan pembangunan komuniti, infrastruktur perkhidmatan, penjagaan kesihatan serta liputan penjagaan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Mariah berkata, menjelang Belanjawan Selangor tidak lama lagi, Kerajaan Negeri akan terus komited menambahbaik keperluan rakyat melalui program dan bantuan sedia ada.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi yang rencam, belanjawan kali ini dijangka lebih bersifat progresif dan mendidik masyarakat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harapan Belanjawan 2020 ke arah kehidupan berkualiti

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 yang sangat dinanti-nantikan di Dewan Rakyat pada 4 petang, hari ini.

Ia merupakan kali kedua beliau membentangkan belanjawan tahunan negara itu.

Ramai rakyat Malaysia berkongsi harapan dan keinginan mereka untuk Belanjawan 2020 termasuk hasrat untuk melihat pelaksanaan inisiatif sosioekonomi yang memberi kesan secara langsung terhadap transformasi digital yang berterusan di bawah Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Orang ramai tidak sabar untuk mendengar pengumuman inisiatif berkenaan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat dan lebih banyak peluang untuk menikmati kehidupan berkualiti.

Kebanyakan ahli ekonomi menyatakan harapan bahawa belanjawan kali ini perlu memberikan hala tuju yang lebih besar daripada kerajaan menerusi visinya dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang mampan.

Sementara itu, persatuan perubatan mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keberkesanan dan kelemahan dasar kesihatan sedia ada demi manfaat untuk rakyat.

Menerusi matlamat utama untuk meningkatkan kemakmuran rakyat dalam cara yang adil dan inklusif, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendengar suara rakyat sambil berusaha mengotakan janjinya untuk memulihkan Malaysia kepada kedudukan fiskal yang lebih kukuh menjelang 2022, walaupun mewarisi kedudukan kewangan yang membimbangkan.

Majoriti penganalisis berkata, Belanjawan 2020 akan mencerminkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan menyusun semula ekonomi dan jurang perbezaan antara orang kaya dan golongan miskin.

Sebagai rekod, peruntukan sebanyak RM314.5 bilion disediakan untuk Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.

Belanjawan 2020 juga merupakan belanjawan kedua kerajaan PH, sejak ia memerintah pada Mei 2018.

Pembentangan Belanjawan Malaysia 2020 akan disiarkan secara langsung menerusi media massa, saluran media sosial dan akaun rasmi Facebook serta Twitter Kementerian Kewangan.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ wujud laman khas cadang bajet 2020

PETALING JAYA, 17 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan laman khas bagi mendapatkan input, cadangan dan maklum balas daripada penduduk di kawasan itu untuk membentuk bajet 2020 Pihak Berkuasa Tempatan terbabit.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan pihaknya sentiasa berusaha dan komited membangunkan Petaling Jaya sebagai bandar raya peneraju, dinamik serta lestari di Malaysia juga di peringkat antarabangsa.

“MBPJ dengan berbesar hati menjemput orang ramai bersama-sama menjadi sebahagian daripada individu yang menyumbang idea, cadangan atau pandangan bagi penyediaan Bajet 2020 dengan melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my.

“Laman khas cadangan bajet ini memfokuskan kepada empat kategori antaranya pengurusan infrastuktur dan kemudahan awam, pengurusan taman, padang dan landskap serta pengurusan sisa pepejal.

“Selain itu, turut difokuskan pembersihan dan kesihatan persekitaran, pengurusan keselamatan bandar, sosial serta kemasyarakatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dijemput mengemukakan sebanyak mungkin input dan mengambil bahagian dalam pembentukan Bajet MBPJ 2020 melalui laman sesawang khas sebelum atau pada 25 September 2019.

Categories
NASIONAL

Bajet 2020: Kerajaan tidak cadang kenakan cukai warisan

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai baharu dalam Bajet 2020 khususnya berhubung cukai warisan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, spekulasi berhubung cukai warisan akan diperkenalkan berlegar sejak sebelum pembentangan Bajet 2019, dengan pasaran bimbang akan mengurangkan minat pelabur, terutama di Bursa Malaysia.

“Ia tidak mungkin. Jika ada, ia hanya susulan kepada apa yang kami umumkan dalam Bajet 2019,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Perniagaan PKS Malaysia, hari ini.

Kerajaan, bagaimanapun, ada mencadangkan cara untuk meningkatkan hasil cukai termasuk menerusi program pengisytiharan sukarela khas yang membolehkan pembayar cukai mengisytiharkan sebarang pendapatan tidak dilaporkan, termasuk pendapatan disimpan dalam akaun luar pesisir.

Ditanya berkenaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada separuh pertama 2019, Guan Eng berkata kerajaan mengakui terdapat banyak cabaran dihadapi mereka, termasuk isu berhubung akses kepada pembiayaan serta mengenai penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman.

“Sesetengah syarikat mahu menjadualkan semula pinjaman mereka untuk tempoh lebih lama supaya mereka boleh meningkatkan aliran tunai mereka dan mereka masih membayar tepat pada masanya, tetapi masalahnya sesetengah bank akan mengklasifikasikannya sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Ini tidak sepatutnya berlaku dan Bank Negara akan memaklumkan kepada bank-bank bahawa mereka tidak boleh mengklasifikasikan PKS berkenaan sebagai NPL,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, menteri kewangan itu berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menggesa PKS untuk melakukan transformasi digital.

Pada Februari tahun ini, kerajaan melancarkan skim jaminan baharu bernilai RM2 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) Bhd untuk membantu PKS Malaysia untuk menceburi Industri 4.0.

Tambahan RM1 bilion lagi dikhususkan untuk memacu PKS Bumiputera, yang merupakan sebahagian daripada RM6.5 bilion skim jaminan SJPP untuk membantu PKS mendapatkan pembiayaan.

“Kerajaan juga menyediakan Dana Transformasi Pendigitalan Industri RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) untuk memacu penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, automasi, data besar dan robotik dalam kalangan syarikat Malaysia”.

Guan Eng juga berkata cabaran lain yang dihadapi oleh PKS adalah perkhidmatan awam.

“Kadang kala mereka masih memberi masalah, kami masih perlu mendapatkan mereka untuk menyokong inisiatif dasar-dasar kerajaan. Kami menerima banyak aduan, (seperti) dengan sengaja menyukarkan pihak perniagaan, tetapi itu akan mengambil masa.

“Anda tidak boleh mengatasi 61 tahun dalam satu tahun, jadi kami harap mereka dapat bersabar, kami akan uruskannya langkah demi langkah, secara berperingkat,” katanya sambil menekankan akan perlunya PKS memanfaatkan dunia digital.

Pada 2017, PKS menyumbang 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan angka itu dijangka meningkat kepada 41 peratus menjelang tahun depan.

PKS juga merupakan majikan terbesar di negara ini, menggaji dua pertiga daripada semua pekerja di Malaysia dan merangkumi 98.5 peratus daripada semua perniagaan di negara ini.

-BERNAMA