Categories
SELANGOR

FESBUK cungkil potensi usahawan muda

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan Festival Buku dan Kanak-Kanak (FESBUK) bagi mencungkil bakat serta potensi anak muda dalam bidang keusahawanan.

Pengurus Besar Real Estate, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata festival itu akan menampilkan 24 usahawan muda daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Shah Alam dan mereka akan menyertai ‘Student Bazaar’ sebagai salah satu cara menggilap usahawan muda yang berpotensi.

“PKNS Real Estate juga dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai, di samping mendidik kanak-kanak seawal usia berkenaan kepentingan membaca.

encik fakru-pengurus pkns“Selain itu, ia sebagai salah satu inisiatif PKNS Real Estate dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri membina komuniti dan masyarakat madani dalam pembinaan sahsiah pemupukan nilai murni,” katanya dalam kenyataan media.

Festival itu berlangsung di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam, bermula sehingga 23 Ogos ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam dijangka hadir, hari ini.

Fakru Radzi berkata, antara beberapa tarikan menarik di festival itu seperti jualan buku mega, aktiviti pentas oleh 200 pelajar taska sekitar Shah Alam dan MBSA Exciting Race 2015.

“Terdapat beberapa forum menarik seperti ceramah motivasi, bengkel tafsir Al-Quran dan sesi bedah buku bagi menambah ilmu pengetahuan pelajar.

“Kita juga akan menampilkan beberapa artis tempatan bagi memeriahkan lagi festival,” katanya.

-NFN-