Categories
AGENDA NASIONAL

31.8 juta penduduk selesai dibanci, membanggakan di sebalik pandemik

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Banci Malaysia 2020 yang akan ditutup pada Ahad ini mencapai tahap membanggakan apabila rakyat Malaysia terus-menerus memberikan kerjasama meskipun negara berhadapan cabaran pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun.

Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sehingga hari ini sebanyak 31.8 juta penduduk Malaysia atau 97.6 peratus daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk 2020, sudah dibanci.

“Dengan Banci Malaysia 2020 berbaki lima hari lagi, penduduk yang dianggarkan masih belum dibanci adalah 0.8 juta atau 2.4 peratus,” katanya pada sesi pembentangan dan sidang media maya mengenai operasi banci yang disiarkan di akaun Facebook MyCencus2020 hari ini.

Memasuki hari-hari terakhir banci menjelang Ahad ini, Mohd Uzir menyeru individu yang belum sertai pembancian agar menghubungi Jabatan Perangkaan secara dalam talian.

Beliau berkata penemuan utama data Banci Malaysia 2020 akan diumumkan pada 1 November, sementara data berdasarkan tema atau sektor seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan akan diumumkan pada Januari 2022.

Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Menurut Mohd Uzir Banci Malaysia 2020 telah dijadualkan sebanyak empat kali iaitu pada Julai dan Oktober 2020, Januari dan Jun 2021. Sementara Banci secara dalam talian melalui e-Census serta sistem panggilan telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI) diteruskan.

Mengulas mengenai status terkini Banci Malaysia 2020 beliau berkata penduduk Malaysia merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara.

Nisbah jantina penduduk di Malaysia menunjukkan 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Penduduk lelaki mencatatkan 51.5 peratus, lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.5 peratus, katanya.

Menurut Mohd Uzir peratusan sambutan penduduk tertinggi dicatatkan di Samarahan (121.3), Muallim (116.8), Gombak (113.3), Sepang (113.1) dan Seremban (112.5). Sementara peratusan penduduk telah dibanci terendah mengikut daerah di Semenanjung dicatatkan di daerah Lipis (71.5), Bera (76.6), Maran (77.3), Kuala Krai (77.5) dan Rompin (79.6).

Beliau berkata warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus. Sementara penduduk dalam umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur (73.6 peratus).

Putrajaya mencatatkan peratusan umur muda (0–14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perangkaan susun semula gerak kerja banci bersemuka

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula berdasarkan tiga kategori pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 DOSM memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara akan digunakan dalam pembancian fasa kedua.

Selain itu menurut pejabat tersebut, pembancian bersemuka pula dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tidak dibenarkan di kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi kawasan yang tidak dibenarkan itu, maklumat banci akan dikumpul secara dalam talian melalui platform e-Census (Banci Dalam Talian) dan kaedah panggilan telefon mengikut kesesuaian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua pihak memainkan peranan penting dalam bersama melandaikan lengkukan kes Covid-19, sekali gus DOSM telah membuka semula platform e-Census.

“Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

“Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci secara dalam talian dan bagi mereka yang memerlukan ID untuk mengisi e-Census, boleh berhubung dengan Helpdesk melalui [email protected] atau merujuk kepada DOSM Negeri berdekatan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan disahkan negatif Covid-19 semalam, menerusi ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

Mohd Uzir akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga 15 Januari dan situasi itu tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran DOSM, menurut kenyataan tersebut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

6.7 juta rakyat Selangor terlibat Banci 2020

SHAH ALAM, 10 JULAI: Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor dijangka membanci 6.7 juta penduduk membabitkan dua juta kediaman di negeri ini bermula 7 Julai hingga 24 Oktober.

Pengarahnya berkata pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa pertama meliputi pengumpulan data secara dalam talian (e-Census) dan edaran 400,000 poskad di 4,101 kawasan.

“Petugas kami bergerak ke setiap rumah untuk mengedarkan poskad dengan memakai vest rasmi berwarna biru, kad kuasa pegawai banci serta surat pengenalan bagi mengelak aktiviti penyamaran dan penipuan.

“..sokongan dan penglibatan penduduk Selangor penting bagi memastikan setiap maklumat yang diberikan berintegriti dan dipercayai kerana ia digunakan sebagai sumber dalam membuat keputusan tepat,” kata Muhammad Amri Idris dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sokongan dan bantuan yang diberikan bagi menjayakan Banci Malaysia 2020.

Banci penduduk dan perumahan dilaksanakan setiap 10 tahun dan Banci 2020 merupakan siri keenam dengan slogan ‘Data Anda, Masa Depan Kita’.