Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga konsep bandar pacu hala tuju Putrajaya

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Konsep bandar pintar, bandar hijau dan bandar sukan akan memacu visi pembangunan Putrajaya bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata 32 peratus daripada garis panduan dalam Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 telah berjaya dicapai setakat ini dan bakinya diyakini mampu dicapai menjelang 2025.

“Pembangunan terdahulu lebih kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur (sebagai pusat pentadbiran), sekarang fokus lebih tertumpu kepada pengisian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi merealisasikan hasrat menjadi bandar pintar, PPj telah melancarkan Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 yang antaranya menekankan elemen bangunan pintar; selamat dan e-mobility, katanya.

Mengenai konsep bandar hijau yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, beliau berkata 70 bangunan di Putrajaya sekarang dipantau tahap pelepasan karbonnya, manakala bangunan yang akan dibangunkan diwajibkan mempunyai elemen jimat tenaga atau konsep hijau.

Mengenai bandar sukan pula, Aminuddin berkata ia bagi memenuhi keperluan permintaan kemudahan sukan dan riadah kerana ramai penduduk dari luar Putrajaya yang datang ke sini bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, Football City akan dibangunkan di Presint 5 yang dijangka siap pada 2023 dan menempatkan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), manakala Stadium Ragbi Nasional pula akan dibina di Presint 13 dan dijangka siap pada 2022.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK hargai kerjasama TM jaya bandar pintar di Klang

SHAH ALAM, 24 OGOS: Konsep bandar pintar akan membawa manfaat kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan penduduk sekali gus menyelesaikan isu perbandaran, kata yang dipertuanya.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya menzahirkan terima kasih kepada Telekom Malaysia (TM) atas kerjasama berkongsi maklumat berhubung inisiatif menjadikan Klang sebagai bandar pintar.

“MPK berbesar hati apabila TM berhasrat berkongsi maklumat berhubung cadangan tersebut malah penerangan mengenai status pemasangan fiber di Klang juga mampu memberi capaian internet lebih laju sekali gus membuka ruang kepada pengguna merasai ciri kehidupan pintar,” katanya ketika berucap merasmikan Taklimat Bandar Pintar oleh TM di MPK hari ini.

Dr Ahmad Fadzli berkata pihak MPK optimis dengan beberapa perkhidmatan pintar akan dibangunkan TM yang bakal menjadi contoh kepada pihak berkuasa tempatan lain pada masa akan datang.

Antara beberapa perkhidmatan pintar dilaksanakan adalah Lampu Isyarat Pintar, Parkir Pintar dan Tiang Pintar.