Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 62 peratus mangsa bah di Klang kembali normal tidak sampai sebulan

SHAH ALAM, 28 JAN: Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati ramai mangsa bah di daerah Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana 18 Disember lalu.

Menurut surat berita jabatan itu, kehidupan 62 peratus penduduk kembali normal, 15.3 peratus lagi mengambil masa satu hingga tiga bulan, 12.8 peratus (tiga-enam bulan) dan 9.9 peratus (lebih enam bulan).

Tinjauan yang dibuat antara 10 hingga 14 Januari lalu juga mendapati:

– purata mengalami kerugian RM14,058 dengan pecahan: 32.7 peratus kurang RM5,000, 30 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 22.5 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kerugian akibat kerosakan kediaman RM7,627 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– kerugian purata akibat kerosakan kenderaan RM5,355 dengan pecahan: 23.4 peratus kurang RM1,000, 31.8 peratus (RM1,000-RM2,999) dan 15.9 peratus (RM3,000-RM4,999)

– purata kerugian akibat kerosakan perabot, alatan elektrik, pakaian dan barangan lain RM7,134 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kos pembersihan pascabanjir RM1,179 dengan pecahan: 98.4 peratus memerlukan kurang RM2,500, manakala 1 peratus lagi (lebih RM10,000)

DOSM juga mendapati 92 peratus tidak mempunyai perlindungan insurans bencana bagi perumahan, 86 peratus (kenderaan), kelengkapan rumah (99 peratus) dan peribadi (85 peratus)

Tinjauan sama menunjukkan 34.2 peratus mempunyai simpanan kecemasan kurang RM1,000, sementara 35.8 peratus lagi (RM1,000-RM4,999), 11.9 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 18.1 peratus (RM10,000 dan lebih).

Dibuat melalui kaedah temuramah bagi mengukur dampak banjir dari segi kos kerosakan, dapatan lain seperti berikut:

-93.2 peratus responden perlukan bantuan tunai, sementara 38.7 peratus perlu kelengkapan rumah

-60.9 peratus penduduk mengalami banjir antara satu hingga dua hari

-62.9 peratus berdepan masalah kenaikan air bah lebih tiga meter

Namun DOSM juga menjelaskan tinjauan ini bertujuan mengukur kesan banjir terhadap sebahagian penduduk Klang dan bukannya perangkaan rasmi jabatan tersebut.

Butiran lengkap tinjauan ini boleh disemak di Facebook Department of Statistics, Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dokumen rasmi dampak banjir 50 daerah dikeluar minggu depan

JITRA, 20 JAN: Dokumen rasmi laporan khas impak banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Pahang bulan lepas akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) minggu hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata buat masa ini, bancian berkaitan bencana tersebut sudah di peringkat akhir sebelum satu dokumen rasmi diserahkan kepada kerajaan dan menjadi rujukan awam.

Katanya, sebelum ini dapatan awal penilaian kerugian akibat banjir yang berlaku di 50 daerah di negara ini dianggarkan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion yang dijalankan seminggu selepas kejadian banjir luar biasa itu berlaku.

Daripada jumlah itu, kerugian membabitkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah tertinggi iaitu RM2 bilion, manakala kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.3 bilion hingga RM1.4 bilion, kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion, pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion), premis perniagaan (RM500 juta hingga RM600 juta) dan pertanian (RM40.9 juta hingga RM49.9 juta).

“Inilah tindakan proaktif Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membantu negara mengetahui kesan kemusnahan banjir yang turut dijalankan bersama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat dalam mendaftarkan mangsa banjir dan yang menyalurkan bantuan.

“Angka-angka ini juga kita jadikan sebagai asas anggaran nilai yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika ditemui pada program DOSH bersama komuniti di Kampung Wang Tepus di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, menerusi laporan tersebut ia akan dapat membantu kerajaan merancang dan membaik pulih kerosakan yang dialami serta menyediakan peruntukan sewajarnya untuk mempercepatkan pembaikan kemudahan infrastruktur awam yang penting seperti jalan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDAPAT RENCANA

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang hingga 6.5 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Ekonomi Malaysia pada 2022 dijangka berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan jabatan itu, Tinjauan Ekonomi 2022 (Kementerian Kewangan) melaporkan dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka berkembang dengan menyumbang lebih 80 peratus kepada ekonomi.

“Normalisasi aktiviti ekonomi didorong oleh pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh bakal merancakkan subsektor perdagangan borong dan runcit serta aktiviti berkaitan pelancongan domestik.

“Unjuran sektor pembuatan juga adalah sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan daripada industri berorientasikan eksport yang semakin pulih,” katanya.

Laporan itu menyebut secara keseluruhannya, unjuran pertumbuhan ekonomi adalah berdasarkan kepada pengembangan berterusan aktiviti ekonomi global dan domestik didorong oleh kadar vaksinasi yang pantas di sebalik kerugian akibat banjir besar pada penghujung 2021.

“Namun, pemulihan permintaan domestik dijangka berterusan pada 2022 diterajui oleh penggunaan swasta berikutan pasaran buruh dan sentimen pengguna yang semakin beransur-ansur pulih.

“Permintaan luar yang kukuh terutamanya produk elektrik & elektronik (E&E) dan komoditi utama dijangka menyokong lonjakan eksport,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDAPAT RENCANA

Mangsa bah perlu belanja lebih RM10,000 beli semula barang asas

SHAH ALAM, 10 JAN: Dianggarkan sejumlah RM10,436.30 perlu dibelanjakan mangsa banjir bagi membeli semula barang keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia anggaran itu bagi keluarga yang mempunyai suami, isteri, seorang kanak-kanak dan seorang bayi.

Antara kelengkapan utama diperlukan ialah perkakas rumah, alatan peribadi dan solat (bagi yang beragama Islam), alatan dapur, alat pembersihan, penyelenggaraan dan perkhidmatan.

“Banjir yang melanda pada kali ini memerlukan isi rumah bersedia dari segi kewangan untuk kembali kepada kehidupan sedia kala.

“Jumlah anggaran kewangan yang diperlukan adalah berbeza mengikut keperluan dan jumlah kerosakan yang dialami oleh satu isi rumah,” menurut infografik diterbitkan jabatan itu Jumaat lepas.

Infografik yang dikongsi menunjukkan belanja tertinggi melibatkan penyelenggaraan/perkhidmatan iaitu RM4,969.44 merangkumi kenderaan, perkakas elektrik, pendawaian dan penyelengeraan pintu.

Pecahan anggaran perbelanjaan lain seperti berikut:

Perkakasan elektrik – RM3,325.89
Peralatan rumah – RM1,291.69
Pakaian – RM322.22
Peralatan dapur – RM174.31
Alatan pembersihan – RM96.73
Kelengkapan bayi – RM94.84
Penjagaan diri – RM76.95
Kit solat (bagi muslim) – RM58.58
Barangan kesihatan – RM25.65

Maklumat lengkap jumlah perbelanjaan dan pecahan dikongsikan dalam infografik di bawah.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar pengangguran di Malaysia menurun 4.6 peratus pada Ogos

PUTRAJAYA, 8 OKT: Kadar pengangguran di Malaysia menurun 4.6 peratus kepada 748,800 orang pada Ogos tahun ini berbanding 778,200 orang pada Julai, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, Ogos 2021.

Laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos berbanding 15.29 juta orang pada Julai, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

Bilangan tenaga buruh pula terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos 2021 berbanding 16.07 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding 68.3 peratus pada Julai.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Ogos berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam guna tenaga manakala pengangguran menurun pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ogos tahun ini, menyaksikan beberapa negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perlis dan Sarawak telah beralih ke fasa tiga pada 4 Ogos kecuali beberapa daerah di Sarawak yang masih kekal dalam fasa dua; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pula masing-masing beralih ke fasa dua dan empat pada 26 Ogos.

Johor, Kedah, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dalam fasa satu manakala baki enam negeri lagi beralih ke fasa dua.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Ogos 2021, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur, dan kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627,500 orang berbanding 651,300 orang pada Julai 2021.

Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 9.0 peratus, katanya.

Penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia berkurang sebanyak 4.4 peratus bulan ke bulan kepada 121,300 orang berbanding 126,900 orang pada Julai, katanya.

Mohd Uzir berkata walaupun cabaran akan berterusan pada bulan-bulan berikutnya disebabkan oleh situasi kesihatan awam tidak menentu, pelaksanaan PPN yang membenarkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih selamat dijangka dapat memacu ekonomi negara untuk pulih secara progresif.

“Prestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi. Oleh itu, ekonomi dan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perniagaan kurang yakin prospek ekonomi suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Golongan peniaga menjadi lebih berhati-hati pada suku pertama 2021 susulan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 sekali gus mendorong pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Menurut DoSM, ia merupakan hasil dapatan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk menyediakan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi suku pertama 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat, memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan akan datang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan dapatan statistik itu, peniaga lebih berhati-hati pada suku pertama 2021 dengan mencatatkan -11.3 peratus berbanding -10.8 peratus pada suku tahun lepas.

“Jangkaan ini dipengaruhi oleh peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang mendorong kepada pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara kecuali Sarawak dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat pada pertengahan Januari 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata empat sektor diliputi di dalam kaji selidik ini iaitu industri, perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pembinaan.

Antara kesemua sektor tersebut, sektor industri merupakan sektor utama yang menunjukkan isyarat pemulihan namun masih dalam sentimen pesimis dengan petunjuk keyakinan -4.4 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -7.5 peratus pada suku keempat 2020, katanya.

Grafik portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia

Beliau berkata penambahbaikan bagi sektor industri ini disumbangkan oleh jangkaan yang lebih baik daripada subsektor pertanian dan perlombongan dengan petunjuk keyakinan masing-masing pada -6.4 peratus dan -24.7 peratus berbanding -24.1 peratus dan -40.9 peratus pada suku tahun lepas.

Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan subsektor pertanian adalah perspektif positif terhadap harga minyak sawit mentah yang dijangka meningkat tahun ini.

Mohd Uzir berkata keyakinan perniagaan yang lebih rendah oleh sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pembinaan dijangkakan pada suku pertama 2021.

“Sektor perkhidmatan serta perdagangan borong dan runcit mencatatkan petunjuk keyakinan masing-masing -15.0 peratus dan -11.8 peratus manakala sektor pembinaan kekal kurang memberangsangkan dengan -51.2 peratus berbanding -39.1 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut DoSM mengenai hasil kasar, 25.5 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka meningkat pada suku pertama 2021 manakala 36.5 peratus pula mengunjurkan penurunan sekali gus perbezaan ini mendorong kepada imbangan bersih -10.9 peratus.

Dalam masa yang sama, 75.9 peratus pertubuhan menjangkakan bilangan pekerja mereka kekal sama walaupun imbangan bersih -7.3 peratus, jelasnya.

“Selari dengan itu, 8.4 peratus pertubuhan berhasrat untuk menambah tenaga kerja, manakala 15.7 peratus pertubuhan pula menjangkakan pengurangan tenaga kerja pada suku pertama 2021,” menurut jabatan itu.

DoSM menjelaskan bagi tempoh separuh pertama 2021, peniaga menunjukkan prospek perniagaan yang menyederhana dengan imbangan bersih keseluruhan -4.6 peratus berbanding -3.7 peratus yang direkodkan sebelum ini.

“Sektor industri kekal optimis terhadap prestasi perniagaan dengan imbangan bersih +4.3 peratus bagi tempoh Januari sehingga Jun 2021,” menurutnya.

Jabatan itu juga mendapati sektor pembinaan serta perdagangan borong dan runcit turut menjangkakan tinjauan perniagaan yang lebih baik walaupun masih dalam keadaan negatif bagi enam bulan yang akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -34.6 peratus dan -7.7 peratus berbanding -50.0 peratus dan -29.3 peratus yang dicatatkan bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021.

Sektor perkhidmatan juga menjangkakan prestasi perniagaan yang mencabar pada enam bulan ke hadapan dengan imbangan bersih -11.7 peratus berbanding dengan -9.1 peratus bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021, jelasnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Populasi penduduk Malaysia kini 32.73 juta

PUTRAJAYA, 10 FEB: Penduduk Malaysia dianggarkan 32.73 juta orang pada suku keempat 2020, meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta pada tempoh sama 2019, demikian menurut laporan Perangkaan Demografi.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengulas mengenai laporan perangkaan itu berkata jumlah penduduk itu merangkumi 29.85 juta orang (91.2 peratus) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8%) bukan warganegara.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.83 juta dan 15.90 juta.

Mohd Uzir berkata penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta.

Katanya, sejumlah 468,975 kelahiran hidup direkodkan pada 2020 dan daripada jumlah itu, sebanyak 121,251 direkodkan pada suku tahun keempat 2020, iaitu menurun sebanyak 2.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 dengan 124,384 kelahiran.

Mohd Uzir berkata penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh yang sama.

“Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk” katanya.

Keseluruhan 174,313 kematian direkodkan pada 2020 dengan 44,390 kematian direkodkan bagi suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 iaitu 44,566 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekonomi kekal dalam jajaran pemulihan, Indeks Pelopor naik 7.1 peratus

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Malaysia dijangka kekal berada dalam jajaran pemulihan berdasarkan peningkatan Indeks Pelopor (IP) sebanyak 7.1 peratus kepada 109.1 mata pada November 2020 berbanding 120.1 mata pada tempoh sama 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

IP merupakan kaedah bagi menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan bulanan IP juga menunjukkan trend meningkat apabila mencatat pertumbuhan 0.4 peratus pada November 2020 berbanding – 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Semi Konduktor (0.5 peratus) yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan.

“Walaupun prestasi IP lebih baik, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri terpilih untuk mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi serta pengagihan vaksin, menimbulkan ketidakpastian di masa hadapan.

“Oleh itu, IP memberikan harapan bahawa ekonomi kekal berada dalam jajaran pemulihan walaupun momentum pemulihan berkemungkinan terkesan,” katanya.

Selain itu, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia kekal meningkat secara signifikan pada bulan di bawah rujukan, disokong terutamanya oleh Indeks Penjagaan Kesihatan.

Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 0.4 peratus kepada 112.4 mata pada bulan rujukan daripada 112.0 mata pada Oktober 2020.

Komponen utama yang mempengaruhi peningkatan adalah Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencatatkan 0.2 peratus.

“Pada masa yang sama, IS mencatatkan perubahan tahunan negatif 2.3 peratus pada November 2020 daripada negatif 2.4 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas prospek ekonomi suku tahunan, beliau berkata pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat 2020 dijangka perlahan berbanding suku ketiga 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disasarkan di kebanyakan negeri untuk mengurangkan lonjakan kes pandemik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Indeks harga pengguna susut 1.2 peratus tahun lalu

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi tahun 2020 mencatatkan penurunan 1.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Sementara untuk suku keempat 2020 pula, IHP menyusut 1.5 peratus kepada 120.3 berbanding 122.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020.

Pada Disember, IHP menurun 1.4 peratus kepada 120.6 berbanding 122.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata penurunan IHP keseluruhan ini dipengaruhi oleh penyusutan indeks Pengangkutan (-8.4 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.3 peratus); Pakaian dan Kasut (-0.4 peratus); Restoran dan Hotel (-0.2 peratus); dan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 48.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 339 item menunjukkan peningkatan pada Disember 2020 berbanding Disember 2019.

Sebaliknya, 145 item mencatatkan penurunan manakala 68 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 206 item; 73 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” kata beliau.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.8 berbanding 133.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, IHP pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan penurunan 2.2 peratus dan diikuti kesihatan (1.0 peratus, minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus), pendidikan (0.6 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.2 peratus).

IHP tanpa bahan api menurun 0.1 peratus pada Disember 2020 kepada 112.8 berbanding 112.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Mohd Uzir berkata purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada Disember 2020 iaitu RM1.74 per liter berbanding RM2.08 pada Disember 2019.

Selain itu, purata harga RON97 menurun kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.63 dan purata harga diesel menyusut kepada RM1.93 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.2 peratus); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2 peratus), Kesihatan (1.0 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.6 peratus) dan Pendidikan (0.6 peratus).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Mohd Uzir berkata walaupun IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.5 peratus berbanding November 2020, disumbangkan oleh pengangkutan (3.0 peratus) dan makanan dan minuman alkohol dan tembakau (0.5 peratus).

Beliau berkata indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.9 peratus hingga -2.2 peratus bagi Disember 2020 berbanding Disember 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah dan Perlis iaitu -2.2 peratus, diikuti Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.0 peratus), Johor (-2.0 peratus), Melaka (-2.0 peratus), Sarawak (-1.9 peratus) dan Negeri Sembilan (-1.9 peratus).

Namun begitu, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.3 peratus.

Ini diikuti oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2 peratus), Perak (2.0 peratus), Terengganu (2.0 peratus) dan Negeri Sembilan (1.7 peratus).

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Uzir berkata susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Jan, 2021, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka akan disusun semula.

“Oleh itu, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang akan dibuka semula.

Maklumat lanjut berkaitan Banci Malaysia 2020 boleh diperolehi melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perangkaan susun semula gerak kerja banci bersemuka

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula berdasarkan tiga kategori pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 DOSM memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara akan digunakan dalam pembancian fasa kedua.

Selain itu menurut pejabat tersebut, pembancian bersemuka pula dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tidak dibenarkan di kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi kawasan yang tidak dibenarkan itu, maklumat banci akan dikumpul secara dalam talian melalui platform e-Census (Banci Dalam Talian) dan kaedah panggilan telefon mengikut kesesuaian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua pihak memainkan peranan penting dalam bersama melandaikan lengkukan kes Covid-19, sekali gus DOSM telah membuka semula platform e-Census.

“Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

“Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci secara dalam talian dan bagi mereka yang memerlukan ID untuk mengisi e-Census, boleh berhubung dengan Helpdesk melalui [email protected] atau merujuk kepada DOSM Negeri berdekatan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan disahkan negatif Covid-19 semalam, menerusi ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

Mohd Uzir akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga 15 Januari dan situasi itu tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran DOSM, menurut kenyataan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Penduduk Selangor paling ramai berbelanja guna khidmat e-dagang

SHAH ALAM, 1 NOV: Penduduk Selangor menjadi pengguna paling ramai berbelanja melalui perkhidmatan e-dagang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, statistik berkenaan diperoleh hasil tinjauan dilakukan terhadap lapan juta isi rumah di seluruh negara.

“Data menunjukkan 2.22 juta isi rumah dari Selangor berbelanja menerusi platform e-dagang sepanjang tahun lalu diikuti Johor (984,000), Pulau Pinang (736,000), Perak (712,000) dan Kuala Lumpur (648,000).

“Bagi perbelanjaan mengikut kaum pula, Bumiputera mendahului dengan 4.69 juta isi rumah atau 58.7 peratus seterusnya Cina (2.09 juta), India (680,000) dan lain-lain (528,000),” katanya dipetik Kosmo!.

Berdasarkan dapatan tinjauan sama, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pakaian dan kasut menjadi antara barangan paling popular dibeli rakyat Malaysia menerusi platform berkaitan atau portal beli belah dalam talian.

“Seramai 744,000 isi rumah di seluruh negara membeli barangan tersebut sepanjang tahun lalu,” katanya.

Jabatan itu memaklumkan, isi rumah membuat perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan menerusi platform e-dagang meningkat daripada 11.3 peratus pada 2016 kepada 23.3 peratus tahun lalu.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna turun 1.4 peratus pada Ogos 2020 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Ogos 2020 turun 1.4 peratus kepada 120.1 daripada 121.8 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-9.9 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus); pakaian dan kasut (-0.6 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Beliau berkata bagaimanapun indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.3 peratus kepada 135.2 daripada 133.5 pada bulan yang sama 2019.

“Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Ogos 2020 berbanding Julai 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, katanya.

Beliau berkata purata harga petrol RON95 menunjukkan penurunan pada Ogos 2020 iaitu RM1.68 per liter daripada RM2.08 pada Ogos 2019.

Di samping itu, purata harga petrol RON97 susut kepada RM1.98 per liter daripada RM2.51 dan purata harga diesel turun kepada RM1.81 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun lepas, katanya.

Mohd Uzir berkata indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 daripada bulan yang sama 2019.

Beliau berkata antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus); komunikasi (1.6 peratus); kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus).

“Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal,” katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan IHP tahunan menurun, namun perubahan IHP bulanan meningkat 0.2 peratus daripada Julai 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); kesihatan (0.1 peratus) serta restoran dan hotel (0.1 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1.0 peratus daripada angka yang dicatatkan tempoh yang sama 2019.

Beliau berkata penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus); pakaian dan kasut (-1.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.0 peratus).

“Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan di antara -0.7 dengan -2.2 peratus bagi Ogos 2020 berbanding Ogos 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka 3 (-2.2 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus). Ini diikuti oleh Kedah dan Perlis (-2.1 peratus) serta Sarawak (-2.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus) diikuti oleh Johor (1.7 peratus), Terengganu (1.5 peratus), Perak (1.4 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Pahang (1.4 peratus) yang turut melebihi paras nasional (1.3 peratus),” katanya.

-BERNAMA